25 Jun 2021, 23:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

AUSTRALIA − Satu perkongsian yang luar biasa dan berjaya mempertautkan hubungan silaturahim antara kalangan insan dari negara serumpun, sesuai sekali dengan judulnya “Bila Rumpun Bertemu Rumpun”. Demikianlah program yang dilaksanakan oleh NIZAL & Co dan Radio Melayu Perth, Australia Barat, telah bersiaran secara langsung pukul 8.30 malam (waktu di Perth, Malaysia dan Singapura). Dalam program tersebut, Nizal telah berkongsi pelbagai pengalamannya bersama-sama DJ Wan (Mohammad) dan DJ Foz (Ahmad Fauzi bin Abdullah), iaitu pengacara radio bagi Radio Melayu Perth.

Pendekatan Radio Melayu Perth tersebut mengenai perkongsian pelbagai ilmu dalam komuniti Melayu di Australia yang menggunakan bahasa Melayu. Radio ini digerakkan oleh sukarelawan selama 30 tahun yang lalu, iaitu bermula pada tahun 1990. Siaran radio ini merupakan satu-satunya siaran radio berbahasa Melayu di Australia.

DJ Wan dan DJ Foz ketika bersiaran secara langsung.

Selain itu, radio ini juga bersiaran untuk memastikan bahasa Melayu tidak lenyap di bumi Australia. Pengisian radio ini meliputi perkongsian pengalaman, pengetahuan dan inisiatif pelbagai bidang ilmu dalam komuniti penduduk Melayu Australia dengan menggunakan bahasa Melayu.

Nizal sewaktu bersama-sama DJ Wan dan DJ Foz semasa bersiaran langsung.

Selain usaha untuk memantapkan lagi iltizam dan hubungan antara negara rumpun dengan pelbagai perkongsian ilmu dalam meluaskan gagasan pentas siaran berbahasa Melayu, pihak tersebut juga menggalakkan lebih banyak penyertaan mana-mana radio mahupun televisyen secara dalam talian yang sejiwa dan sealiran.

“Masyarakat bukan Melayu dari pelbagai negara masih banyak yang berkecenderungan untuk belajar bahasa Melayu. Mereka meminati Malaysia dari segi bahasa dan budaya Malaysia. Sebagai contoh, ada kumpulan penyanyi dari Korea yang amat meminati budaya dan bahasa Melayu sehingga mereka menyanyikan lagu-lagu pop Korea dalam bahasa Melayu. Mereka berusaha untuk belajar bahasa Melayu. Yang menariknya, mereka boleh menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu dengan baik sekali walaupun ada sedikit pelat.”

Itulah antara perkongsian menarik bersama-sama Nizal yang berinisiatif dan berharap agar banyak peluang dapat dibuka kepada pelbagai pihak untuk saling bekerjasama dan menyokong pelbagai idea bagi memajukan radio yang bersiaran dalam bahasa Melayu serta meluaskan penggunaan bahasa Melayu tanpa sempadan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!