Oleh Mohd Isha Awang
9 Mei 2021, 23:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pandemik COVID-19 telah memberikan kesan langsung dalam kehidupan masyarakat sama ada  pada peringkat nasional mahupun  global. Kesan berkenaan termasuklah kepada aspek pendidikan daripada prasekolah hinggalah kepada peringkat pengajian tinggi. Kesan langsung pandemik ini kepada aspek pendidikan pula telah menyebabkan perubahan dalam penyampaian pengajaran daripada bersemuka kepada penyampaian pengajaran secara maya atau secara dalam talian. Hai ini akan memberikan kesan kepada penguasaan dan pencapaian pelajar dalam pembelajaran bahasa Melayu serta mata pelajaran lain.

Sehingga penulisan artikel ini ditulis, banyak negara telah menutup atau mengehadkan pergerakan dalam kehidupan seharian. Semua sekolah dan institusi pendidikan turut ditutup hingga ada sekatan pergerakan ditarik balik. Lanjutan penutupan semua institusi pendidikan berkenaan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran terpaksa melalui dimensi baharu, iaitu melalui secara maya. Semua guru dan pelajar harus menempuh suasana baharu yang menyebabkan para guru dan murid perlu menguasai dan menggunakan teknologi dalam memastikan proses pembelajaran secara maya berjalan lancar. Para guru juga perlu merancang pengajaran dengan menyediakan bahan pembelajaran kendiri secara dalam talian untuk para pelajar.

Sejak perkembangan internet pada tahun 1990-an, guru bahasa digambarkan mempunyai hubungan yang sukar dengan penggunaan teknologi. Mereka dikatakan lebih tertinggal dalam menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara digital disebabkan oleh kurang bersedia untuk menggunakan teknologi dalam pengajaran mereka (Clark, 2018). Akibatnya, banyak guru bahasa terkesan dengan gelombang digital yang telah merevolusikan kebanyakan bidang dalam kehidupan. Perasaan bimbang wujud dalam diri guru bahasa ketika mula menggunakan teknologi dalam pengajaran. Terdapat tiga perkara asas yang sering berlegar dalam fikiran guru bahasa, iaitu:

  1. Teknologi suatu perkara yang asing – interaksi antara pelajar menjadi terhad dan tidak serupa dengan cara berinteraksi dalam realiti sebenar.
  2. Guru seolah-olah kehilangan kemahiran dan tumpuan utama pengajaran.
  3. Kemunculan teknologi, khususnya Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) memberikan kesan yang pelbagai kepada guru bahasa.

Bagaimanakah cara untuk menangani masalah ini? Adakah teknologi begitu asing kepada guru bahasa? Dalam banyak keadaan, teknologi sebenarnya dapat memudahkan interaksi. Berapa ramaikah dalam kalangan kita kini yang menggunakan telefon dan media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Telegram, WeChat dan lain-lain untuk berkomunikasi? Hal ini sama sahaja berlaku semasa interaksi dalam persekitaran pembelajaran maya jika dikendalikan dengan betul. Peluang untuk menggunakan bahasa dapat dioptimumkan dan pelajar akan mempunyai banyak masa untuk berinteraksi antara satu sama lain. Sama ada kita suka atau tidak bentuk interaksi ini, yang diketengahkan melalui saluran digital kini menyumbang peratusan interaksi yang tinggi dalam dunia nyata.

Adakah guru bahasa kehilangan kemahiran dan tumpuan pengajaran? Pengajaran bahasa bukanlah suatu disiplin ilmu statik. Hal ini dikatakan demikian kerana guru bahasa ialah penyampai utama pengetahuan pengisytiharan atau declarative, iaitu fakta atau maklumat. Pada masa ini, guru bahasa lebih dikonseptualisasikan sebagai fasilitator pembelajaran yang memberikan peluang belajar kepada pelajar mereka untuk memberikan maklum balas bagi menyokong peningkatan pembelajaran. Oleh itu, tumpuan pengajaran atau inti pati pengajaran bukanlah sesuatu yang kaku tetapi lebih dinamik untuk disesuaikan dengan konteks dan situasi semasa guru berada. Permudahan pembelajaran melalui teknologi merupakan suatu kemahiran baharu dan dalam banyak konteks dapat memberikan sokongan yang sangat berguna di dalam bilik darjah dengan memberikan peluang kepada pelajar untuk belajar dengan cara baharu dan menarik.

