22 Jun 2021, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR Hari ini ialah hari yang sangat istimewa bagi seluruh warga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pada hari ini, 65 tahun yang lalu, DBP ditubuhkan. Dalam tempoh tersebut, banyak kejayaan yang telah dicapai oleh DBP pada peringkat nasional dan antarabangsa. Hal ini berkat usaha kerja keras berterusan Ahli Lembaga Pengelola, Pengurusan Tertinggi serta semua kakitangan DBP. DBP turut menggalas tanggungjawab besar untuk memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Demikian antara ucapan oleh YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan semasa merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-65 dan pelancaran Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka 2021 – 2025 yang bersiaran secara langsung di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube @DBPMalaysia dan JendelaDBP, pada pukul 9.00 pagi ini.

“Atas kesedaran ini, DBP mengadakan Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka 2021-2025 yang bertujuan untuk mengindustrikan dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu. Pelan ini memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bagi menjayakan pelan ini, komitmen, kesungguhan, kesepaduan, ketekunan dan kerjasama semua pihak khususnya Pengurusan Tertinggi dan warga kerja DBP amat diperlukan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,” jelas YB Datuk Dr. Radzi lagi.

Di samping itu, DBP mengambil pelbagai pendekatan untuk mempromosikan kandungan pustaka warisan seperti pantun, peribahasa dan simpulan bahasa. Antaranya termasuklah penggunaan platform digital yang sesuai dengan perkembangan semasa. Beliau juga yakin bahawa DBP berada di landasan yang betul bagi menghadapi cabaran dunia digital dalam menghasilkan penerbitan yang berkualiti.

Sebelum mengakhiri ucapannya, YB Datuk Dr. Radzi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga kerja DBP atas usaha dan dedikasi sepanjang tempoh 65 tahun ini.

Dalam majlis ini juga YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP dan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP turut memberikan ucapan. YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang kemudiannya mengakhiri ucapan dengan sebuah sajak yang dinukilkan oleh beliau khas buat DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.