3 Jun 2021, 12:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KEDAH − Konsep negara bangsa di Malaysia telah lama diperkatakan sejak negara mencapai kemerdekaan hingga kini. Perkara ini penting kerana pembentukan negara bangsa melambangkan kekuatan dalaman negara. Dalam usaha membina negara bangsa, hal ini bukanlah sesuatu yang cukup mudah kerana pembinaannya melibatkan masa yang lama kerana terdapat banyak faktor yang mempengaruhi pelaksanaannya.

Oleh sebab itu, bagi menjayakan konsep negara bangsa di negara ini terutamanya dalam arus teknologi moden ini, kita seharusnya dapat mengenali cabaran yang mungkin akan dihadapi oleh negara demi kemakmuran dan kedamaian termasuklah cabaran dalam bidang bahasa, sastera dan budaya dalam pembinaan negara bangsa.

Sehubungan dengan itu, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (RENTAS 2021) pada 2 hingga 3 Jun 2021 secara dalam talian.

Dengan berlatarkan tema “Bahasa, Sastera dan Budaya Mendepani Cabaran Pembinaan Negara Bangsa”, RENTAS 2021 mengetengahkan dua orang tokoh pendidikan bahasa terkemuka, iaitu Profesor Dato’ Dr. Teo Kok Seong dan Profesor Madya Dato’ Dr. Nuraini Yusoff, dengan pembentangan topik yang menarik yang berjudul “Pemartabatan dan Pengantaraan Bahasa Melayu” dan “Memperkasakan Kluster Ilmu”. Majlis ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Shukri Ahmad, iaitu Dekan SLCP.

Sesi pembentangan tersebut juga melibatkan beberapa orang pembentang kertas kerja dengan beberapa orang pengerusi. Sesi yang bermula pada 2 Jun 2021 dan berakhir pada 3 Jun 2021 ini menampilkan perbahasan wacana, idea dan kajian oleh para pembentang tempatan dan antarabangsa yang merangkumi topik tentang pemartabatan dan pengantarabangsaan bahasa, sastera dan budaya; sains dan teknologi dalam bahasa, sastera dan budaya; bahasa, sastera dan budaya dari perspektif komunikasi dan media; pengurusan dan pemasaran produk bahasa, sastera dan budaya; dan agama, falsafah dan ketamadunan dalam bahasa, sastera dan budaya.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!