KESAN KECERDASAN BUATAN (ARTIFICIAL INTELLIGENCE)

Kecerdasan buatan sering dimomokkan pada abad ke-21 dan menghantui banyak profesion. Walaupun terdapat tanggapan bahawa kecerdasan buatan bakal menggantikan kebanyakan profesion pekerjaan pada masa hadapan, kajian yang dijalankan oleh Frey dan Osborne (2013), mendapati bahawa kemungkinan profesion guru sekolah kehilangan fungsi adalah sekitar 0.007 peratus sahaja jika dibandingkan dengan sektor pekerjaan lain seperti pembantu perpustakaan (0.95), broker hartanah (0.97) dan pegawai pemasaran (0.99).

Hal ini dikatakan demikian kerana pengajaran merupakan pekerjaan yang kompleks, yang memerlukan pelbagai kemahiran seperti pengetahuan kandungan mata pelajaran berkenaan, pengurusan kelas, kemahiran motivasi, menyampaikan maklum balas, membezakan gaya pembelajaran pelajar, penyelesai masalah, kecerdasan emosi, bimbingan dan kaunseling serta kemahiran lain yang saling berkaitan dalam penyampaian ilmu dan kemahiran bahasa.

Berbeza dengan keadaan kecerdasan buatan semasa, yang boleh digambarkan sebagai domain khusus, iaitu berkemahiran tinggi tetapi dalam satu bidang tertentu. Misalnya, bermain catur, memandu kereta, mengenali wajah atau ucapan manusia. Kemahiran domain am yang dimiliki oleh seseorang guru bahasa dengan interaksi yang kompleks antara mereka tidak akan dapat ditandingi oleh mesin dalam waktu dekat.

Bagaimanakah cara untuk membantu pembelajaran Bahasa Melayu?

Sebahagian daripada alasan yang mengatakan bahawa pengajaran bahasa ketinggalan dalam menggunakan kaedah pengajaran baharu melalui teknologi itu disebabkan oleh sekolah kekurangan motivasi atau sumber untuk menerapkan penyelesaian teknologi di dalam dan di luar persekitaran bilik darjah. Keadaan ini menyumbang kepada melemahkan kemahiran digital dalam kalangan guru bahasa. Namun  begitu, dalam situasi yang mencabar sekarang, keperluan sistem pendidikan  kita telah berubah dan bergerak seiring dengan keperluan dan cabaran yang dihadapi.

Oleh itu, terdapat keperluan yang jelas dan mendesak dalam mengembangkan profesional dalam pengajaran melalui teknologi kepada semua guru di seluruh dunia. Sebagai guru bahasa, mereka perlu mengambil langkah proaktif dalam mendepani cabaran pandemik semasa. Antara langkah tersebut termasuklah:

  1. Menghadiri kursus Massive Open Online (MOOC) bagi mendapatkan kemahiran yang diperlukan untuk mengajar dalam talian.
  2. Menyertai siri webinar yang dapat membantu para guru bahasa menyampaikan pengajaran dengan sempurna secara dalam talian. Hal ini merangkumi webinar yang membincangkan tajuk seperti “Ketahanan: Mengajar Pada Masa Sukar” dan “Menguruskan Interaksi dan Maklum Balas di Bilik Darjah Maya”.
  3. Menghasilkan laman web khas bagi mendukung rangkaian guru bahasa Melayu dalam menyediakan sumber pengajaran yang berguna seperti rancangan pelajaran, aktiviti dalam talian dan bahan bantu mengajar yang membolehkan pelajar mendapatkan maklum balas segera.
  4. Melibatkan diri dengan menggunakan pelbagai aplikasi yang tersedia di Google Play dan Apple Stores, yang menyediakan bahan latihan yang menarik dan memotivasikan pelajar untuk belajar sendiri seperti “SPM”, “Kuiz SPM 2021”, ”MyUPSR Revision” dan sebagainya.

STRATEGI PENGAJARAN SECARA DALAM TALIAN

Pengurusan Suara dan Nada

Satu ciri yang menonjol dalam pengajaran secara dalam talian ialah suara guru. Kajian lalu menunjukkan bahawa komunikasi yang berkesan antara pelajar dengan guru  yang melibatkan naik turun nada suara adalah sangat penting. Dalam pengajaran kelas tradisional, bahasa badan, kontak mata, dan gerak isyarat fizikal merupakan alat pengajaran yang penting. Walau bagaimanapun, dalam pengajaran secara dalam talian, guru harus lebih fokus pada fungsi suara dan vokal mereka. Kajian Bao (2020), mendapati bahawa bercakap dengan lembut dapat memberikan manfaat kepada pelajar dengan membantu mereka untuk mengikuti pembelajaran dengan lebih berkesan. Oleh itu, guru bahasa harus mengetahui tentang pentingnya mengekalkan suara perlahan dan mempraktikkan fungsi vokal. Hal ini akan memastikan pembelajaran yang berkesan untuk pelajar semasa pengajaran secara dalam talian.

Merumuskan Strategi Pengajaran untuk Meningkatkan Interaksi Kelas Secara dalam Talian

Kepelbagaian aktiviti semasa pembelajaran secara dalam talian akan meningkatkan kadar kejayaan kelas secara talian secara keseluruhan. Kajian Townsend et al. (2002) pula menggambarkan bahawa lebih banyak perbincangan antara pelajar dengan guru dapat menghasilkan aktiviti yang lebih aktif dan memberangsangkan. Penyertaan kelas secara dalam talian boleh menjadi satu daripada cara untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam sesi pembelajaran. Menurut  Smith dan Diaz (2004), pembelajaran menggunakan pendekatan kajian kes dengan mengemukakan soalan boleh melibatkan pelajar dengan lebih aktif. Dengan menggunakan pendekatan ini akan mendorong penyertaan pelajar dan meningkatkan kemampuan mereka untuk belajar. Dalam konteks ini, guru harus menyediakan bahan pengajaran yang berbentuk kajian kes terlebih dahulu dan berkongsi dengan pelajar.

Membangunkan Kemampuan Belajar Pelajar di Kelas Secara dalam Talian

Pembelajaran secara dalam talian sama sekali berbeza dengan pembelajaran tradisional dalam bilik darjah secara bersemuka. Dalam kuliah secara tradisional di dalam bilik darjah, guru berasa lebih terkawal terhadap tingkah laku pelajar. Hal ini sedikit berbeza semasa mengendalikan pembelajaran secara dalam talian. Guru harus merancang untuk menghasilkan pembelajaran yang menarik serta mengemukakan soalan yang mencabar kepada pelajar semasa kelas secara dalam talian (Smith dan Diaz, 2004). Hal ini akan membantu mewujudkan interaksi yang lebih baik yang melibatkan guru dengan pelajar serta pelajar dengan pelajar. Tambahan pula,  pendekatan ini akan memastikan pelajar lebih fokus terhadap pembelajaran yang sedang berlangsung. Guru juga perlu mendapatkan maklum balas daripada pelajar mengenai kelas secara dalam talian ini agar dapat meningkatkan kapasiti pembelajaran secara dalam talian.

