14 Julai 2021, 12:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

KUALA LUMPUR “Penamaan tempat awam bukan sekadar untuk menyampaikan mesej kepada orang awam, bahkan perlu dilakukan dengan cara mendaulatkan bahasa kebangsaan. Penggunaan bahasa yang canggung tidak mencerminkan identiti Malaysia yang mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.”

Demikian antara isu yang dilontarkan oleh Munsyi Dewan, Azhar Salleh atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azhar. Beliau berkata demikian dalam Rancangan Peka Bahasa: Penamaan Tempat Awam yang Indah dan Menepati Citra Kebangsaan yang bersiaran secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10.00 pagi tadi.

Menurut beliau lagi, setelah dasawarsa bersinergi antara pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), hasilnya sangat memberangsangkan. Namun begitu, hingga kini masih berlaku penamaan tempat awam yang mencemarkan bahasa Melayu dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan pemilihan kata yang tidak tepat.

Tanpa mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, Cikgu Azhar berpendapat bahawa semua pihak harus memberikan kerjasama kepada DBP. Nama bangunan, kedai, premis perniagaan dan tempat rekreasi yang menjadi tumpuan awam perlu diberi perhatian yang serius. Masyarakat awam boleh melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya menemukan kecanggungan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam.

Antara tulisan pada papan tanda yang salah.

Undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan sepenuhnya dan semua papan tanda yang akan dipaparkan di premis mestilah mendapatkan pengesahan daripada DBP sebelum permit dikeluarkan oleh PBT. Cikgu Azhar yang pernah menulis artikel yang bertajuk “Jalan Rosak, Bahasa pun Rosak” di majalah Pelita Bahasa menyebut, “Kesedaran penggunaan bahasa yang betul perlulah disemai dan dipupuk pada peringkat awal. Berbanding dengan kaedah kompaun, kesedaran serta kefahaman yang betul lebih bermanfaat untuk jangka masa panjang”.

DBP juga sentiasa mengambil langkah kreatif dan proaktif dalam memastikan penggunaan bahasa yang betul bagi penamaan tempat awam. Antara inisiatif tersebut termasuklah Audit Pantau Tegur, iaitu DBP akan turun ke lapangan bagi memantaunya. Selain itu, pengiktirafan juga diberikan kepada individu, pertubuhan, sektor awam, sektor swasta, wartawan dan agensi media yang memainkan peranan penting dan berkesan dalam membantu usaha DBP memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu.

Orang ramai juga boleh memanfaatkan sumber yang disediakan oleh DBP secara maksimum seperti platform secara dalam talian, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu dan DBP Sah Bahasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.