19 Mac 2021, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata sendi nama tergolong dalam kelompok kata tugas dalam bahasa Melayu. Pengguna bahasa sedia maklum bahawa kata sendi nama wajib diikuti oleh kata nama sebagai pelengkapnya. Walaupun begitu, penggunaan kata sendi nama secara mudah tanpa mematuhi hukum yang betul boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pembaca. Yang berikut, fungsi kata sendi nama mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, iaitu:

Jadual 1 Kata sendi nama dan fungsinya.

Kata Sendi Nama Fungsi
tentang membawa maksud rujukan umum atau mujarad
terhadap membawa maksud rujukan tertentu (manusia/haiwan/benda)
kepada membawa maksud sasaran (manusia/haiwan/mujarad/pecahan/perubahan keadaan)

Ayat Contoh:

1. Cikgu Suhaimi sedang berbincang tentang masalah disiplin murid itu.

2. Tindakan disiplin akan diambil terhadap murid itu.

3. Amaran terakhir telah diberikan kepada murid itu.

Dengan berdasarkan ayat contoh di atas, jelaslah bahawa penggunaan ketiga-tiga kata sendi nama ini membawa maksud yang berbeza.

Ayat 1: Rujukan umum (masalah disiplin).

Ayat 2: Rujukan tertentu (murid itu – manusia).

Ayat 3: Sasaran manusia (murid itu)

Namun demikian, kekeliruan penggunaan kata sendi nama terhadap dan kepada masih berleluasa dalam kalangan pengguna bahasa terutamanya bagi penyambut manusia, haiwan, mujarad/umum. Hal ini berlaku kerana kedua-dua kata sendi nama ini dapat diikuti oleh unsur yang sama.

Jadual 2 Kata sendi nama “terhadap” dan “tentang” serta fungsinya.

Kata Sendi Nama Diikuti oleh Perbezaan
terhadap manusia/haiwan/abstrak maksud rujukan
kepada manusia/haiwan/abstrak maksud sasaran

Jika dilihat dalam Jadual 2, didapati bahawa penggunaan kedua-dua kata sendi nama ini dibezakan oleh maksud yang dibawa oleh sesuatu ayat.

Ayat Contoh Keterangan Manusia:

1a.   Suhaimi memberikan hadiah kepada rakannya.

1b. *Suhaimi memberikan hadiah terhadap rakannya.

2a.   Tindakan tatatertib akan diambil terhadap guru itu.

2b. *Tindakan tatatertib akan diambil kepada guru itu.

Ayat Contoh Keterangan Haiwan:

1a.   Siti memberikan makanan kepada kucingnya.

1b. *Siti memberikan makanan terhadap kucingnya.

2a.   Nilai simpati terhadap haiwan wajarlah dipupuk.

2b. *Nilai simpati kepada haiwan wajarlah dipupuk.

Ayat Contoh Pelengkap Abstrak:

1a.   Golongan muda terdedah kepada dadah.

1b. *Golongan muda terdedah terhadap dadah.

2a.   Peluntur itu bertindak terhadap kotoran.

2b.  *Peluntur itu bertindak kepada kotoran.

Dengan berdasarkan huraian di atas, kita mendapati bahawa semua ayat 1a membawa maksud sasaran yang melibatkan penyambut manusia, haiwan dan benda. Sementara itu, semua ayat 2a membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut manusia, haiwan, dan benda. Ayat-ayat 1b dan 2b merupakan ayat yang menyalahi nahu tatabahasa yang gramatis.

Kekeliruan Penggunaan Kata Sendi Nama “dari” dan “daripada”

Selain kekeliruan di atas, penggunaan kata sendi nama “dari” dan “daripada” juga sering mengelirukan pengguna bahasa. Kita acap kali melihat iklan pada papan iklan yang berkaitan dengan harga rumah di sesuatu kawasan perumahan baharu.

Adakah penggunaan sendi nama “dari” dalam iklan ini betul?

