20 Mei 2021, 22:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Secara realitinya pada hari ini, universiti awam mahupun universiti swasta akan mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa akademik kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yang diguna pakai di seluruh dunia. Hal ini mencakupi seluruh aspek dan tidak terhad kepada pengajaran dan pembelajaran tetapi termasuklah penerbitan, penyelidikan dan perundingan yang dijalankan oleh para pensyarah dan profesor. Kegemilangan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di Malaysia termasuklah apa-apa yang disebut oleh penulis seperti di atas bermula seawal tahun 1970-an hampir di setiap kolej dan universiti.

Perubahan mula dilihat menjelang tahun 1970-an hingga tahun 1980-an apabila setiap kolej dan universiti mula menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Semua lapisan bangsa juga dipupuk untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sektor awam turut mewajibkan mana-mana calon yang ingin memohon jawatan di agensi kerajaan untuk mendapat sekurang-kurangnya kredit dalam subjek Bahasa Melayu. Universiti awam juga telah memperkasakan kedudukan bahasa Melayu semenjak penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970. Seluruh bidang ilmu di fakulti UKM menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan secara tidak langsung membuktikan kehebatan bahasa Melayu yang boleh digunakan sebagai bahasa ilmu.

Pemerkasaan bahasa Melayu turut dilihat menjelang tahun 1980-an hingga tahun 1990-an apabila banyak buku teks universiti awam mula diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  sama ada secara terjemahan mahupun karya asli yang membolehkan mahasiswa membuat rujukan dan menjawab peperiksaan dalam bahasa Melayu. Hal ini termasuklah penggunaan bahasa Melayu sebagai penulisan dalam kajian ilmiah seperti tesis atau disertasi. Taraf bahasa Melayu turut berada di puncak kegemilangan apabila semua kursus peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam diajarkan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama pada tahun 1987. Itulah memorabilia kegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Namun begitu, taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam dekad ini yang semakin didominasi oleh bahasa Inggeris di universiti awam mahupun swasta semakin meresahkan. Kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang. Isu-isu utama pendidikan tinggi seperti rating dan ranking yang memerlukan bahasa Inggeris diangkat sebagai bahasa ilmu yang melibatkan penerbitan berimpak tinggi, mobilisasi pelajar antarabangsa, kebanjiran pensyarah pelawat antarabangsa dan sebagainya menghimpit kedudukan bahasa Melayu. Kita tidak mahu bahasa Melayu menjadi seperti melukut di tepi gantang. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ini sebenarnya terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, kedudukan bahasa ini di universiti awam dan swasta dapat dilihat menerusi Akta Pendidikan 1996. Seksyen 17(1) dalam Akta Pendidikan 1996 menyebut bahawa:

“Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditentukan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri dari pada subseksyen ini.”

Berdasarkan seksyen ini, jelas sekali bahawa universiti awam dan swasta wajib menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di universiti masing-masing. Bahasa kebangsaan dalam seksyen ini boleh dirujuk silang dengan seksyen 2 dalam akta yang sama dan bermaksud bahasa Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Namun seksyen 17 (1) ini telah memberikan ruang kepada Menteri Pendidikan untuk mengecualikan mana-mana universiti daripada menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Maka itu, tidak hairanlah terdapat keghairahan universiti swasta menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Alasan yang kerap dibangkitkan dalam penggunaan bahasa Inggeris di universiti swasta ialah kebanyakan program di universiti swasta merupakan program berkembar dengan universiti luar negara seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat dan sebahagian tenaga pengajarnya datang dari luar negara. Selain itu, alasan lain yang kerap dijadikan hujah adalah berkaitan dengan buku teks dan buku rujukan yang kebanyakan ditulis dalam bahasa Inggeris bagi subjek kritikal dan profesional. Hal ini dijadikan sebagai alasan tambahan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di universiti swasta. Mungkin wujud asas kebenaran di sebalik alasan yang dikemukakan ini.

Sehubungan dengan hal itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memikirkan mekanisme terbaik untuk memperkasakan dan memartabatkan kedudukan bahasa Melayu di universiti awam dan swasta. Antara mekanisme untuk merealisasikan matlamat ini termasuklah dengan memberikan pengiktirafan dan anugerah kepada mana-mana pihak yang mengangkat kedudukan bahasa Melayu di universiti awam dan swasta. Sasaran KPM dalam mekanisme ini perlulah bersifat serampang dua mata, iaitu pengiktirafan kepada mahasiswa dan tenaga akademik. Pengiktirafan kepada mahasiswa dapat dilihat menerusi penganjuran pertandingan pengucapan awam seperti debat, pidato, deklamasi puisi, sketsa, forum dan sebagainya yang bertemakan bahasa Melayu. Pertandingan ini perlu dibuat pada setiap peringkat yang bermula di universiti, negeri, zon dan kebangsaan, bahkan antarabangsa.

Pengiktirafan kepada tenaga akademik pula perlu dibuat dari sudut penerbitan, penyelidikan, penyeliaan dan perundingan dalam bahasa Melayu. Tidak dinafikan bahawa pada hari ini KPM telah pun menjayakan mekanisme ini dari sudut penerbitan apabila banyak pensyarah dan profesor telah menerima anugerah hasil daripada buku-buku terbitan mereka dalam bahasa Melayu. Namun begitu, anugerah tersebut perlu diperluas menerusi penyelidikan, iaitu laporan penyelidikan terbaik dalam bahasa Melayu. Selain itu, penyeliaan pula boleh dilihat menerusi tesis dan disertasi terbaik dalam bahasa Melayu dan perundingan menerusi laporan kertas polisi terbaik dalam bahasa Melayu.

Tuntasnya, kedudukan bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi negara wajar diperkasakan oleh setiap pihak dan bukan hanya berada di pundak pihak berwajib. Segalanya perlu bermula pada peringkat universiti dan harus dimainkan peranan oleh setiap mereka yang diberikan amanah untuk mentadbir universiti. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Jika kita mahu bahasa Melayu diperkasakan di institusi pendidikan tinggi, satu mekanisme berkesan perlu direncanakan oleh KPM. Janganlah usaha-usaha tersebut sekadar melepaskan batuk di tangga.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi