26 Jun 2021, 23:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

SELANGOR – Peribahasa mengikut takrifan Zainal Abidin bin Ahmad (Za‘ba) ialah segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya, dipakai akan jadi sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan pengajaran.

Terdapat dua sumber peribahasa, iaitu melalui hasil renungan akal atau daya khayal (contoh: orang berbudi kita berbahasa; orang memberi kita merasa, hati gajah sama dilapah; hati kuman sama dicecah) dan melalui pemerhatian unsur alam seperti flora dan fauna, manusia dan objek lain (contoh: hangat-hangat tahi ayam dan ke bukit sama didaki; ke lurah sama dituruni).

Namun begitu, penghayatan peribahasa dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini masih lagi kurang. Contohnya, penggunaan peribahasa seperti “baru setahun jagung”. Jika digunakan dalam majlis yang tidak sesuai, peribahasa itu boleh menjadi satu penghinaan buat seseorang. Begitu juga dengan peribahasa yang salah seperti “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong bertaburan”, yang sepatutnya ialah “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.

Peribahasa juga tidak boleh diguna secara semberono. Ada pengacara majlis menggunakan peribahasa yang salah bagi penjodoh bilangan. Contohnya, ketika menutup majlis dengan menggunakan perkataan “Saya sudahi majlis ini dengan sepucuk pantun”, yang sepatutnya ialah serangkap pantun. Hal ini jelas menunjukkan bahawa peribahasa kian kurang dihayati oleh generasi kini.

“Peribahasa wujud sebagai hasil proses akliah atau proses pemikiran yang melibatkan ketajaman fikiran, tafsiran dan pemindahan sesuatu objek atau peristiwa kepada makna lain yang tidak berkaitan dengan makna asal. Contohnya, kepala batu, tumbuk rusuk, kaki bangku dan sambil menyelam minum air.”

Demikianlah antara penerangan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Yang turut hadir ialah Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Sasterawan Negara yang turut berkongsi kajiannya tentang peribahasa, Profesor Madya Dr. Ashaari Muhamad, Timbalan Pengarah ATMA, UKM, yang memberikan maklumat tentang himpunan peribahasa dan pantun dalam portal ATMA, iaitu Malay Civilization dan Puan Rozlina Abdul Ghani, KPPD Hulu Selangor (perasmi), serta Cikgu Mat Ariffin Ismail, selaku moderator.

“Peribahasa Pancaran Akal Budi Melayu” ini bersiaran secara langsung menerusi Google Meet pada pukul 8.30 malam dan disertai oleh 238 orang termasuklah guru-guru dari Malaysia dan China.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!