19 Februari 2021, 12:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh Norsuhaila Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pada 9 Februari 2021, rancangan “Peka Bahasa: Penggunaan Bahasa Melayu di Tempat Awam (Penamaan)” bersiaran menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP. Pengendali rancangan ini ialah Encik Rafiq Abdul Rahman, Pegawai Bahagian Multimedia, bersama-sama tetamu yang diundang, iaitu Puan Rohayu Ismail, Perancang Bahasa di Bahagian Penguatkusaan, DBP.

Dalam siaran tersebut, penonton diberikan penerangan tentang peranan Bahagian Penguatkuasaan berhubung dengan peranannya dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam. Menurut Puan Rohayu, Bahagian Penguatkuasaan tidak ada kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi hanya diberi kuasa untuk  menegaskan peruntukan bahasa, memberikan perkhidmatan nasihat bahasa, memberikan teguran kepada masyarakat sekiranya berlaku ketidakakuran dan kesalahan menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dan sebagainya.

Dalam sektor awam dan sektor swasta, DBP menitikberatkan sebarang program dan pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam dan pekerja swasta. Hal ini merangkumi kerjasama dengan sektor pelancongan, kepenggunaan, perbankan dan lain-lain. Sekiranya mereka tidak akur menggunakan bahasa Melayu dengan betul, maka DBP berhak untuk memberikan teguran. Bagi orang awam pula, DBP berperanan untuk memberikan nasihat, bimbingan dan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk memperkasakan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul.

Bagi urusan penamaan bangunan, syarikat, perumahan, tempat awam dan jalan, DBP bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). DBP juga telah menyediakan buku panduan menamai syarikat, bangunan, kawasan perumahan dan tempat awam. Di samping itu, DBP akan turut memantau penggunaan bahasa Melayu yang betul pada papan tanda dan akan membuat teguran kepada pihak berkenaan sekiranya tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Pautan:https://www.facebook.com/DBPMalaysia/videos/vb.109573169113660/742622793052972/?type=2&theater

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.