Oleh Rosiah Othman
12 Jun 2021, 18:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

NEGERI SEMBILAN − Pantun ialah ciptaan yang paling kreatif dan masih terpelihara sehingga kini. Ciptaannya berdasarkan pengamatan alam waima persekitaran nenek moyang kita. Alam yang terbentang luas dijadikan pedoman. Pantun tradisional juga kaya dengan nilai murni dan budi bahasa yang tinggi. Pemupukan nilai murni inilah diharapkan akan menyerap di jiwa pelajar dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Sebagai khazanah yang diwarisi secara turun-temurun, pastinya khazanah ini perlu diwarisi dari zaman ke zaman. Semakin maju kehidupan, semakin maju jugalah pantun itu menjadi warisan yang sesuai dengan zamannya dengan pengekalan keindahan dalam elemen pantun. Dalam usaha untuk mewariskan puisi tradisional kepada generasi muda, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyerapkan kemahiran ini dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran(DSKP), Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Secara tidak langsung, para pelajar dapat menghayati dan berfikiran kritis dalam hal ini.

Sehubungan dengan itu, bengkel pantun yang bertajuk “Menguasai Kemahiran Berpantun Melalui Penghayatan Terhadap Alam dan Budaya” dilihat dapat memupuk rasa kecintaan murid terhadap puisi tradisional Melayu. Secara tidak langsung, murid bukan sahaja bijak mencipta pantun dan mempunyai penguasaan kosa kata yang tinggi, malah selaras dengan pembelajaran alaf baharu turut dilatih untuk berfikir aras tinggi (KBAT). Selain itu, bengkel ini turut menjadi wadah pencungkilan bakat murid sebagai pelapis pemantun sekolah.

Bengkel pantun ini yang diusahakan secara kerjasama antara SMKA Sheikh Hj Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan dengan Pengasas Balai Pantun Singapura ini disertai oleh 32 orang murid dan lima orang guru secara dalam talian menggunakan aplikasi GoogleMeet. Melalui bengkel ini, Encik Karmin Abbas, Pengasas Balai Pantun Singapura berkongsi ilmu dengan para peserta mengenai ciri pantun, cara menganalisis struktur pantun, mengarang pantun dan penggunaan aplikasi pantun (AI PANTUN).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.