1 Mei 2021, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur −Perak merupakan antara negeri yang banyak bersempadan dengan negeri-negeri yang lain. Contohnya, Hulu Perak bersempadan dengan Thailand di bahagian atas negerinya dan di sebelah kanannya pula ialah negeri Kelantan. Pada asalnya, Perak mempunyai sembilan buah daerah tetapi kini sudah menjadi 12 daerah, iaitu Kinta Utara dan Kinta Selatan. Begitu juga daerah Batang Padang sudah ada daerah Mualim dan daerah Hilir Perak sudah ada daerah Bagan Datuk.

Penduduknya bercakap menggunakan pelbagai dialek yang terbahagi kepada lima jenis, iaitu dialek Utara, Patani, Lembah Sungai Perak, Pulau Bali di Indonesia dan Selatan Semenanjung. Namun begitu, bukan keseluruhan penduduk di Perak menggunakan dialek Perak, sebaliknya merupakan dialek yang terdapat di negeri itu. Asal usul dialek negeri Perak termasuklah daripada penduduk yang bersempadan di bahagian utara, iaitu Kerian, Larut Matang, Bagan Serai, Taiping dan Parit Buntar. Pantai Remis terarah pada dialek Kedah. Begitu juga faktor penghijrahan yang antaranya berlaku melalui laut, iaitu dari Sumatera Indonesia atau dari Kalimantan Indonesia dan Banjarmasin yang berhijrah ke Kerian.

Antara asimilasi bahasa yang berlaku termasuklah dalam dialek Perak yang menerima, mencantumkan, menggabungkan dialek dari Jawa, Indonesia. Antara contohnya termasuklah perkataan jajan yang bermaksud kudap. Sumber perkataan itu dikatakan berasal dari Indonesia. Bahasa itu bersifat terbuka dan adanya faktor penerimaan daripada luar. Jika tidak, bahasa itu akan lenyap.

Antara dialek Perak yang dikongsikan oleh Cikgu Mudzaffar Shah.

“Semoga kita sama-sama berperanan menjaga warisan bangsa kerana hilang satu warisan, maka kita akan sangat rugi. Kedudukan warisan bangsa kita kian hilang disebabkan oleh faktor kecanggihan teknologi. Orang yang hebat bukan sahaja kerana ilmu, bahkan boleh bercakap dalam pelbagai bahasa dan dalam pelbagai dialek. Seelok-eloknya generasi muda pada hari ini dapat menonton, merakam dan menyimpan koleksi dialek ini kerana pada suatu masa nanti kita akan amat memerlukannya.”

Demikianlah antara penerangan yang diberikan oleh Cikgu Mudzaffar Shah, ketika berbicara tentang kepelbagaian dialek Perak sewaktu menjadi tetamu undangan dalam Rancangan Dialek Kita: Kepelbagaian Dialek Perak menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP sebentar tadi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.