15 Julai 2021, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negeri Perlis Indera Kayangan mempunyai 22 buah mukim. Setiap mukim tersebut mempunyai pelat atau lenggok bicara yang berlainan. Perlis mempunyai dua bahagian, iaitu Perlis Utara dan Perlis Selatan. Apabila sesebuah negeri bersempadan antara satu sama lain, maka dialek yang ada turut dipengaruhi oleh pengguna bagi kedua-dua bahagian yang bersempadan itu.

Sehubungan dengan itu, pengaruh bahasa atau pelat Siam juga mempengaruhi penduduk di bahagian Perlis Utara, yang bersempadan dengan negara Thailand. Hal ini demikian kerana kemerduan dialek Perlis ini terpengaruh disebabkan oleh pengarah daripada dialek Siam yang mempunyai kemerduan lenggok pertuturan yang sopan dan lebih lembut berbanding dengan dialek Melayu yang lain. Kedudukannya yang unik ini turut memberikan impak kepada dialek Melayu yang dituturkan oleh penutur natif di Perlis.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, dialek merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard, loghat atau pelat daerah. Menurut Zaki Abdul Halim dari Pusat Sains Liberal, Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Perlis,  dialek Perlis merupakan subdialek bagi dialek Melayu Kedah Utara, termasuklah Kubang Pasu, Padang Terap, dan Langkawi. Dari situlah loghat dialek Perlis wujud daripada sebahagian loghat dalam dialek Kedah.

Dialek Perlis merupakan turunan daripada dialek Kedah (Induk). Penyebaran dialek Melayu Kedah pula tidak asing lagi kerana Perlis telah lama berada di bawah pemerintahan Kedah sebelum kedua-duanya dipisahkan. Berdasarkan dialek Perlis ini, beberapa ciri khas dapat dikenal pasti, iaitu:

  • Sabdu (tanda untuk menyatakan bunyi berangkap).

Dialek Perlis mempunyai sabdu seperti yang terdapat pada dialek Kelantan. Sabdu dalam dialek Perlis dapat dilihat dan diperdengarkan bagi konsonan /k/ dan /t/ yang menghasilkan bunyi pekat, tebal dan mendalam semasa konsonan itu diujarkan.

  • Kata “mu” hadir di hadapan sesuatu ayat atau perkataan ketika bertutur.
  • Perubahan bunyi plosif.
Bunyi Bahasa Melayu Standard Bunyi Dialek Perlis Perubahan Bunyi Catatan
/l/ /i/ [bantal] – [bantai]
/r/ /aq/ [pasir] – [pasaiaq] Bukan semua kosa kata yang mempunyai konsonan /r/ berubah sedemikian.
/gh/ [rumah] – [ghumah]
/ø/ [tayar] – [taya]
/t/ [anggur] – [anggut]
/s/ akhir kata /ih/ [beras] – [beraih]

[betis] – [betih]

[kurus] – [kuruih]

/s/ depan/tengah kata /th/ [laksa] – [laktha]
/f/ /p/ [fasal] – [pasal]
/ing/ /in/ [daging] – [dagin]
/b/ /ø/ [lembu] – [lemu]

[tembikai] – [temikal]

[kelambu] –[kelamu]

/m/ akhir kata /n/ [garam] – [garan]

[gadum] – [gandun]

Kawasan Kuala Perlis
/u/ /ui/ [kasut] – [kasuit]

[pulut] – [puluit]

 

  • Leksikal: Kosa Kata Dialek Perlis
Dialek Perlis Fonemik Bahasa Melayu Standard
cungit /ʧuŋit/ terangkat naik
ka

kapa

/ka/

/kapa/

engkau/kau/awak/kamu

kamu semua

lup /lup/ hilang/ghaib/tenggelam
gedung /ɣəduŋ hospital
bejeghembab /bəʤəɣʔəmbab/ serempak/bertemu
gena/lagu mana /ɣəna/, /laɣu mana/ bagaimana
awat/pasaipa /awat/, /pasaipa/ kenapa
belenja /bələnʤa/ berair
belemoih /bələmoih/ kotor/comot
ghot /ɣʔot/ mampu/boleh
seluloi /səluloi/ selalu
celuih /ʧəluih/ muat
lokoih /lokoih/ basah kuyup
tahana /tahana/ menghina
suwo /suʷo/ beri
keloi /keloi/ panggil

Dialek Perlis mempunyai satu keunikan daripada bahasa Melayu Baku walaupun dialek ini dirangkumkan dalam dialek utara yang leksikalnya hampir sama dengan dialek di negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara. Faktor penyebaran dialek di Perlis disebabkan oleh faktor sejarah dan faktor geografi.

Secara ringkasnya, Perlis pada asalnya berada di bawah pemerintahan kerajaan Kedah. Pada masa yang sama, terdapat kerajaan Siam yang bersempadan dengan negeri Kedah. Perlis pula berada di tengah-tengah, iaitu di antara dua kerajaan besar ini.

Peperangan telah berlaku antara dua kerajaan ini dan menyaksikan Perlis memilih untuk berpihak kepada Siam. Setelah peperangan berlalu, Perlis diberi hak pemerintahan sendiri oleh Siam.

Walaupun Perlis telah menunjukkan keragaman dialeknya, dialek Perlis ini masih kurang mendapat perhatian dan penelitian yang mendalam dari segi bidang pengkajian bahasa, iaitu dari segi fonologi, morfologi mahupun sintaksis. Dengan adanya kuasa media sosial kini telah memudahkan dialek-dialek Melayu disebar luas kepada pengetahuan umum oleh pempengaruh media. Hal ini demkian kerana dialek ialah satu khazanah yang sangat bernilai dalam sesebuah masyarakat dan mampu dijadikan rujukan bagi generasi pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.