4 Jun 2021, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR Pandemik COVID-19 telah memberikan kesan langsung dalam kehidupan masyarakat sama ada pada peringkat nasional mahupun global. Banyak bidang yang terjejas dan ada yang perlu dilaksanakan dalam norma baharu termasuklah bidang pendidikan. Dari aspek pendidikan, penyampaian pengajaran secara bersemuka kepada pengajaran secara maya atau secara dalam talian, kelas digital dan pembelajaran secara jarak jauh (remote learning) telah dilaksanakan. Hal ini akan memberikan kesan kepada penguasaan dan pencapaian pelajar dalam pembelajaran bahasa Melayu serta mata pelajaran lain.

Pembelajaran secara dalam talian merupakan satu wahana pembelajaran secara maya melalui capaian internet untuk membentuk satu komunikasi antara guru dengan murid tanpa memerlukan pembelajaran secara bersemuka. Kelebihan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu secara dalam talian memudahkan seseorang itu untuk mengakses kandungan pembelajaran yang lebih menarik, meluas dan interaktif.

Namun begitu, terdapat cabaran dan halangan ketika PdP Bahasa Melayu secara dalam talian termasuklah masalah capaian kepada rangkaian internet, tiada kemudahan komputer atau telefon pintar, suasana pembelajaran yang tidak kondusif untuk belajar dan tahap keberkesanan pembelajaran yang kurang memuaskan.

Ada beberapa aspek yang perlu diberi perhatian oleh guru atau tenaga pengajar bagi meningkatkan tahap keberkesanan pembelajaran. Misalnya,  aspek pertuturan seperti sebutan bunyi secara terasing, misalnya bunyi l, r, m, n dan konsonan bergabung, iaitu sy, ny dan ng; cara murid menyebut perkataan, terutamanya yang mengandungi banyak suku kata (penguatkuasaan), bunyi diftong (amboi, pulau, balai), vokal berganding, nada dan intonasi dalam perkataan kerana ciri utama pertuturan manusia ialah sifat nada suara yang sentiasa berubah-ubah yang mencerminkan maksud isi percakapan dan keadaan emosi seseorang ketika bertutur. Contohnya, “Nama saya Ali”, “Puan hendak ke mana?” dan “Pergi!”; serta perkataan yang berbeza maknanya seperti semak, sepak dan daki.

Demikianlah antara penerangan yang diberikan oleh Puan Prema Ponnudurai (Ketua Jabatan Kesasteraan dan Kemanusiaan Sekolah Sains dan Kesasteraan, Universiti Taylor’s), Dr. Sharala Subramaniam (pensyarah di Jabatan Kesasteraan dan Kemanusiaan Sekolah Sains dan Kesasteraan, Universiti Taylor’s), Puan Fauzilayatun Mustafa (Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, Dewan Bahasa dan Pustaka), Puan Zaidah Ahmad Rosly (Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka) serta Encik Abdul Razak Mohd Kassim, (pensyarah di Jabatan Kesasteraan dan Kemanusiaan Sekolah Sains dan Kesasteraan, Universiti Taylor’s) selaku moderator ketika membicarakan topik yang menarik, iaitu “Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Secara dalam Talian: Cabaran dan Halangan” yang dapat ditonton secara langsung melalui pautan https://bit.ly/3yn/dZoX pada pukul 10.00 pagi tadi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.