15 Jun 2021, 13:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

NEGERI SEMBILAN − Sejarah tulisan Jawi di Malaysia berkait rapat dengan kedatangan para pedagang Arab. Tulisan Jawi mula berkembang melalui aktiviti perdagangan dan perniagaan yang dijalankan oleh orang-orang Arab di samping aktiviti dakwah Islamiah yang menggunakan tulisan Jawi secara meluas.

Susur galur sejarah tulisan Jawi di Indonesia pula tiada bezanya daripada di Malaysia. Perkembangan ejaannya juga sama. Yang membezakannya cuma dari segi kekerapan penggunaannya yang masih lagi kurang dalam masyarakat. Namun begitu, masih ada segelintir dalam kalangan masyarakat Indonesia yang mencintai tulisan Jawi, terutamanya di sekolah-sekolah pondok.

Sementara itu, sejarah tulisan Jawi di Brunei Darussalam pula bermula seawal kurun ke-10 menerusi penemuan batu-batu nisan di Bandar Seri Begawan dan kawasan sekitarnya. Batu nisan ini walaupun ditulis dalam bahasa Arab jelas membuktikan bahawa huruf-huruf tersebut telah mula bertapak dan diperkenalkan kepada masyarakat tempatan sejak tarikh tersebut.

Sehubungan dengan itu, program untuk memartabatkan dan melestarikan tulisan Jawi di Nusantara yang melibatkan negara serumpun seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam telah berlangsung dengan jayanya bermula pada pukul 9.30 pagi tadi. Program ini diadakan untuk menyemarakkan semula penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.

Antara topik yang dibincangkan termasuklah sejarah dan kedudukan tulisan Jawi, tulisan Jawi dalam sistem pendidikan dan usaha pemugaran dan pelestarian tulisan Jawi di Nusantara. Selain itu, antara cadangan dan usaha pemugaran dan pemartabatan tulisan Jawi pada era digital kini termasuklah melalui penerbitan buku dalam tulisan Jawi dan menyebarkannya dalam segenap wahana, menanam sikap rasa bangga diri dalam kalangan masyarakat untuk menggunakan tulisan Jawi, meneruskan usaha pengajaran tulisan Jawi dari peringkat sekolah rendah hingga universiti dan memberikan peluang kepada pelajar sekolah untuk menjawab soalan SPM dalam tulisan Jawi.

“Tulisan Jawi merupakan satu warisan negara yang wajar dipelajari oleh masyarakat. Oleh itu, usaha untuk memartabatkan dan memugar tulisan Jawi sangat perlu bagi meningkatkan ilmu pengetahuan tentang kedudukan tulisan Jawi di negara serumpun dan bagi memupuk rasa cinta akan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.”

Demikianlah antara penerangan yang diberikan oleh beberapa orang panel jemputan, iaitu Profesor Emeritus Dr. Muhammad Bukhari Lubis (Mantan Profesor UPSI, Malaysia), Profesor Muhammad Husnan Lubis (Universiti Sumatera Utara) dan YM Tuan Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Abd Muluk (Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama, Seri Begawan, Brunei). Moderatornya pula ialah Dr. Rabahyah Tahir (Pensyarah IPG Kampus Pendidikan Teknik, Malaysia) yang bersiaran secara langsung (secara dalam talian) dalam program Bual Bicara Webinar Antarabangsa anjuran IPG Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek, Negeri Sembilan, yang bertajuk “Pemugaran dan Pelestarian Tulisan Jawi di Negara-negara Serumpun; Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.