Oleh Jeniri Amir
19 Julai 2021, 22:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa bukan sahaja dapat digunakan untuk menyatakan realiti tetapi juga dapat menyatakan pembohongan, kepalsuan dan fitnah atau ketidakbenaran. Harus kita ingat bahawa realiti yang dipaparkan melalui teks dengan menggunakan bahasa sebagai alat ialah realiti yang dikonstruksikan mengikut perspektif penulis.

Dengan menggunakan skemata dan pembingkaian, lewat pemilihan kosa kata, ungkapan dan ayat tertentu, penulisnya menulis sesuatu dengan niat agar khalayak  dapat dipengaruhi dan dibentuk pemikiran mereka agar akhirnya menyokong pendirian yang dipaparkan. Lazim terjadi, berlaku penonjolan atau sebaliknya penafian dan pemaknaan tertentu terhadap sesuatu realiti.

Bahasa dapat menjadi instrumen ideologi. Melaluinya, pencipta teks menyebarkan pengaruh dan dominasinya bagi mempengaruhi khalayak.

Media, teks dan juga bahasa bukan lagi menjadi wilayah dan alat berkecuali kerana bahasa sudah dijadikan sebagai alat yang dimanipulasikan bagi memenuhi agenda dan tujuan tertentu.

Kita mungkin tidak menyedari bahawa berlaku unsur pemaksaan terhadap kita untuk menerima sesuatu idea, ideologi, dan pandangan melalui penggunaan bahasa, wacana dan naratif tertentu sehingga bahasa dan media menjadi instrumen dan kekuasaan hegemonik sehingga pemikiran khalayak dikuasainya.

Jelaslah, bahasa seperti juga pengetahuan dan ilmu mempunyai kuasa. Bagi penulis yang pintar dan terampil, menguasai teknik retorik dan penulisan, serta mahir dalam penulisan pasti sedar akan kuasa bahasa. Kuasa itulah yang dimanfaatkan sebaik-baik mungkin untuk mempengaruhi khalayak.

Kosa kata, ungkapan, ayat dan wacana tertentu yang berpaksikan fakta dan data tertentu menimbulkan kesan kuasa tertentu. Setiap kekuasaan selalu berusaha menghasilkan kebenaran, malah kebohongan tertentu, yang disebarkan melalui wacana dan naratif yang dibentuk oleh kuasa bahasa.

Kepintaran dan kemahiran penulis dalam menggunakan bahasa dan memanipulasikan fakta dan data akan memungkinkannya untuk menjadikan sesuatu isu dan pandangan lebih dominan, sedangkan wacana lain akan dipinggirkan dan dinyahkan, malah mungkin diselubungkan dan dipendamkan.

Dengan memanfaatkan unsur bahasa tertentu, wacana dominan secara tidak langsung mengetepikan dan meminggirkan wacana lain sehingga dianggap tidak penting dan utama.

Sesuatu wacana dan pandangan juga akan kelihatan lebih absah dan kukuh dengan penggunaan istilah, jargon, ungkapan dan alasan legal  formal.

Maksudnya, bahasa dan wacana yang dianggap absah ialah pernyataan yang didukung oleh alasan formal, berbau ilmiah dan ditunjangi oleh  logos konkrit tertentu seperti testimoni, statistik, contoh, anekdot, dan pemetikan sumber yang dianggap berwibawa.

Salah satu kekuatan bahasa jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan semahir mungkin ialah bahasa yang dapat mencipta cara berfikir tertentu yang dominan, yang dianggap benar, manakala yang lain dianggap salah, palsu dan tidak benar.  Ya, sesungguhnya, bahasa dapat dijadikan wadah tentang cara nilai dan idea tertentu dipandang dominan dan benar sehingga akhirnya meresap ke dalam fikiran khalayak sehingga menjadi konsensus dan pemikiran kolektif.

Seyogia diingatkan, terdapat beberapa strategi wacana yang dapat dimanfaatkan dari segi pemakaian bahasa untuk meminggirkan sesuatu idea, puak, kelompok atau pihak.