Unit Pengajaran Berfokuskan Kemahiran Kritis, Praktikal dan Kreatif untuk Kejayaan Pembelajaran Secara dalam Talian

Guru harus merangka bahan pembelajaran yang lebih kreatif. Dengan kata lain, pelajar harus ditawarkan dengan  bahan bantu belajar yang lebih inovatif dan praktikal. Melalui pembelajaran secara dalam talian, guru dapat mengaitkan pembelajaran melalui kajian kes yang digunakan dengan dunia nyata. Kemudian, guru boleh meminta pelajar memberikan idea dan pendapat mereka. Hal ini akan membantu dalam mengembangkan kebolehan pelajar dan meningkatkan kadar kejayaan pembelajaran secara dalam talian.

Pengajaran dan Penilaian yang Fleksibel

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung, kemungkinan  terdapat masalah talian internet tidak dapat dinafikan. Keadaan ini akan menyebabkan pelajar tidak dapat menyerahkan tugasan, bahkan tidak dapat mengakses sesetengah rakaman kuliah. Bagi menangani masalah tersebut, guru harus memberikan kelonggaran dan memberikan masa tambahan kepada pelajar. Hal ini akan membantu pelajar dalam menghantar tugasan dengan lebih mudah disebabkan oleh kekangan yang dihadapi. Guru juga tidak harus memberikan tekanan kepada pelajar dalam situasi pandemik ini. Sebaliknya, guru harus memberikan sokongan dan bimbingan penuh kepada pelajar. Sokongan ini boleh dilakukan dalam menyediakan rakaman terlebih dahulu secara dalam talian dan memberikan kelonggaran dalam penghantaran tugasan.

Mengubah Kursus Kuliah Kelas Besar kepada Modul yang lebih Khusus si dalam Kelas Secara dalam Talian

Kuliah kelas besar boleh dibahagikan kepada modul atau perbincangan yang lebih khusus untuk memastikan mendapat tumpuan. Guru harus menyediakan bahan kelas secara dalam talian kurang dari 30 minit. Hal ini dapat dilakukan dengan membagi satu tugasan besar kepada beberapa tugasan yang lebih khusus (Bao, 2020). Hal ini akan membantu pelajar untuk sentiasa prihatin dan fokus semasa kelas secara dalam talian. Lebih-lebih lagi, strategi ini akan membantu meningkatkan kebolehan belajar pelajar di kelas secara dalam talian.

Merakam Kuliah Secara dalam Talian dan Menyediakan Bahan Pembelajaran Kendiri

Sebelum sesi secara dalam talian bermula, bahan pembelajaran perlulah di-e-mel terlebih dahulu bagi memudahkan pembelajaran pelajar. Dengan cara itu, guru boleh meminta pelajar untuk menyampaikan penjelasan ringkas mengenai apa-apa yang mereka fahami setelah membaca bahan semasa sesi secara dalam talian. Hal ini akan membantu meningkatkan perbincangan kelas secara dalam talian. Selain itu, pelajar akan mengambil bahagian dalam menjawab soalan sekiranya mereka sudah membaca bahan tersebut. Di samping itu, pelajar juga harus diberikan rakaman kelas secara dalam talian. Rakaman ini akan bermanfaat bagi pelajar yang ketinggalan atau tidak memahami mana-mana bahagian dalam pembelajaran berkenaan.

Akhirnya, penulisan ini hanyalah sekadar garapan secara ringkas dalam  mendepani pengajaran dan pembelajaran bahasa ketika pandemik melanda. Sesungguhnya wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada hari ini memberikan pelbagai kesan dalam pendidikan di negara kita. Pandemik ini juga membuka era baharu dalam pelaksanaan pengisian aktiviti pembelajaran yang mungkin selama ini begitu terasing untuk menjadikan guru dan murid memiliki tahap kemahiran digital yang lebih baik. Perbincangan secara ringkas tentang strategi pembelajaran secara talian ini sedikit banyak dapat membantu para guru dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.