22 Julai 2021, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Bahasa merupakan alat penyatuan masyarakat dan kaum, selain sebagai alat komunikasi. Oleh itu, sesebuah negara perlu mempunyai satu bahasa yang boleh difahami oleh semua rakyatnya, termasuklah negara kita, Malaysia, iaitu bahasa Melayu yang juga merupakan bahasa kebangsaan.

Sehubungan dengan itu, dalam suasana pandemik pada hari ini, bahasa sangat berperanan untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang bahaya wabak COVID-19. Seseorang yang dijangkiti oleh virus itu perlu dimaklumkan dengan penggunaan bahasa yang boleh difahami dengan jelas dan berkesan.

Dalam situasi ini, bahasa Melayu memainkan peranan yang penting untuk menyedarkan masyarakat akan bahayanya pandemik ini. Penggunaan istilah yang berkaitan hal ini mula disebarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Contohnya, istilah “social distancing” sudah ditukar menjadi penjarakan fizikal dan MCO sebagai perintah kawalan pergerakan.

Bahasa mempunyai pelbagai aspek termasuklah bahasa lisan, bahasa baku dan dialek. Bahasa sangat penting untuk menembusi masyarakat. Namun begitu, cabaran untuk menembusi masyarakat luar bandar khususnya bagi memberikan kefahaman tentang pelbagai istilah ini amat sukar pada peringkat awalnya. Oleh itu, antara inisiatif yang digunakan oleh kerajaan termasuklah penggunaan dialek.

Penggunaan dialek di media sosial juga berjaya menyedarkan rakyat tentang bahaya penyakit ini. Dialek dipilih kerana dialek mempunyai semangat asabiyah, iaitu sifat kekitaan antara penutur, mudah mempengaruhi kerana keakraban bahasa dan penutur yang sama-sama satu dialek tidak mudah berasa tersinggung.

Oleh itu, dialek sangat penting dalam mempengaruhi pemahaman masyarakat tempatan. Satu dialek kurang sesuai jika digunakan di semua negeri. Contohnya, dialek Kedah tidak difahami oleh orang Perak. Begitu juga dengan dialek Perak yang  tidak difahami oleh orang Kedah. Dialek memainkan peranannya mengikut negeri masing-masing.

Antara contoh dialek Negeri Sembilan yang digunakan oleh ikon artis terkenal, iaitu Dato Hattan.
Antara contoh dialek Kelantan yang digunakan oleh pempengaruh, iaitu Abe Mat.

“Situasi pandemik COVID-19 di negara kita dalam keadaan yang sangat serius. Oleh itu, sebagai rakyat yang baik, kita perlu hormat-menghormati sesama kita tanpa mengira kaum dengan adab sopan melalui penggunaan bahasa yang baik dan dialek yang baik, khususnya melalui penggunaan media sosial”.

Demikianlah antara penerangan oleh YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaludin, selaku ahli panel menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang bersiaran pada pukul 12.00 tengah hari tadi melalui “Rancangan Peka Bahasa: Kuasa Bahasa dan Pandemik” bersama-sama Encik Ahmad Fedtri Yahya, selaku moderator.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!