Oleh Kho Thong Eng
6 Mei 2021, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata peralihan (transition words) meliputi penanda wacana (discourse marker), kata hubung (conjunction) dan kata sendi nama (preposition).  Penanda wacana digunakan untuk menghubungkan ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan, petikan dengan petikan, dan sebagainya.  Sebaliknya, kata hubung digunakan untuk menghubungkan klausa dengan klausa, dan kata sendi nama digunakan untuk menghubungkan klausa dengan frasa.  Sila lihat contoh berikut:

1a.  Dia masuk ke bilik.  Kemudiannya dia tidur.

Dia masuk ke bilik.  Kemudiannya dia tidur.

1b.  Dia masuk ke bilik, lalu tidur.

1c.  Dia masuk ke bilik dengan badan yang letih lesu.

Dalam ayat 1a, kata penanda wacana “kemudiannya” menghubungkan ayat “dia masuk ke bilik” dengan ayat “dia tidur”.  Dalam ayat 2, kata hubung setara “lalu” menghubungkan klausa “dia masuk ke bilik” dengan klausa “(dia) tidur“.  Dalam ayat 1c, kata sendi nama “dengan” menghubungkan klausa “dia masuk ke bilik” dengan frasa “badan yang letih lesu”.

Penanda wacana (discourse marker) dapat dibahagikan kepada beberapa jenis, bergantung pada maklumat dalam ayat yang dihubungkannya.  Jika penanda wacana menghubungkan ayat yang memberikan maklumat tambahan kepada ayat yang mendahuluinya, penanda wacana itu dinamakan sebagai penanda wacana tokok tambah (additive marker).   Sila lihat contoh berikut:

2a. Kita harus mengambil makanan yang seimbang.  Tambahan pula,  kita harus juga bersenam.

2b. Kita harus mengambil makanan yang seimbang.  Selain itu,  kita harus juga bersenam.

2c.Kita harus mengambil makanan yang seimbang.  Di samping itu,  kita harus juga bersenam.

Dalam kelompok ayat 2 di atas, penanda wacana “tambahan pula”, “selain itu” dan “di samping itu” merupakan penanda wacana tokok tambah.

Ada juga penanda wacana yang menghubungkan dua ayat dengan maklumat yang bertentangan, iaitu ayat yang kedua mendukung maklumat yang bertentangan atau bercanggah dengan ayat yang mendahuluinya.  Penanda wacana seperti ini dinamakan penanda wacana pertentangan (adversative marker).  Sila lihat contoh berikut:

3a.  Dia bersifat kedekut.  Sebaliknya, adiknya bersifat pemurah.

3b.  Dia bersifat kedekut.  Namun demikian, adiknya bersifat pemurah.

3c.  Dia bersifat kedekut.  Namun begitu, adiknya bersifat pemurah.

3d.  Dia bersifat kedekut.  Walau bagaimanapun, adiknya bersifat pemurah.

3e.  Dia bersifat kedekut.  Kendatipun begitu, adiknya bersifat pemurah.

3f.   Dia bersifat kedekut.  Walaupun begitu, adiknya bersifat pemurah.

3g.  Dia bersifat kedekut.  Sekalipun begitu, adiknya bersifat pemurah.

Dalam kelompok ayat 3 di atas, penanda wacana “sebaliknya”, “namun demikian”, “namun begitu”, “walau bagaimanapun”, “kendatipun begitu”, “walaupun begitu” dan “ sekalipun begitu” merupakan penanda wacana pertentangan.

Penanda wacana sebab – akibat (cause – effect marker) menghubungkan dua ayat berdasarkan hubungan sebab – akibat, iaitu ayat yang merupakan sebab sesuatu perkara disusuli oleh ayat yang merupakan akibatnya.  Sila lihat contoh berikut:

4a.  Dia pemarah.  Oleh itu, kawannya tidak ramai.

4b.  Dia pemarah.  Kerana itu, kawannya tidak ramai.

4c.  Dia pemarah.  Oleh sebab itu, kawannya tidak ramai.

4d.  Dia pemarah.  Sebagai akibatnya, kawannya tidak ramai.

4e.  Dia pemarah.  Natijahnya, kawannya tidak ramai.

4f.   Dia pemarah.  Dengan itu, kawannya tidak ramai.

4g.  Dia pemarah.  Maka itu, kawannya tidak ramai.

4h.  Dia pemarah.  Oleh hal demikian, kawannya tidak ramai.

4i.   Dia pemarah.  Ekoran daripada hal itu, kawannya tidak ramai.

4j.   Dia pemarah.  Rentetan daripada hal itu, kawannya tidak ramai.

4k.  Dia pemarah.  Memandangkan hal demikian, kawannya tidak ramai.

4l.   Dia pemarah.  Disebabkan hal demikian, kawannya tidak ramai.

Dalam kelompok ayat 4 di atas, penanda wacana “oleh itu”, “kerana itu”, “oleh sebab itu”, “sebagai akibatnya”, “dengan itu”, “maka itu”, “oleh hal demikian”, “ekoran daripada hal itu”, “rentetan daripada hal itu”, “memandangkan hal demikian”, dan “disebabkan hal demikian” merupakan penanda wacana sebab – akibat.

Penanda Wacana yang menghubungkan ayat yang menunjukkan turutan kronologi atau masa dinamakan sebagai penanda wacana turutan (continuation marker).  Sila lihat contoh berikut:

5a.  Mula-mulanya, dia masuk ke rumah.  Kemudiannya, dia bertukar baju.  Seterusnya, dia berehat.

5b.  Mula-mulanya dia masuk ke rumah.  Seterusnya, dia bertukar baju.  Akhirnya, dia berehat.

