6 Julai 2021, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BANGI Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa berusaha untuk terus memartabatkan bahasa Melayu. Selain itu, DBP turut berusaha ke arah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam bidang perniagaan dan seterusnya meluaskan penggunaannya dalam sektor berkenaan secara global.

Bahasa Melayu akan setanding dengan bahasa Inggeris dan bahasa lain sekiranya penggunaannya meluas dalam kalangan penutur dalam bidang perniagaan. Kadar penggunaan bahasa Melayu dalam urusan perniagaan bergantung pada sejauh mana penutur ibunda bahasa itu mengaplikasikannya dalam urusan perniagaan. Sekiranya banyak orang terlibat dalam perniagaan, maka bahasa yang digunakan mereka itu akan dijadikan sebagai alat komunikasi dalam urusan perniagaan dengan meluas.

Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu mempunyai banyak perbendaharaan kata,  dan istilah yang sesuai untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran tentang hal-hal perihal perdagangan antarabangsa, perindustrian ringan dan berat, perniagaan saham, pengurusan perakaunan dan perangkaan. Oleh itu, bahasa Melayu perlu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasa lain seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jerman dan bahasa Jepun yang sudah lama berperanan sebagai bahasa ilmu moden dengan jayanya.

Sehubungan dengan itu, DBP telah mengadakan Pelan Strategik yang mempunyai tiga teras utama, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi yang digunakan secara meluas dalam sektor perekonomian, bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang menjadi alat pemupukan jati diri dan perpaduan rakyat dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mempunyai ciri formal yang menjadi wahana dalam penyampaian ilmu dalam pelbagai bidang.

Namun begitu, DBP berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi. Antaranya termasuklah Akta DBP yang tidak membenarkan penubuhan syarikat, yakni kuasa DBP terhad untuk menjalankan fungsi komersial sahaja. Akta DBP yang ada juga tidak ada memberikan DBP kuasa penguatkuasaan untuk melaksanakan penguatkuasaan dan kuasa itu terletak pada Pihak Berkuasa Tempatan. DBP hanya berfungsi untuk menasihati dan membuat teguran sahaja. Tanggungjawab DBP dalam memberikan perkhidmatan juga untuk obligasi sosial dan pelaksanaan dasar kerajaan. Sebagai sebuah  badan berkanun, DBP terikat dengan peraturan dan pekeliling kerajaan.

Webinar yang bersiaran secara langsung.

“Kita  harus yakin bahawa bahasa kebangsaan mempunyai nilai ekonomi dan memberikan nilai ekonomi kepada bahasa kebangsaan juga tanggungjawab kita bersama. Untuk bahasa Melayu kekal relevan sebagai bahasa yang dapat membangunkan budaya dan citra nilai kebangsaan,  kita perlu memberikan nilai tambah kepada bahasa Melayu, khususnya nilai ekonomi.”

Demikianlah antara penerangan oleh Dr. Hazami Jahari, iaitu Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP sebagai penceramah undangan dan Dr. Muhammad Hakimi Mohd Shafiai, iaitu Timbalan Dekan Jaringan dan Alumni, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pemudah cara menerusi “Webinar Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Industri Baharu di Malaysia: Potensi dan Cabaran”. Webinar ini anjuran Sekretariat Jaringan dan Alumni, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM dengan kerjasama DBP yang bersiaran secara langsung pada pukul 9.00 pagi tadi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.