27 Mei 2021, 19:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu yang berkaitan dengan papan tanda jalan di Shah Alam menjadi tular pada hujung tahun 2018 apabila tulisan Jawi yang sebelum ini ada pada papan tanda jalan tersebut telah ditukarkan kepada bahasa Cina. Isu ini sebenarnya bukanlah satu isu baharu. Pada tahun 2008, mantan ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Gerakan pada ketika itu, iaitu Dr. Thor Teong Ghee, memasang papan tanda jalan berbahasa Cina di enam lokasi di sekitar Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.

Tindakan tersebut pada mulanya dikatakan sebagai satu strategi Gerakan untuk memprovokasi DAP yang telah berjanji untuk meletakkan papan tanda pelbagai bahasa di sekitar Pulau Pinang semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12). Kedua-dua isu ini dilihat telah mengheret bahasa kebangsaan untuk dipolitikkan sedangkan tindakan itu tidak wajar kerana kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam undang-undang negara. Namun begitu, acap kali menjelang pilihan raya, pihak parti pemerintah dan pembangkang dilihat berlumba-lumba untuk menggunakan isu ini sebagai janji mereka kepada pengundi masing-masing.

Papan tanda yang ada di sekitar Malaysia merupakan satu alat komunikasi yang menerangkan sesuatu maklumat tentang arah jalan, sebuah bangunan dan sebagainya kepada para pengguna. Papan tanda merupakan alat komunikasi yang ringkas tetapi penting. Bagi mencapai fungsinya dengan maksimum, maklumat yang terdapat di papan tanda harus jelas dan dapat dibaca dengan mudah. Papan tanda jalan di Malaysia kebanyakannya menggunakan bahasa Melayu, yang merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Hal ini demikian kerana bahasa kebangsaan sesebuah negara perlu menjadi keutamaan dalam semua urusan rasmi termasuklah papan tanda.

Namun begitu, pengecualian yang mengizinkan penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu pada papan tanda bukannya tidak pernah berlaku di Malaysia. Contohnya, papan tanda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditulis dalam pelbagai bahasa selain daripada bahasa Melayu. Hal ini demikian bagi memastikan urusan di lapangan terbang terkawal dan mengurangkan kekeliruan dalam kalangan pelancong dari luar negara.

Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dengan jelas menyatakan bahawa sesuatu iklan hendaklah dilakukan dalam bahasa Melayu, sama ada dengan sendirinya atau bersama-sama bahasa lain; perkataan dan huruf dalam bahasa Melayu hendaklah diberi keutamaan dari segi warnanya daripada kedudukan yang lebih jelas daripada perkataan atau huruf atau tulisan dalam bahasa lain yang digunakan; dan saiznya hendaklah tidak melebihi ukuran yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Pada tahun 2008, Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar telah dikuatkuasakan melalui Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 2 Tahun 2009. Garis panduan tersebut menekankan bahawa penggunaan bahasa Melayu hendaklah dipastikan betul dan tepat, baik dari segi penggunaan perkataan, susunan ayat, ejaan, tatabahasa dan sebagainya. Penggunaan bahasa yang betul hendaklah dirujuk dan perlu mendapat pengesahan daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu. Namun begitu, penguatkuasaan yang longgar oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat merupakan antara faktor berlakunya isu penggunaan bahasa lain seperti bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin pada papan tanda di Malaysia.

Isu bahasa pada papan tanda sebenarnya telah lama dilihat menjadi agenda para pemimpin politik. Pada tahun 2008, pemimpin bukan Melayu menuduh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai cauvinisme Melayu, gara-gara tindakan pihak tersebut yang menaikkan papan tanda yang mempunyai tulisan Jawi di bawah nama jalan yang ditulis menggunakan tulisan rumi pada beberapa batang jalan di sekitar ibu kota. Tindakan DBKL tersebut hanya sebagai satu usaha untuk memartabatkan semula tulisan Jawi, yang merupakan tulisan asal bahasa Melayu sebelum tulisan rumi digunakan. Tambahan pula, tulisan Jawi pada papan tanda tersebut hanya bersaiz kecil dan masih lagi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Para pemimpin politik bukan Melayu mengecam tindakan DBKL tersebut sebagai tidak mempunyai semangat Malaysia dan mencadangkan agar papan tanda jalan bersifat muhibah yang mengandungi tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Tionghua dan bahasa Tamil.

Sebagai contoh, setelah berakhirnya PRU-12, isu bahasa pada papan tanda ini timbul semula apabila mantan ahli MPPP, Thor Teong Ghee memasang papan tanda jalan berbahasa Cina di enam lokasi di sekitar Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang. Bukan sahaja papan tanda jalan itu berbahasa Cina, bahkan nama jalan tersebut juga diubah kepada dialek Kantonis sehingga menerima kecaman daripada pelbagai pihak. Tindakan Dr. Thor itu dikatakan hanya bertujuan untuk memprovokasi DAP yang telah berjanji untuk meletakkan papan tanda jalan pelbagai bahasa di sekitar Pulau Pinang dan setelah empat bulan, pihak DAP masih gagal melunaskan janji tersebut.

Profesor Madya Dr. Sarjit Sing dari Jabatan Sains dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia pula menyatakan bahawa beliau melihat isu papan tanda berbahasa Cina tersebut lebih kepada motif politik walaupun pihak Pemuda Gerakan memberikan alasan bahawa pemasangan papan tanda berbahasa Cina tersebut adalah untuk membantu pelancong dari negara China, yang banyak berkunjung ke Pulau Pinang. Walau apa-apa pun alasannya, tindakan tersebut sebenarnya tidak wajar sama sekali jika semua pihak termasuklah pemimpin politik memahami Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang secara rasminya mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang perlu digunakan dalam semua urusan rasmi termasuklah pada papan tanda itu sendiri

Isu bahasa pada papan tanda sekali lagi tular pada penghujung tahun 2018 sehingga melibatkan campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Isu ini bermula apabila seorang penduduk di Shah Alam mempersoalkan pemasangan papan tanda berbahasa Cina di kawasan kediamannya di akaun Twitter miliknya. Menurut individu tersebut, papan tanda sebelum ini yang menggunakan tulisan Jawi telah diturunkan dan digantikan dengan papan tanda berbahasa Cina tersebut.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang memberikan maklum balas kepada individu tersebut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor yang diadakan pada 13 Januari 2017 telah memutuskan bahawa penggunaan papan tanda nama jalan dwibahasa selain daripada rumi, penggunaan nama jalan di kawasan kampung tradisi menggunakan tulisan Jawi dan tulisan dalam bahasa Cina kerana bersesuaian dengan komuniti di kawasan tersebut. Namun begitu, tindakan tersebut dilihat bertentangan sama sekali dengan Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar yang telah ditetapkan.

Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyatakan bahawa dasar mengutamakan bahasa kebangsaan pada papan tanda jalan, iklan atau papan tanda tidak pernah diubah sejak pengambilan kerajaan baharu dan keputusan pemasangan papan tanda berbahasa Cina tersebut ialah keputusan yang dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Manakala menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor pula, pemasangan papan tanda dwibahasa tersebut tidak pernah dibawa dalam perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tindakan akan dilakukan bagi menyemak semula keputusan tersebut.

Walau bagaimanapun, pihak MBSA menjunjung perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang menitahkan agar mengambil tindakan untuk menurunkan papan tanda jalan berbahasa Cina itu dan menggantikannya semula dengan papan tanda berbahasa Melayu sahaja sesegera mungkin. Tindakan baginda sememangnya wajar kerana sebagai pemerintah, baginda mempunyai tanggungjawab dan kuasa untuk memastikan bahawa semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang digubal serta kepentingan lebih besar negara dan warga sentiasa dilindungi.

Polemik bahasa pada papan tanda sentiasa mendapat perhatian masyarakat Malaysia kerana isu bahasa merupakan antara isu yang cukup sensitif. Oleh itu, setiap masalah yang timbul berkaitan dengannya harus diselesaikan secara rasional. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang bukan sahaja untuk orang Melayu, bahkan untuk semua warganegara Malaysia. Tidak wujudnya keperluan untuk meletakkan bahasa Cina, yang bukan sahaja pada papan tanda di Shah Alam, bahkan juga di seluruh kawasan di Malaysia kerana sebagai warganegara, setiap daripada kita seharusnya mengetahui tentang bahasa kebangsaan negaranya.

Perkara ini juga sewajarnya tidak berlaku jika setiap pihak terutamanya PBT mengikut setiap garis panduan yang telah ditetapkan. Kenyataan Datuk Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa pihak kementeriannya akan mengkaji semula dan mengeluarkan ketetapan serta peraturan yang lebih tegas bagi memastikan bahasa kebangsaan diletakkan di tempat yang sepatutnya wajar dilaksanakan secepat mungkin agar polemik bahasa pada papan tanda akan tidak berulang lagi pada masa hadapan. Pengumuman Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari yang menyatakan bahawa semua papan tanda jalan di negeri Selangor wajib menggunakan hanya satu bahasa sahaja, iaitu bahasa Melayu sangat tepat dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di Malaysia.

Tuntasnya, bahasa kebangsaan merupakan isu yang tidak wajar dipolitikkan oleh sesiapa sahaja terutama mereka yang bergelar ahli politik. Isu pelbagai bahasa pada papan tanda juga tidak akan timbul jika setiap pihak memahami dengan sebaik-baiknya Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Alasan kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia dalam isu papan tanda ini tidak perlu diberi kompromi kerana akan mengundang lebih banyak masalah kemudian harinya. Bahkan, sudah tiba masanya DBP diberi peranan dan kuasa yang lebih dalam penguatkuasaan berkaitan dengan bahasa termasuklah dalam isu bahasa pada papan tanda dan bukannya hanya sekadar memberikan khidmat nasihat seperti ketika ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi