Oleh Alias Ismail
23 Mac 2021, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bermula pada tahun 1990, sebahagian rakyat negara ini yang gemar mengikuti slot Buletin Utama siaran Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3) tentu sekali berasa cukup terkesan oleh kehadiran wartawan penyiaran yang unik penampilannya, iaitu Karam Singh Walia. Kemunculannya menjadi buah mulut para penonton. Sepanjang tempoh berkenaan, beliau berada pada kedudukan yang baik sebagai seorang wartawan serta mempunyai tarikan yang tersendiri. Dengan perkataan yang lain, di mata penonton, beliau  unggul dari segi personaliti. Pada waktu itu, situasi  berkenaan tidak kedapatan di saluran stesen televisyen yang lain.

Dalam konteks ini, penampilan Karam Singh Walia dianggap unik serta amat digemari masyarakat berbilang kaum di negara ini berasaskan tiga faktor yang kukuh. Faktor pertama, beliau didapati sangat cenderung menyelitkan peribahasa Melayu dalam sebahagian besar laporannya yang jelas terarah kepada usaha menangani permasalahan yang menyempitkan ruang kehidupan masyarakat sehari-hari. Dalam setiap isu dan laporannya, beliau mengemukakan peribahasa Melayu secara konsisten kepada masyarakat. Adakalanya peribahasa pecahan simpulan bahasa diketengahkan, selain umpamanya perbandingan atau bandingan, perumpamaan, pepatah, bidalan, mahupun kata-kata hikmat. Dalam isu tertentu, beliau turut menyelitkan peribahasa jenis perbilangan.

Semua tindakan yang dilakukan itu bagi menguatkan laporannya dan menarik minat penonton. Usahanya itu dianggap berjaya kerana sebahagian peribahasa Melayu yang dikemukakan berkaitan dengan sesuatu isu jarang-jarang kedengaran, malahan ada juga yang langsung tidak pernah digunakan oleh mana-mana stesen penyiaran pun. Kewujudan, kesahan, dan ketepatan peribahasa tersebut yang pada awalnya diragui itu bagaimanapun telah diperakukan setelah ada pihak menghubungi badan atau agensi yang berwibawa terutama sekali Dewan Bahasa dan Pustaka.

Faktor kedua popularitinya ialah beliau menguasai bahasa Melayu dengan baik bukan sahaja dari segi sistem bahasa, antaranya fonem, kosa kata, frasa, klausa, ayat, dan wacana; dari segi sebutan, iaitu nada dan intonasi yang sesuai; malahan dari segi kesantunan, antaranya penggunaan sistem panggilan, ganti nama, dan rujukan istilah, yang kesemuanya didapati selaras dengan isu serta konteks sesuatu laporan. Karam Singh Walia berusaha mengelakkan dirinya daripada menggunakan istilah bahasa asing dan sedaya upaya menggunakan kosa kata atau istilah yang ada dalam bahasa Melayu, walaupun dalam sesetengah keadaan beliau terpaksa menggunakan istilah yang bersifat arkaik dan begitu langka pada pendengaran khalayak.

Beliau juga tidak membiasakan penggunaan bahasa seperti kosa kata, istilah dan ayat yang rancu, apatah lagi menggunakan bahasa rojak. Didapati bahawa ayat-ayat yang digunakannya bertatabahasa atau gramatis – terdiri daripada subjek dan predikat yang menepati empat hukum, iaitu frasa nama + frasa nama (FN + FN), frasa nama + frasa kerja (FN + FK), frasa nama + frasa adjektif (FN + FA) dan frasa nama + frasa sendi nama (FN + FS/FSN). Bukan itu sahaja keadaannya, malahan kajian dari segi semantik pula mendapati ayat-ayat yang diujarkan oleh wartawan itu bermakna. Oleh sebab itu, laporan yang disampaikannya dapat difahami oleh khalayak.

