5 Julai 2021, 17:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

SINGAPURA Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang menyiasat empat orang yang didakwa berkelakuan kasar terhadap para pegawai penguat kuasa dan duta jarak selamat selain tidak mematuhi langkah keselamatan COVID-19.

Semua kesalahan tersebut dilakukan dalam insiden berasingan, iaitu di pusat beli-belah Bedok Mall, 10 Kallang Road dan di pasar dan pusat makanan Albert Centre. SPF turut menyatakan bahawa siasatan ke atas semua insiden itu sedang dijalankan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, keempat-empat orang yang disiasat itu didakwa menyebabkan kecederaan dengan sengaja, menggunakan kekerasan jenayah, sengaja mencetuskan rasa cemas, melanggar langkah-langkah jarak selamat dan melemparkan kata-kata kesat kepada kakitangan awam.

Individu yang disabitkan kesalahan yang menyebabkan gangguan awam itu boleh didenda sehingga S$2000. Bagi sesiapa yang didapati bersalah menggunakan bahasa kesat terhadap seorang penjawat awam juga boleh didenda tidak melebihi S$5000, dipenjarakan sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan lain, individu yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan dengan sengaja boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun, didenda tidak melebihi S$5000 atau kedua-duanya sekali. Individu yang menggunakan kekerasan jenayah pula boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan, denda sehingga S$1500 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan sengaja menyebabkan rasa cemas, individu itu boleh dipenjarakan sehingga enam bulan, didenda sehingga S$5000 atau kedua-duanya sekali. Jika disabitkan kesalahan gagal memakai pelitup atau tidak memakainya dengan betul ketika berada di luar rumah, individu boleh dipenjarakan sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10 000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.