11 Julai 2021, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR − Kelab Pidato Perdana Nusantara (KEPENTAS) meraikan majlis sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-12 pada tahun ini dengan tema “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Dunia”. Kemuncak sambutan majlis tersebut ialah Pusingan Akhir Pertandingan Pidato Piala Nusantara 2021, yang berlangsung pada 10 Julai 2021 secara dalam talian, yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Kelab Pidato Perdana Antarabangsa.

Pusingan pada peringkat akhir membariskan 12 orang pemidato yang berentap untuk merebut gelaran juara. Selain Malaysia, pemidato juga mewakili negara Singapura, Brunei Darussalam dan Indonesia. Yang menariknya, selain dihakimi oleh juri profesional, pihak urus setia juga memberikan peluang kepada penonton untuk memberikan penilaian melalui markah juri awam sebanyak 10 peratus.

Azmi Ismail-Salah seorang pemidato peringkat akhir.

Gelaran johan diraih oleh Hashim Borham dari Melaka, yang menerima piala pusingan dan wang tunai berjumlah RM3000.00. Naib johan yang menerima wang tunai RM2000.00 diberikan kepada Azmi Ismail dari Teluk Intan, manakala Hairul Anuar Sobikin dari Johor Bahru menerima wang tunai RM1000.00 selaku pemenang tempat ketiga. Syahmi Aiman Zainal Azman yang mewakili zon Pusat Bandar Raya memenangi tempat keempat dan Mohamad Fitri Mohd Razali dari Taiping di tempat kelima menerima wang tunai RM750.

Tujuh peserta lain pula menerima hadiah sagu hati yang bernilai RM500.00. Mohd Asri Ismail selaku Ketua Juri dalam ucapannya berkata, “Gelaran pemenang dan jenis hadiah memang sesuatu yang diburu oleh semua pemidato tetapi perkara yang paling penting ialah keberanian pemidato tampil dengan penuh yakin dalam menyampaikan pidato mereka, khususnya berpidato dalam bahasa Melayu dengan baik.”

Usai pertandingan pidato, kemeriahan sambutan ulang tahun KEPENTAS Ke-12 diteruskan dengan Forum Nusantara yang menampilkan empat ahli panel yang mewakili empat negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam. Forum yang membicarakan tajuk “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Dunia” mengetengahkan Ruddy M. Hams sebagai moderator, dengan ahli panel seperti Absar Burhan dari Malaysia, Walid Adriansyah dari Indonesia, Dr. Hajah Dayang Fatimah dari Brunei Darussalam dan Muhammad Khalid Zainul dari Singapura. Ternyata semua ahli panel bersetuju bahawa bahasa Melayu itu sendiri menyimpan banyak keindahan, yang keindahan itu dapat dilihat menerusi pantun, syair dan gurindam, malah dalam seni berpidato itu jelas menampakkan berapa indahnya ragam bahasa, nada dan kata-kata dalam bahasa Melayu itu sendiri.

Ketua Juri-Mohd Asri Ismail.

Majlis sambutan itu diakhiri dengan ucapan perasmian oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran, yang turut menyampaikan hadiah secara maya kepada pemenang pertandingan akhir Pidato Piala Nusantara 2021. Dalam ucapannya, Datuk Abang Salehuddin mengucapkan tahniah kepada KEPENTAS yang kekal bertahan selama 12 tahun, dan tempoh itu memberikan gambaran wujudnya kerjasama yang baik daripada semua ahli terhadap KEPENTAS.

“Teruskan kerjasama dengan DBP apatah lagi melalui program yang menarik seperti yang berlangsung pada hari ini. Bagi DBP sendiri, kerjasama dalam program kebahasaan antara negara Nusantara memang sudah lama berlangsung, misalnya melalui MABBIM,” demikian kata Ketua Pengarah DBP yang berharap pandemik COVID-19 akan berakhir agar semua program kebahasaan dan kesusasteraan Melayu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Moderator Forum Nusantara-Ruddy M.Hams.

Dalam ucapannya, Presiden KEPENTAS, iaitu Sandy Tan dengan tegas menyatakan hasratnya yang ingin melihat KEPENTAS terus relevan dengan program anjurannya pada masa akan datang, dan juga kelangsungan KEPENTAS melalui program yang mantap, selain ditunjangi oleh ahli yang komited dan setia dengan KEPENTAS.

“Kelangsungan program KEPENTAS juga memerlukan kerjasama daripada pihak lain, terutama DBP sebagai badan bahasa yang kekal utuh hingga hari ini,” demikian kata Sandy mengakhiri ucapannya.

Sepanjang siaran langsung sambutan ulang tahun KEPENTAS Ke-12, siaran maya dikemudikan oleh DJ Rizz yang ternyata berjaya “menghidupkan” majlis walaupun diadakan secara dalam talian. DJ Rizz mengakhiri kata-katanya dengan lafaz indah, “Teruskan memberikan sokongan kepada DBP, bersama-sama kita martabatkan bahasa Melayu dan kita gemakan laungannya dari Malaysia ke Nusantara”.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!