Karam Singh Walia turut menjadikan slot siaran Buletin Utama sebagai slot pilihan penonton dengan kemampuan, kekuatan dan kelincahan lisannya. Pemerhatian ke atas pelbagai video laporannya menunjukkan bahawa ketika menyatakan kekesalan dalam sesuatu isu masyarakat, jelas kelihatan mimik mukanya yang kesal, manakala intonasi dan nadanya juga memberikan sokongan – memperlihatkan situasi kesal tersebut. Beliau menjiwai laporannya yang berpaksikan peribahasa dengan menjadikan kekuatan penguasaan bahasa dari pelbagai aspek.

Faktor ketiga yang menjadikan Karam Singh Walia popular dan melekat di hati penonton Buletin Utama dalam tempoh yang lama ialah keberaniannya menongkah arus. Beliau meredah pelbagai halangan untuk melaksanakan sesuatu tugasnya, terutama sekali halangan daripada pihak yang melanggar sesuatu peraturan. Memerangi sesuatu jenayah termasuklah jenayah ke atas alam sekitar bukalah suatu perkara yang mudah kerana seseorang itu terpaksa berhadapan dengan ancaman, ugutan dan pelbagai tekanan. Tidak sedikit kekangan yang dihadapi wartawan berkenaan, namun satu demi satu halangan tersebut diatasinya dan bukan calang-calang individu mampu mengatasi setiap cabaran berkenaan. Hanya individu yang “berhati singa” dan bersemangat waja sahaja mampu terus teguh berdiri serta mampu melangkah lebih jauh.

Dalam konteks ini, keberanian menongkah arus yang paling ketara dilakukan oleh Karam Singh Walia ialah kecenderungannya lari daripada kebiasaan golongan wartawan, iaitu melaporkan sesuatu berita dengan menjadikan peribahasa perkara teras dalam kesemua isu. Sebagai seorang individu yang bukan berketurunan Melayu, hal ini sudah tentu menimbulkan suatu kelainan kerana tidak kedapatan wartawan sama ada sebelum, semasa, mahupun selepas beliau sama ada yang berbangsa Melayu atau bukan Melayu mempunyai kecenderungan yang sedemikian rupa. Apabila beliau berdiri di atas paksi yang sedemikian, maka kita mendapati bahawa wujud suatu keunikan dan timbul perasaan takjub terhadap beliau. Sebahagian rakyat negara ini mula terfikir, iaitu kenapakah wartawan Melayu sendiri tidak mempunyai kecenderungan sedemikian?

Berasaskan ketiga-tiga faktor itu, dapat diperhatikan bahawa Karam Singh Walia terus berdiri dengan kukuh dalam dunia kewartawanan. Dengan bahasa yang lebih mudah, dapat dikatakan bahawa hal yang sedemikian itu menjadikan wartawan tersebut amat popular di mata masyarakat dari pelbagai lapis kedudukan, pendidikan dan usia. Masyarakat negara ini melihat beliau sebagai ikon dalam dunia kewartawanan.

Populariti beliau juga merupakan satu daripada punca slot Buletin Utama TV3 yang bersiaran selama sejam pada waktu perdana, iaitu pada pukul 8:00 malam setiap hari mencapai rating yang tinggi. Dalam tempoh beberapa lama, slot berkenaan berkemampuan menarik perhatian penonton sehingga mencecah angka tiga juta tontonan. Dalam konteks negara kita, perkembangan berkenaan pada dasarnya luar biasa! Sungguhpun Karam Singh Walia tidak muncul dalam setiap slot berita perdana itu, masyarakat pada umumnya memilih rancangan informasi itu sebagai wadah pembijaksanaan akal budi mereka. Situasi itu kemudiannya berubah kepada suatu tanggapan yang lebih ekstrem, iaitu sebahagian daripada mereka mensinonimkan Karam Singh Walia dengan Buletin Utama. Hal yang sedemikian itu meletakkan Buletin Utama berada dalam kelas tersendiri.

