8 April 2021, 10:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Audit bahasa? Pastinya agak janggal kerana kita biasa mendengar tentang audit kewangan, audit staf dan audit pentadbiran. Apakah audit bahasa? Mengapakah perlunya dibuat audit bahasa? Bahasa bukan sekadar alat komunikasi untuk saling mengenal dan berhubung antara satu sama lain tetapi bahasa jiwa bangsa. YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata demikian dalam Rancangan Peka Bahasa: Audit Bahasa menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada hari ini.

Beliau turut memetik ucapan Yang Teramat Mulia Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj semasa berucap bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan, iaitu bahasa kebangsaan ibarat roh kepada jasad. Tanpa bahasa kebangsaan, negara seakan-akan jasad tanpa roh. Itu ungkapan yang paling tepat kerana bahasa ialah kurniaan besar daripada Allah SWT kepada manusia bersama-sama akal fikiran, tidak kira agama ataupun latar bangsa.

Katanya lagi, bahasa ialah asas dalam pembinaan tamadun dan salah satu pancang negara bersama-sama pancang yang lain seperti pendidikan, kebudayaan, kedudukan agama dan perlembagaan negara. Oleh itu, bahasa ialah pancang yang penting untuk negara terutamanya untuk perpaduan.

Bahasa berperanan untuk memajukan negara melalui asas jati diri rakyat, iaitu bahasa Melayu menjadi alat komunikasi dalam jentera pentadbiran negara. Kita juga sedia maklum, sekiranya pelbagai bahasa digunakan dalam jentera pentadbiran negara, maka akan timbul kekeliruan dalam urusan dokumen, surat-menyurat dan sebagainya. Oleh itu, gunakan satu bahasa sahaja, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau turut menekankan bahawa audit bahasa penting bagi memastikan jentera pentadbiran negara bergerak dengan lancar. DBP satu-satunya badan kerajaan di dunia yang membuat audit bahasa. Audit bahasa dilakukan untuk perpaduan dan pembangunan negara, pendemokrasian dan pendidikan serta pengukuhan jati diri rakyat. Hanya dalam konteks rasmi kita menggunakan bahasa Melayu selain digalakkan untuk mempelajari bahasa lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.