Oleh Julia Henry
20 Mei 2021, 20:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PUTRAJAYA – Penganjuran Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu merupakan antara komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, dan seterusnya menjadikan bahasa Melayu kekal sebagai wahana pembangunan ilmu, penyampaian maklumat dan komunikasi di Malaysia. Anugerah ini selaras dengan matlamat dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam 2016 hingga 2020.

Bagi tahun 2020, ahli akademik dan pakar dalam bidang kejuruteraan kimia, yang juga pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan UKM-Petronas Tenaga Hidrogen Lestari, Institut Sel Fuel (Selfuel), Profesor Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu. Anugerah berprestij dalam bidang akademik ini diberikan kepada Profesor Datuk Ir. Dr. Wan Ramli atas kejayaan beliau menjuarai bidang tenaga berpancaran sifar seperti tenaga hidrogen, teknologi sel fuel dan teknologi pengeringan lestari, dan etnoteknologi Melayu di persada antarabangsa melalui penyelidikan dan pembangunan dengan menggunakan bahasa Melayu.

Menurut kenyataan pihak KPT pada hari Khamis itu, faktor lain yang melayakkan Profesor Datuk Ir. Dr. Wan Ramli merangkul gelaran Tokoh Akademik Bahasa Melayu kerana beliau turut menerima anugerah lain yang berprestij bagi saintis Malaysia, iaitu Anugerah Merdeka (2016) untuk prestasi kesarjanaan yang amat cemerlang dalam penyelidikan dan pengembangan sel fuel dan tenaga hidrogen pada peringkat dunia. Pada tahun 2015 pula, beliau mendapat pengiktirafan daripada Thomson Reuters sebagai salah seorang antara World’s Most Influential Scientific Minds.

Buat julung-julung kalinya pada tahun 2020, tiga kategori baharu dalam agenda Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu diperkenalkan oleh KPT, iaitu Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu, Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal, dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan. Menurut KPT, tujuan mewujudkan tiga anugerah baharu tersebut, selain anugerah utama, iaitu Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu, adalah bagi menggalakkan keterlibatan ahli akademik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Sultan Idris Shah, Dr. Mazura Mansor pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal, manakala Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (Bahasa), Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Mohamad Asri Mat Husin muncul sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan. Walau bagaimanapun, pihak KPT mengumumkan bahawa tiada pemenang bagi kategori Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu.

Pihak KPT mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap agar penganugerahan yang signifikan untuk pemartabatan bahasa Melayu ini diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai pemangkin kepada kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu merupakan satu daripada usaha untuk mengiktiraf ahli akademik di universiti awam yang telah memperlihatkan kesungguhan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui penghasilan karya ilmiah yang berkualiti. Anugerah berprestij ini juga bagi mengiktiraf ahli akademik di universiti awam yang memperlihatkan pencapaian cemerlang dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mencakupi pelbagai bidang, meliputi sumbangan cemerlang ahli akademik dalam mengembangkan dan menggunakan bahasa Melayu sebagai wahana penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.