Oleh Kho Thong Eng
4 Julai 2021, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Frasa nama ialah rangkaian kata yang terdiri daripada binaan inti–penerang atau inti.  Secara umumnya, bagi binaan inti–penerang, inti (unsur yang diterangkan) harus berada di hadapan penerang (unsur yang menerangkan inti). Itulah yang dimaksudkan sebagai hukum D-M.

Penerang yang mendahului inti mungkin meliputi pelbagai jenis kata.  Sila lihat contoh dalam jadual yang berikut:

Frasa Nama Inti Penerang Jenis Penerang
bangsa  Portugis bangsa Portugis keturunan
pekasam ikan pekasam ikan jenis
pengurus syarikat pengurus syarikat penyambut
minyak pelincir minyak pelincir kegunaan
ayam betina ayam betina kelamin
rumah (di) kampung rumah (di) kampung tempat
tali pinggang tali pinggang anggota badan
dapur elektrik dapur elektrik tenaga penggerak
borang pendaftaran borang pendaftaran perkara
keluaran Jepun keluaran Jepun milik
susu tepung susu tepung keadaan
tempat pertama tempat pertama urutan
menteri besar menteri besar kedudukan
garam halus garam halus saiz
rumah itu rumah itu penentu

Terdapat juga beberapa kecualian daripada hukum D-M, iaitu ada kalanya urutan unsur dalam frasa nama ialah penerang mendahului inti. Sila lihat contoh yang berikut:

Frasa Nama Penerang Inti
perdana menteri perdana menteri
naib pengerusi naib pengerusi
timbalan presiden timbalan presiden
penolong pengarah penolong pengarah
ibu pejabat ibu pejabat
satu pendapat satu pendapat
Puan Aminah Puan Aminah

Walaupun hukum D-M dan kecualiannya kelihatan begitu jelas, ada kalanya pengguna terkeliru disebabkan oleh sesetengah unsur yang biasanya menjadi inti mungkin berubah kedudukannya untuk menjadi penerang dalam keadaan tertentu. Hal ini berlaku disebabkan fokus atau tumpuan pada frasa nama telah berubah. Dengan itu, maksud frasa yang berkenaan turut berubah. Sila lihat contoh yang berikut:

perdana menteri – menteri yang utama

tayangan perdana – tayangan pada kali pertama

laut biru – laut yang kebiru-biruan

biru laut – warna biru seperti laut

ibu negeri – bandar utama negeri

rumah ibu – bahagian utama rumah

ayam telur (penelur) – ayam yang diternak untuk bertelur

telur ayam  – telur daripada ayam

jam tangan – jam yang dipakai pada tangan

tangan jam – jarum penunjuk pada jam

panjang tangan – suka mencuri

tangan panjang – keadaan yang semula jadi

Walaupun kata bilangan kardinal seperti nombor satu harus mendahului kata nama dalam susunan penerang–inti, keadaannya tidak selalunya begini. Sila lihat contoh yang berikut:

Contoh Maksud
satu senyuman bilangan “satu”
pemain nombor satu dunia pemain yang paling baik
*pemain satu nombor dunia tidak bererti
*pemain pertama dunia maksudnya kabur

Bagi kata yang mendukung lebih daripada satu maksud, kedudukan unsur dalam frasa nama mungkin berubah juga. Sila lihat contoh yang berikut:

ayam rendang – ayam goreng, ayam yang dimasak dengan cara direndang

rendang ayam – sejenis lauk berempah dengan daging ayam

Ada kalanya pengguna bahasa terkeliru disebabkan oleh catatan maksud kata dalam kamus tidak dikemaskinikan seiring dengan perkembangan budaya dan teknologi sezaman. Contohnya ialah kekeliruan antara frasa tepung susu dengan susu tepung.  Walaupun kedua-dua bentuk frasa itu tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ada pihak yang beranggapan bahawa yang betul ialah susu tepung, dan bukannya tepung susu.

Hal ini berlaku demikian kerana kamus tersebut menjelaskan kata menepung sebagai “menumbuk atau mengisar (biji-bijian dll. lumat-lumat) supaya menjadi tepung”.  Contohnya ialah tepung beras dan tepung jagung. Oleh itu, pihak yang berkenaan merasakan bahawa susu yang asalnya cair tidak dapat ditumbuk atau dikisar untuk menjadi tepung, dan tidak patut disebut sebagai tepung susu.

Walau bagaimanapun, jika kita tidak dapat menepung susu, dari manakah datangnya susu tepung atau tepung susu? Dalam bahasa Inggeris pun, milk powder disamakan dengan powered milk dan dried milk.

Oleh hal yang demikian, maksud kata menepung dalam kamus sepatutnya dijadikan lebih umum dan luas supaya menggambarkan cara alternatif untuk menghasilkan tepung dengan teknologi baharu. Sila lihat contoh yang berikut:

Menepung

Memproses sesuatu benda supaya menjadi tepung, iaitu dengan cara menghancurkannya atau mengeringkannya

Dengan itu, kedua-dua frasa tepung susu dan susu tepung akan diterima oleh para pengguna bahasa Melayu tanpa sebarang pertikaian. Yang berbeza hanyalah fokus dalam frasa nama yang berkenaan. Maksud kedua-dua frasa tersebut adalah seperti yang berikut:

susu tepung – sejenis susu dalam bentuk tepung

tepung susu – sejenis tepung yang dihasilkan dengan mengeringkan susu

Pilihan lain – susu tepung, tepung susu

 Tepung susu = serbuk susu  (1662)

Susu tepung = sejenis susu yang diproses menjadi tepung  (1553)

Bergantung pada perspektif dan fokus

Susu tepung – fokus pada jenis makanan (susu)

Tepung susu – fokus pada bentuk barangan (tepung)

Kedua-duanya betul.

Menepung dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (1662)

Menumbuk atau mengisar (biji-bijian dll. lumat-lumat) supaya menjadi tepung

1. cara

 

Bahasa Inggeris  Oxford Dictionary (2005 :1180)

Powdered milk = milk powder, dried milk

Powdered

  1. (of a substance that is naturally liquid) dried and made into powder
  2. crushed and made into a powder

 

2.   cara

Bahasa harus berkembang sering dengan perkembangan budaya dan ilmu.

Bahasa Melayu D-M
Bahasa Inggeris dan bahasa Cina M-D

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.