Kini setelah Karam Singh Walia meninggalkan bidang kewartawanan, khususnya TV3 atau Media Prima, masyarakat negara ini benar-benar merasai kehilangan seorang wartawan yang selama ini aktif mempopularkan peribahasa, tegas, berani dan lincah berbahasa. Sehingga kini, tidak kelihatan seorang pun daripada kalangan wartawan yang berkecenderungan sepertinya. Jelas bahawa tindakan Karam Singh Walia yang pada asalnya berkhidmat dalam profesion pendidikan, iaitu sebagai guru Bahasa Inggeris, meninggalkan bidang penyiaran yang menyebabkan peribahasa sebagai satu daripada elemen kemasyhuran bahasa Melayu turut terjejas.

Walaupun sesekali kita mendapati bahawa ada sesetengah wartawan meja sukan cuba menggunakan peribahasa dalam laporannya, jelas diperhatikan bahawa mereka tidak konsisten dalam melaksanakan pengisian perkara itu. Antaranya termasuklah Datuk Rahim Razali, Datuk Haji Hasbullah Awang, Abdullah Hasim, Alimi Wan Mahmud, Karim Mohamad, Sharkawi Jirim, Zainal Abidin Rawop, Abu Bakar Atan, Shaukei Kahar, Tabah Syazwan Othman, dan Hafizal Hamad ketika melakukan siaran langsung atau ulasan selari sesuatu kejohanan sukan sama ada pada saingan peringkat domestik mahupun pada peringkat antarabangsa. Kalaupun ada dalam kalangan mereka yang boleh dianggap cenderung menggunakan peribahasa dalam tugasan masing-masing, jumlahnya sangat kecil, antaranya termasuklah Datuk Rahim Razali, Amran Hamid, Aziz Ibrahim, dan Datuk Haji Hasbullah Awang.

Berkaitan dengan persoalan ini, kajian lanjut juga mendapati bahawa Datuk Rahim Razali, umpamanya kerap memperlihatkan kesenian penggunaan beberapa cabang peribahasa, antaranya kata-kata hikmat, yang terdiri daripada frasa atau klausa yang sangat tinggi nilainya terutama dalam ulasan selari bola sepak. Dengan mimik muka yang sepadan dengan situasi perlawanan semasa, beliau yang juga terkenal sebagai aktor tempatan yang berkarisma, berusaha menarik penghayatan serta membentuk emosi penonton dengan penggunaan aspek bahasa yang langka tetapi amat signifikan serta relevan permasalahan dan isu yang sedang diperkatakan.

Satu daripada klausa menarik yang terdapat dalam ulasan beliau terbukti melalui ujarannya lebih 30 tahun yang lalu, iaitu pada perlawanan bola sepak pusingan akhir Piala Dunia 1986, yang berlangsung di Mexico. Perlawanan itu membabitkan saingan peringkat kumpulan dalam salah satu kumpulan yang menemukan pasukan Denmark dengan Sepanyol pada 18 Jun 1986 di Estadio La Corregidora, di bandar raya Santiago de Quere’taro, yang diadili oleh J. Ignacius Keizer dan disaksikan oleh kira-kira 38 500 penonton di stadium tersebut. Datuk Rahim Razali melakukan rumusan perlawanan itu dengan mengungkapkan klausa, “Bermula di jalan sukar, berakhir di jalan mati”. Pada perlawanan itu, beliau turut menggunakan beberapa simpulan bahasa, antaranya termasuklah “ayam tambatan”, “duri dalam daging” dan “pucuk dicita, ulam mendatang”.

