Oleh Awang Sariyan
21 Mei 2021, 18:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewan Bahasa dan Pustaka menzahirkan kebimbangan tentang penggunaan bahasa yang tidak terkawal, kurang teratur dan tidak sopan, terutamanya dalam media sosial. Yang lebih mendukacitakan ialah hal itu tidak hanya melibatkan golongan muda bahkan golongan berusia walaupun banyak dakwaan ditujukan kepada golongan muda. Isu ini jika tidak ditangani akan menjejaskan dan merendahkan nilai bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun, sehingga menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan generasi akan datang.

Kerisauan tentang keadaan itu sering dikemukakan oleh pendidik, ahli agama, ahli budaya dan sesiapa sahaja yang berpegang pada kepercayaan bahawa adab dan tamadun sesuatu bangsa amat berkaitan dengan corak bahasa yang digunakan oleh masyarakatnya. Jika tidak dikawal, lama-kelamaan masyarakat kita menjadi masyarakat permisif dan kononnya liberal walhal kita sebenarnya menuju ke arah kehancuran adab, akhlak dan tamadun.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila berkaitan dengan isu politik. Perbedaan parti, kem atau kelompok dalam parti atau sikap penentangan kepada pemimpin tertentu atau lawan politik seolah-olah menjadi lesen besar untuk orang tertentu menggunakan bahasa yang kesat dan kasar tanpa berlapik atau berbasa-basi.

Bahasa yang rancu atau tidak teratur dapat dilihat dalam dua hal. Pertama, bahasa yang tidak menurut aturan bahasa yang baik, dalam soal tatabahasa, ejaan dan pilihan kata. Setiap bahasa memiliki sistem dalam aspek sebutan, tulisan, tatabahasa, makna dan laras. Walaupun tidak dapat diharapkan bahasa yang sempurna dalam media sosial, terutamanya yang berbentuk bahasa perhubungan sehari-hari, namun perlu dihindari kesalahan asas yang mencacatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun. Contohnya, apakah perlunya kata seperti “tahu, apa, siapa, sahaja” ditulis sebagai “tew, aper, saper, sajer”? Begitu juga cantuman kata seperti “makasih” bagi “terima kasih” dan “pakaba” bagi “apa khabar”. Untuk sapaan pula, kesantunan dan keindahan terjejas dengan meluasnya penggunaan kata ganti seperti “korang”, dan “dia orang”. Sudah menjadi kebiasaan pula dalam media, pengguguran panggilan hormat sehingga orang yang terhormat disebut namanya sahaja sehingga terasa kehilangan adab dalam berbahasa.

Penggunaan bahasa yang lebih parah adalah dalam hal kesantunan bahasa. Contohnya, banyak kata yang bersifat cacian, carutan, bidasan dan hinaan yang meluas dalam media sosial. Ada blog, Facebook, Twitter dan sebagainya yang leluasa menggunakan perkataan seperti “anak haram jadah”, “binatang”, “kepala butuh engkau”, “kepala bapak engkau”, “babi” dan pelbagai perkataan lain yang menunjukkan hilangnya akhlak dan budi bahasa sebahagian anggota masyarakat. Seperti yang saya katakan, perbuatan itu malangnya turut dilakukan oleh orang dewasa yang patut menjadi contoh bagi golongan muda. Malah berdasarkan pemerhatian saya dalam media sosial, orang yang ada nama dalam masyarakat pun ada yang terlibat berbuat demikian.

Untuk mengatasi atau membendung masalah itu, strategi pendidikan perlu lebih difokuskan kepada pembinaan sifat insan di samping penyampaian ilmu, maklumat dan kemahiran. Falsafah Pendidikan Kebangsaan berteraskan pendidikan bersepadu yang telah digubal pada tahun 1987 perlu benar-benar diterapkan dalam sistem pendidikan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.