Oleh Yusaida Yusof
30 Mac 2021, 13:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

SHAH ALAM – Bahasa isyarat merupakan satu kaedah komunikasi yang menggunakan pergerakan tangan, badan dan bibir untuk menyampaikan maklumat. Bahasa isyarat sering digunakan dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) yang pekak atau tuli. Inilah cara mereka untuk bertutur antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, kekurangan diri yang ada pada diri golongan ini tidak menjadi penghalang buat Noor Izatty Sahrif yang mengusahakan perniagaan secara dalam talian untuk menyara diri dan keluarganya. Biarpun hanya berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat ketika menjual produknya, Izatty kelihatan lincah dan bijak dalam menarik perhatian pelanggan.

Ibu kepada tiga orang anak ini tidak pernah lekang dengan senyuman dan tidak kekok ketika menjual produknya secara dalam talian yang diadakan secara langsung di akaun Facebook miliknya, iaitu Zetty Sufiyyah. “Suami, anak-anak dan keluarga sangat banyak membantu saya. Namun begitu, adakalanya memang tidak dapat dinafikan bahawa sukar untuk saya meyakinkan pelanggan untuk membeli produk terutama bagi orang normal,” ujarnya yang memang berminat berniaga sejak dahulu.

Izzaty tidak menyangka bahawa produk yang dijual secara langsung menerusi Facebook miliknya baru-baru ini tular sehingga menarik perhatian banyak orang dan hasil jualannya juga semakin meningkat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.