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata sendi nama “dari” hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu. Namun demikian, penggunaan “dari” dalam paparan iklan di atas tidak mengikut Tatabahasa Dewan. Adakah penggunaannya menyalahi hukum tatabahasa? Adakah penggunaannya wajar digantikan dengan kata sendi nama “daripada”? Penggunaan kata sendi nama “dari” dalam iklan di atas sebenarnya mematuhi hukum nahu yang persis. Sila lihat ayat contoh di bawah ini:

1. Bakat Aisyah dalam penulisan cerpen terserlah sejak peringkat sekolah lagi.

2. Bakat Aisyah dalam penulisan cerpen terserlah dari peringkat sekolah lagi.

Dengan berdasarkan contoh ayat di atas, jelaslah bahawa penggunaan kata sendi nama “dari” digunakan sebelum kata nama yang mendukung maksud peringkat atau tahap. Penggunaan kata sendi nama “dari” bagi maksud di atas ini sudah lama digunakan waima tidak termaktub dalam Tatabahasa Dewan. Hal ini dapat dianggap sebagai suatu bentuk perkembangan bahasa mengikut peredaran zaman. Oleh hal yang demikian, penggunaan kata sendi nama “dari” dalam iklan di atas membawa makna peringkat harga yang ditawarkan bagi projek perumahan di kawasan itu.

Selain itu, penggunaan “dari” dan “daripada” yang merujuk maksud tempat dan institusi juga sering mengelirukan pengguna bahasa. Sila lihat ayat di bawah ini.

1. Encik Azman pulang dari Pejabat Pelajaran Daerah Segamat.

2. Encik Azman daripada Pejabat Pelajaran Daerah Segamat akan menyampaikan ceramah itu.

Walaupun kedua-dua ayat di atas tampak hampir sama, ayat di atas membawa maksud yang berbeza. Ayat 1 membawa maksud pergerakan Encik Azman dari Pejabat Pelajaran Daerah Segamat. Ayat 2 pula membawa maksud Encik Azman mewakili Pejabat Pelajaran Daerah Segamat untuk menyampaikan ceramah. Perbezaan ini haruslah dikuasai oleh pengguna bahasa dengan baiknya agar kekeliruan bahasa dapat dielakkan.

Kekeliruan Penggunaan Kata Sendi Nama “dengan” dan “daripada”

Kata sendi nama “dengan” dan “daripada” sering ditukar ganti  disebabkan oleh kekeliruan penggunaan dalam ayat. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, penggunaan kata sendi nama “dengan” dan “daripada” adalah seperti yang berikut:

Jadual 3 Kata sendi nama “dengan” dan “daripada” serta fungsinya.

Kata Sendi Nama Huraian
dengan menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama
daripada menunjukkan perbezaan atau perbandingan

Dengan berdasarkan huraian di atas, penggunaan kedua-dua kata sendi nama ini tidak dapat bertukar ganti dalam ayat. Sila lihat ayat di bawah ini.

1. Prestasi pasukan bola sepak sekolah meningkat berbanding daripada tahun lalu.

2. Kualiti kertas kitar semula itu berbeza dengan kualiti kertas asli.

Penggunaan kata sendi nama dalam kedua-dua ayat itu menyalahi hukum tatabahasa yang betul. Kata kerja tak transitif “berbanding” dalam ayat 1 membawa maksud “dibandingkan” menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua. Oleh hal yang demikian, kata kerja tak transitif ini wajib diikuti oleh kata sendi nama “dengan” dan bukannya “daripada”.

1a. Prestasi pasukan bola sepak sekolah meningkat berbanding dengan tahun lalu.

Bagi ayat kedua pula, kata kerja tak transitif “berbeza” mendukung maksud “tidak sama antara satu dengan yang lain” menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua. Sebagai analoginya, kata kerja tak transitif ini membawa maksud perbezaan atau perbandingan yang tidak sama. Dengan berdasarkan huraian dalam jadual di atas, penggunaan kata sendi nama “daripada” lebih sesuai digunakan untuk menyatakan maksud perbezaan yang tidak sama.

2a. Kualiti kertas kitar semula itu berbeza daripada kualiti kertas asli.

Sebagai kesimpulannya, penggunaan frasa sendi nama dalam pembinaan ayat bahasa Melayu memainkan peranan yang signifikan baik sebagai predikat, pelengkap, mahupun sebagai keterangan ayat. Oleh hal yang demikian, pengguna bahasa wajarlah menguasai penggunaan dan fungsi setiap frasa sendi nama ini agar ketepatan wacana dapat diserlahkan dalam penulisan kita.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.