Kajian ke atas kata-kata hikmat, “Bermula di jalan sukar, berakhir di jalan mati” ini turut mendapati bahawa Datuk Rahim Razali mengujarkannya bagi merumuskan kekalahan besar 1− 5 pasukan Denmark di tangan pasukan Sepanyol. Didapati bahawa pasukan Denmark yang diserang dengan hebat dari segenap penjuru pada bahagian awal perlawanan itu sebaliknya mendahului lawannya pada minit ke-33 melalui jaringan J. Olsen, namun kubu mereka selepas itu dibedil bertubi-tubi oleh pasukan Sepanyol yang akhirnya memperoleh jaringan melalui pemain yang mendapat jolokan Si Burung Hering, iaitu Emilio Butragueno Santos pada minit ke-43, 57, 80, dan 89, dan pemain barisan tengahnya – Andoni Goikoetxea Olaskoaga pada minit ke-68.

Datuk Rahim Razali mengungkapkan klausa tersebut secara spontan mungkin kerana Denmark yang merupakan pasukan pilihan pada perlawanan itu sebaliknya mengalami kekalahan besar, apatah lagi melibatkan empat jaringan yang menarik oleh seorang pemain muda pasukan Sepanyol. Sebenarnya, sepanjang perlawanan itu, ulasan Datuk Rahim Rahim itu dipenuhi oleh fakta, diujarkan dengan perkataan yang tepat dan signifikan dengan konteks, serta terhindar daripada fokus yang membazir.

Terdahulu, pada kempen bola sepak Piala Dunia 1982 di Sepanyol, Datuk Rahim Razali turut menjadi pengulas pilihan utama pihak penaja siaran langsung. Berkaitan dengan perkara ini, Rizal Hashim dalam blognya, rizalhashim.blogspot.com melalui artikel “Nasib Pengulas Sukan” yang ditulis pada 3 Julai 2011 menyatakan bahawa menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai, dikhabarkan pada kempen pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 1982, Datuk Rahim Razali memperoleh bayaran kira-kira RM100 000 atas ulasan sejumlah siaran langsung yang dibawakan kepada penonton oleh RTM 1 dan RTM 2. Sekiranya perkara itu benar, maka sangat wajarlah kita meletakkan beliau yang akrab dengan penggunaan frasa, klausa dan kata-kata hikmat yang merupakan sebahagian daripada peribahasa Melayu, berada pada kelasnya yang tersendiri.

Dalam konteks ini, usaha kesemua wartawan meja sukan tersebut serta rakan mereka yang lain, termasuklah pengulas sukan yang bukan berbangsa Melayu, khususnya yang bernaung di bawah saluran Astro Arena, menggunakan peribahasa dalam ulasan masing-masing seharunya dipuji. Bagi penonton yang gemar mengikuti sesuatu siaran rancangan sukan termasuklah rancangan bual bicara, wawancara, dan bicara nostalgia, pastinya mereka dapat menyaksikan sesekali terdapat usaha pengulas sukan bukan Melayu masa kini, antaranya Richard Scully, Stanley Bernard, Rueben Thevandran (Burn), dan Sharon Wee, menggunakan peribahasa Melayu.

Sungguhpun demikian, dalam konteks perbincangan seperti ini, sudah tentulah kita sebagai rakyat Malaysia yang akur akan hakikat bahawa perlunya Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan diperkasakan sangat mengharapkan mereka lebih serius dan lebih kreatif menggunakan peribahasa. Mereka seharusnya menggali khazanah bahasa dan budaya masyarakat Melayu, bukan setakat usaha seperti yang dilakukan oleh Karam Singh Walia, bahkan lebih agresif daripada beliau memandangkan sukan merupakan bidang yang sangat dekat dengan generasi muda.

Apabila penyampaian sesuatu laporan serta ulasan dalam bidang ini diselitkan peribahasa, maka dipercayai bahawa akan mudahlah pembudayaan penggunaan peribahasa tersemai dalam minda generasi baharu, malahan pada masa yang sama, generasi lama atau golongan dewasa pula akan terus menghayati aspek berkenaan dalam kehidupan mereka sehari-hari. Oleh sebab itu, kita sangat memerlukan kepekaan daripada kalangan wartawan berkaitan perkara ini agar peribahasa Melayu terus berkembang subur sepanjang zaman.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi