8 April 2021, 14:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR − Masyarakat Chetti dikatakan bermula ketika Melaka menjadi pusat perdagangan yang dibanjiri oleh para pedagang termasuklah pedagang dari India. Masyarakat ini mempunyai ciri tersendiri dan ada dalam kalangan mereka berkahwin dengan wanita tempatan. Mereka beragama Hindu seperti masyarakat India yang lain tetapi menggunakan bahasa Melayu Chetti.

Bahasa Melayu Chetti terbentuk hasil daripada pertuturan pedagang semasa urusan perdagangan di pelabuhan Melaka. Bahasa ini asalnya dikenali sebagai bahasa pasar atau bazar Malay dan selepas itu berkembang terutama selepas perkahwinan para pedagang dengan wanita tempatan. Kemudian, bahasa ini diangkat menjadi bahasa pijin dan menjadi bahasa asas yang digunakan dalam kehidupan seharian dan akhirnya menjadi bahasa ibunda bagi anak-anak kaum Chetti Melaka.

Bahasa Melayu Chetti merupakan bahasa yang  amat menarik kerana bahasa ini mempunyai asas bahasa Melayu dan kata-kata pinjaman daripada bahasa Tamil. Bahasa ini banyak digunakan dalam upacara keagamaan seperti perkataan “amah”, yang merujuk Tuhan, “tali” yang merujuk rantai perkahwinan dan “malei” yang merujuk kalungan bunga malai.

Sebutan perkataan ini sedikit berbeza daripada sebutan orang Tamil kerana dipengaruhi oleh bahasa asal atau bahasa ibunda mereka, iaitu bahasa Chetti Melaka. Contohnya, “cangkir” merujuk piring, “iniari” merujuk hari ini, “tak lagi” merujuk tidak lagi, “anak jantan” merujuk anak lelaki, “taruk” merujuk letak dan “bilang” merujuk beritahu.

Mereka juga meminjam perkataan daripada kaum Cina Peranakan seperti perkataan “limpo” untuk sapu tangan dan “kemantin” untuk pengantin. Ada juga perkataan yang dipinjam daripada kaum Kristang Melaka seperti perkataan “menjela”, yang bermaksud jendela, yang menjadi sebahagian daripada kamus bahasa Chetti.

Demikianlah antara penerangan yang diberikan oleh Dr. Nurul Huda Hamzah, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Linguistik dari Universiti Malaya. Beliau membicarakan tentang bahasa Melayu Chetti sewaktu menjadi tetamu undangan dalam Rancangan Bahasa dan Budaya Kaum Chetti Melaka: Catatan dari Celah “Menjela” Kampung Chetti, Melaka, yang berlangsung pada hari ini. Yang turut diundang ialah Puan Roziah Md Yunos, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, yang turut berkongsi ilmu tentang bahasa Melayu Chetti di Malaysia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!