Oleh Kho Thong Eng
23 April 2021, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Dalam perbincangan umum pastinya akan timbul ayat yang lewah yang boleh menyebabkan rasa bosan kepada pendengar.

Kelewahan berlaku apabila seseorang menggunakan sinonim untuk tujuan penegasan maksud. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  *Hal itu mendatangkan manfaat dan kebaikan.

1b.  Hal itu mendatangkan manfaat/kebaikan.

1c.  Hal itu mendatangkan banyak manfaat/kebaikan.

1d.  Hal itu memang mendatangkan manfaat/kebaikan.

1e.  Hal itu sesungguhnya mendatangkan manfaat/kebaikan.

1f.   Hal itu betul-betul mendatangkan manfaat/kebaikan.

Dalam kelompok ayat 1 di atas, penegasan maksud sepatutnya dilakukan dengan menggunakan mekanisme lain, iaitu kata bilangan ‘tak tentu banyak atau kata penegas memang, kata penekan sesungguhnya, atau kata adverba seperti betul-betul.

Kelewahan juga berlaku apabila kita menambah huraian yang maksudnya sedia terkandung dalam kata asal.  Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  *Barangan itu diimport dari luar negara.

2b.  Barangan itu diimport.

2c.  Barangan itu diimport dari Australia.

3a. *Dia membuang sampah yang tidak berguna.

3b.  Dia membuang sampah.

3c.  Dia membuang barangan yang tidak berguna.

4a.  *Itulah penjenayah yang jahat.

4b.  Itulah penjenayah.

4c.  Itulah orang yang jahat.

5a.  *Ramai ibu bapa yang ada anak hadir.

5b.  Ramai ibu bapa hadir.

5c.  Ramai orang yang ada anak hadir.

6a.  *Ramai hadirin hadir.

6b.  Ramai hadirin teruja.

6c.  Ramai orang hadir.

7a.  *Makanan sedia terhidang.

7b.  Makanan terhidang.

8a.  *Seyogianya, dia harus berusaha.

8b.  Seyogianya dia berusaha.

8c.  Dia harus berusaha.

Ayat 2a lewah kerana kata diimport bermaksud “dibawa masuk dari luar negara”. Ayat 2c betul kerana menyatakan nama luar negara yang khusus, iaitu Australia. Ayat 3a lewah kerana kata sampah bererti “benda atau orang yang tidak berharga atau tidak berguna”. Ayat 4a lewah kerana kata penjenayah bererti “orang yang melakukan kejahatan yang salah di sisi undang-undang”. Ayat 5a lewah kerana frasa nama ibu bapa bererti “orang yang ada anak”. Ayat 6a lewah kerana kata hadirin sudah mendukung maksud kata hadir. Ayat 7a lewah kerana awalan ter- sudah mendukung maksud “dalam keadaan tersedia”. Ayat 8a lewah kerana kata seyogianya bermaksud “seharusnya, semestinya, sepatutnya atau selayaknya”.

Kelewahan berlaku apabila dua kata penegas yang sama maksudnya digunakan dalam ayat.  Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  *Hanya sepuluh orang sahaja hadir.

9b.  Hanya sepuluh orang hadir.

9c.  Sepuluh orang sahaja hadir.

10a.  *Dia hanya berdiam diri semata-mata.

10b.  Dia hanya berdiam diri.

10c.  Dia berdiam diri semata-mata.

Dalam kelompok ayat 9, kata penegas hanya sama erti dengan kata penegas sahaja. Oleh itu, hanya satu daripada dua patah kata tersebut perlu digunakan. Dalam kelompok ayat 10 pula, kata penegas hanya sama erti dengan kata penegas semata-mata.

Kelewahan berlaku apabila dua kata sendi nama atau dua kata hubung yang sama fungsi digunakan secara berderetan.  Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  *Dia belajar dari pagi hingga ke petang.

11b.  Dia belajar dari pagi hingga petang.

11c.  Dia belajar dari pagi ke petang.

12a.  *Dia berusaha demi untuk berjaya.

12b.  Dia berusaha demi berjaya.

12c.  Dia berusaha untuk berjaya.

Ayat 11a lewah kerana sendi nama hingga dan ke menggalas fungsi yang sama. Ayat 12a lewah kerana kata hubung keterangan tujuan demi dan untuk tidak boleh digunakan secara berderetan.

Kelewahan juga terjadi jika kata yang mendukung maksud jamak digunakan bersama dalam ayat.  Sila lihat contoh yang berikut:

13a.  *Burung-burung berterbangan.

13b.  Burung-burung terbang.

13c.  Burung berterbangan.

14a.  *Rumah-rumah di sana cantik-cantik.

14b.  Rumah-rumah di sana cantik.

14c.  Rumah di sana cantik-cantik.

15a.  *Senarai nama-nama peserta sudah disediakan.

15b.  Senarai nama peserta sudah disediakan.

Ayat 13a lewah kerana kata nama ganda burung-burung atau imbuhan beR-…-kan mendukung maksud jamak. Ayat 14a lewah kerana kata nama ganda rumah-rumah dan kata adjektif ganda cantik-cantik mendukung maksud jamak. Ayat 15a lewah kerana senarai nama bererti catatan nama yang disusun berderet atau mengikut urutan tertentu.

Kelewahan juga terjadi jika kata yang mendukung maksud dua pihak atau bersalingan digandingkan dengan kata saling. Sila lihat contoh yang berikut:

16a.  *Mereka saling berpelukan.

16b.  Mereka berpelukan.

17a.  *Mereka saling bantu-membantu.

17b.  Mereka saling membantu.

17c.  Mereka bantu-membantu.

Kelewahan juga berlaku jika kata atau frasa yang sudah mendukung maksud kesangatan digandingkan dengan kata penguat sangat. Sila lihat contoh yang berikut:

18a.  *Rambutnya sangat kusut-masai.

18b.  Rambutnya kusut-masai.

18c.  Rambutnya sangat kusut.

19a.  *Dia sangat miskin papa.

19b.  Dia miskin papa.

19c.  Dia sangat miskin.

Bagi kata yang mendukung maksud “ke atas” atau “ke bawah”, gandingan kata tersebut dengan frasa sendi nama “ke atas” dan “ke bawah” dianggap lewah. Sila lihat contoh yang berikut:

20a.  *Dia terjun ke bawah.

20b.  Dia terjun.

21a.  *Udara yang panas naik ke atas.

21b.  Udara yang panas naik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.