5c.  Mula-mulanya dia masuk ke rumah.  Selanjutnya, dia bertukar baju.  Seterusnya, dia berehat.

5d.  Mula-mulanya dia masuk ke rumah.  Selepas itu, dia bertukar baju.  Akhirnya, dia berehat.

5e.  Mula-mulanya dia masuk ke rumah.  Sesudah itu, dia bertukar baju.  Seterusnya, dia berehat.

5f.  Pertamanya dia masuk ke rumah.  Keduanya, dia bertukar baju.  Ketiganya, dia berehat.

5g.  Dia telah tersilap.  Sebagai langkah susulan, dia telah bermuhasabah dan bertaubat.

5h.  Mula-mula dia melawan kita. Lambat-laun dia akan mengalah juga.

Dalam kelompok ayat 5 di atas, penanda wacana “mula-mulanya”, “kemudiannya”, “seterusnya”, “akhirnya”, “selanjutnya”, “selepas itu”, “sesudah itu”. “pertamanya”, “keduanya’, “ketiganya”, “sebagai langkah susulan” dan “lambat-laun” merupakan penanda wacana turutan.

Penanda wacana rujukan (reference marker) terletak pada pangkal ayat kedua untuk merujuk kepada perkara yang diperkatakan dalam ayat yang sebelumnya.  Sila lihat contoh berikut:

6a. Disiplin murid harus dikawal.  Dalam hal ini, semua pihak harus bekerjasama.

6b.   Dunia semakin maju.  Sehubungan dengan itu, terdapat rekaan yang baharu hampir pada setiap hari.

Dalam kelompok ayat 6 di atas, penanda wacana “dalam hal ini” dan “sehubungan dengan itu” merupakan penanda wacana rujukan.

Penanda wacana penggantian (substitution marker) menggantikan subjek dalam ayat yang sebelumnya dengan kata ganti nama.  Sila lihat contoh berikut:

7a.  Ali, Ahmad dan Hasan pergi berkelah.  Mereka balik pada lewat petang.

7b.  Ponteng sekolah semakin menjadi-jadi.  Gejala ini harus ditangani.

Dalam kelompok ayat 6 di atas, penanda wacana “mereka” dan “gejala ini” merupakan penanda wacana penggantian.

Terdapat juga penanda wacana yang mengulangi maklumat pada ayat sebelumnya dengan kata yang sama, sinonim, hubungan hiponim – hipernim (kata superordinat), hubungan holonim – meronim atau kolokasi.  Penanda wacana demikian dikatakan sebagai penanda wacana leksikal (lexical marker).  Sila lihat contoh berikut:

8a.  Dia sangat peramah.  Adiknya juga peramah.

8b.  Dia sangat sopanKesopanannya disenangi orang ramai.

8c.  Tempat peranginan itu cantik.  Ramai orang terpesona oleh pemandangan di pusat pelancongan itu.

8d.  Di taman itu ada teratai, melur, cempaka, kenanga dan mawar.  Semua bunga itu sangat cantik.

8e. Rumah itu mewah.  Semua tiang, dinding, lelangit dan lantai dibuat daripada bahan yang terpilih.

8f. Dia suka memancingHasil tangkapannya dapat menjimatkan perbelanjaan dapur.

Dalam ayat 8a, kata “peramah” telah diulang.  Dalam ayat 8b, perulangan berlaku pada kata “sopan” yang ditambah imbuhan.  Dalam ayat 8c, “tempat peranginan” merupakan sinonim bagi “pusat pelancongan”.  Dalam ayat 8d, “teratai”, “melur”, cempaka”, “kenanga” dan “mawar” merupakan hiponim bagi hipernim (kata superordinat) “bunga”.  Bagi ayat 8e, “tiang”, “dinding”, “lelangit” dan “lantai” merupakan meronim bagi holonim “rumah”.  Bagi ayat 8f, kata “memancing” dan “hasil tangkapan” mempunyai hubungan kolokasi.

Penanda wacana penjelasan (clarification marker) menjelaskan sesuatu perkara dengan kata lain dalam ayat yang seterusnya.  Sila lihat contoh berikut:

9a.  Dia bersahsiah luhur.  Dalam kata lain, dia bersifat sopan, jujur, ikhlas dan prihatin.

9b.  Ramai orang salah faham dan salah sangka.  Sebenarnya, dia tidak bersalah.

9c.  Kita harus mengamalkan budaya membaca.  Sebagai contoh, kita boleh mewujudkan perpustakaan mini di rumah, mengunjungi pameran buku dan kedai buku, dan meminjam buku dari perpustakaan.

Dalam kelompok ayat 9 di atas, penanda wacana “dalam kata lain”, “sebenarnya” dan “sebagai contoh” merupakan penanda wacana penjelasan.

Penanda wacana penegasan (emphasis marker) menekankan sesuatu mesej yang hendak disampaikan dalam ayat seterusnya.  Sila lihat contoh berikut:

10a.  Dia merupakan kawan yang baik.  Sekurang-kurangnya, dia sedia menolong kita.

10b.  Kawasan desa itu tidaklah teruk sangat.  Setidak-tidaknya, di sana ada bekalan air paip dan bekalan kuasa elektrik.

10c.  Tiada manusia yang sempurna.  Begitu jugalah kita.

10d.  Masalah itu dapat diatasi.  Pokok pangkalnya, kita harus bekerjasama.

10e.  Usaha kita hanya sia-sia.  Tegasnya, tiada apa-apa yang kita capai setakat ini.

Dalam kelompok ayat 10 di atas, penanda wacana “sekurang-kurangnya”, “setidak-tidaknya”, “begitu juga”, “pokok pangkalnya” dan “tegasnya” merupakan penanda wacana penegasan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.