Pertama, penghalusan makna dengan menggunakan eufemisme. Teknik atau unsur ini digunakan bagi menjaga kesopanan dan norma dalam masyarakat untuk melembutkan kesan, sedangkan kesan lembut melalui hegemoni halus dengan penggunaan bahasa sopan mungkin lebih berbisa dan menyusup halus ke dalam fikiran bawah sedar.

Eufemisme banyak digunakan untuk menyatakan tindakan kelompok atau puak dominan dan berkuasa termasuklah oleh pemerintah terhadap golongan yang lemah sehingga dalam banyak hal unsur tersebut boleh bersifat memperdaya.

Kedua, pemakaian unsur disfemisme. Berbeza daripada eufemisme yang dapat mengakibatkan realiti menjadi halus dan menyebabkan realiti dikaburkan, disfemisme akan menyebabkan realiti menjadi kasar. Teknik atau unsur ini banyak digunakan golongan lemah, tidak dominan, terpinggir, dan rakyat biasa.

Untuk menyerang golongan berkuasa dan pemerintah, lihat sahaja cara netizen mengungkapkan perasaan, kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap pihak tertentu melalui media sosial.

Perhatikan  unsur disfemisme yang digunakan, serta label kasar dan keras yang dimanfaatkan ketika rakyat berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini.

Ternyata, bahasa dapat dijadikan sebagai senjata tajam oleh golongan yang lemah, tidak berdaya dan berasa dirinya tidak mendapat layanan adil atau dipinggirkan. Teliti sahaja isu yang banyak berkembang dalam masyarakat ketika ini termasuklah yang membabitkan isu politik, kesihatan, ekonomi, dan pelbagai bantuan lain yang berkaitan.

Sesuai dengan teknik propaganda, satu lagi unsur bahasa yang kita perlu lebih berhati-hati ialah pelabelan. Untuk sesuatu yang berniat jahat, akan menggunakan label atau ungkapan negatif, manakala untuk sesuatu yang baik akan menggunakan label positif.

Yang negatif itu bertujuan untuk mencemarkan dan merosakkan imej dan reputasi pihak yang menjadi sasaran, manakala yang positif pula untuk melukiskan citra dan reputasi positif.

Pertentangan duaan ini jelas dalam konteks penggunaan bahasa dan penciptaan wacana oleh dua puak yang saling bertentangan, termasuklah antara kerajaan dengan pembangkang ketika ini.

Oleh yang demikian, kita perlu terus berwaspada agar tidak mudah terjerat oleh penggunaan label, ungkapan, istilah dan kosa kata tertentu melalui bahasa yang dimanfaatkan penulis terbabit.

Strategi dan unsur lain yang kerap juga dimanfaatkan ialah stereotaip, iaitu penggunaan sesuatu kata yang memperlihatkan sikap positif atau negatif bersabit dengan orang, puak, kelompok, kelas, ras dan parti politik tertentu.

Stereotaip ialah amalan representasi yang menggambarkan sesuatu dengan penuh prasangka, konotasi negatif dan subjektif. Stereotaip melalui penggunaan kata-kata tertentu jika digunakan secara tekal dan berlarutan pada akhirnya akan terpasak dalam fikiran dan minda pengguna bahasa dan khalayak.

Sesungguhnya, bahasa bukan sekadar alat tetapi mempunyai kuasa hegemoni tertentu. Jika digunakan dengan penuh kemahiran, melalui teknik tertentu, bahasa dapat dijadikan sebagai senjata untuk membentuk dan mempengaruhi fikiran khalayak sasaran. Untuk itu, kuasailah segala mekanisme dan unsur bahasa kerana bahasa di tangan mereka yang mahir akan menjadi senjata tajam dan begitu bermanfaat bagi memenuhi tujuan dan kepentingan tertentu.

 

Dr. Jeniri Amir − Pengamat bahasa dan penganalisis politik yang merupakan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi