31 Mei 2021, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR − Sebagaimana yang kita sedia maklum, orang kurang upaya (OKU) dikategorikan sebagai golongan istimewa. Di Malaysia, OKU pekak makin meningkat jumlahnya, iaitu hampir 50 ribu orang. Bagi golongan OKU ini dan OKU pembelajaran yang lain, mereka bukanlah golongan yang berpenyakit atau bermasalah. Mereka insan istimewa yang terlibat dalam kes kecelaruan neurodikal. Oleh itu, elakkan memanggil mereka sebagai golongan berpenyakit sebagai cara untuk menyantuni mereka.

Di Malaysia pada masa ini, kita mempunyai jurubahasa isyarat tetapi mereka tidaklah ramai. Antara inisiatif yang diwujudkan untuk golongan OKU ini termasuklah menggunakan bahasa isyarat sebagai bahasa ketiga di sekolah rendah supaya mereka boleh bertutur dan belajar sejak sekolah rendah lagi.

Sehubungan dengan itu, sudah tiba masanya kita mempunyai skim perjawatan jurubahasa isyarat dalam perkhidmatan awam. Hal ini amat penting bagi membantu golongan OKU dan orang pekak berkomunikasi selain dapat dijadikan sebagai kerjaya. Selain itu, di setiap jabatan kerajaan juga perlu ada jurubahasa isyarat. Amat penting platform media seperti siaran berita dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di televisyen yang menggunakan khidmat jurubahasa isyarat.

Sementara itu, antara usaha untuk membudayakan bahasa isyarat termasuklah yang diusahakan oleh Persatuan OKU Sentral, yang mengambil inisiatif dengan menganjurkan kelas pengajaran bahasa isyarat pada setiap hari Sabtu bagi melatih jurubahasa isyarat bersama-sama Persatuan Orang Pekak Malaysia. Tujuannya adalah untuk melahirkan jurubahasa isyarat yang mempunyai standard yang tinggi atau bertauliah.

Oleh itu, amat penting untuk kita semua menghormati OKU, terutamanya melalui medium atau media massa yang disampaikan. Penyampaiannya mestilah bersifat “mesra” OKU seperti tayangan video yang memerlukan suara latar supaya OKU dapat memahami video berkenaan. Begitu juga dengan infografik yang perlu bersifat “ramah” OKU seperti menampilkan jurubahasa isyarat bagi setiap program OKU.

“Kita digalakkan untuk mengajar bahasa isyarat kepada anak-anak sejak kecil lagi agar mereka tidak mendiskriminasikan golongan OKU dan dapat berinteraksi dengan mereka.”

Demikianlah antara penerangan yang diberikan oleh YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi, selaku ahli Dewan Negara dan Presiden Persatuan OKU Sentral; Profesor Madya Dr. Hasnah Toran, iaitu pensyarah di Fakulti Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang pendidikan khas serta Dr. Aizan Sofia Amin, selaku moderator ketika membicarakan topik menyantuni OKU dalam Program Canai Bahasa dan Sastera, iaitu “Menyantuni Orang Kurang Upaya melalui Bahasa” menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada  pukul 2.30 petang tadi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.