Oleh Yusaida Yusof
2 April 2021, 22:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

SELANGOR – Tepukan gemuruh dan siulan hadirin bergema tatkala beberapa orang pemimpin MIC berpantun dalam ucapan masing-masing ketika majlis pembukaan Konvensyen Pergerakan MIC Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri Kebangsaan, yang berlangsung di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada hari ini. Lebih menarik lagi apabila hampir keseluruhan ucapan dasar oleh Ketua Putera MIC, S. Padmarajah turut menggunakan bahasa Melayu. Dalam ucapan yang turut diselitkan dengan pantun yang menarik itu, Padmarajah menyentuh isu berkaitan dengan kuota kemasukan pelajar India ke peringkat matrikulasi yang perlu diberi perhatian oleh pihak kementerian.

Selain Padmarajah, Pon Kogilam yang mewakili Puteri MIC juga menyelitkan pantun dalam ucapan dasarnya yang menggesa parti itu memberikan ruang kepada wanita untuk dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang. Sementara itu, Ketua Wanita MIC, J. Usha Nandhini juga menyelitkan pantun dalam ucapannya yang menggesa kerajaan agar segera membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) gangguan seksual berikutan peningkatan kes gangguan seksual yang berlaku belakangan ini. Walau bagaimanapun, Ketua Pemuda MIC, Thinalan T. Rajagopalu tidak pula berpantun dalam ucapan dasarnya.

Perhimpunan yang berlangsung selama dua hari yang bermula pada hari ini dirasmikan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, yang juga merangkap Menteri Sumber Manusia, selain dihadiri oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar, yang turut memberikan ucapan dasar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.