29 Julai 2021, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Perancangan bahasa merupakan satu aspek penting dalam pembinaan negara malahan menjadi satu komponen teras yang menjadi jiwa dan unsur dalaman peribadi atau identiti negara. Dalam konteks di Malaysia, perancangan bahasa melibatkan bahasa Melayu yang dirancang untuk menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan daripada Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Dengan adanya dasar bahasa yang menentukan pemilihan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, barulah tahap yang seterusnya dilakukan dalam perancangan taraf bahasa. Perancangan bahasa meliputi tahap tertentu termasuklah pembakuan bahasa. Oleh itu, pembakuan bahasa meliputi seluruh sistem bahasa termasuklah sistem ejaan, peristilahan, kosa kata, tatabahasa, dan laras bahasa. Dalam usaha merancang bahasa yang berkaitan dengan sebutan, perkataan, ejaan baharu dan pembakuan, ejaan lama tidak dibuang. Ejaannya itu Cuma diperbaiki sahaja untuk distandardkan kembali bagi membentuk perkataan baharu.

Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan ketika bersiaran secara langsung.

Perancangan bahasa juga melibatkan penyeragaman keseluruhan penggunaan bahasa itu supaya mudah digunakan oleh seluruh penutur sesebuah bahasa bagi tujuan pentadbiran dan menyampaikan pendidikan. Dalam pada itu, tujuan yang paling penting ialah mengisi bahasa itu dengan maklumat dan ilmu bagi memandaikan seluruh bangsa.

Dalam bahasa asing, hanya sebahagian kecil warga sesebuah negara akan mendapat pendidikan. Itulah tujuannya bahasa Melayu dirancang ejaan, nahu, dan istilahnya. Namun begitu, penggunaannya dan pengisiannya dengan sepenuhnya masih perlu diusahakan.

“Kita mesti menggunakan bahasa Melayu untuk memperbanyakkan buku ataupun meninggikan kepustakaan dalam bahasa kita supaya kita dapat memandaikan bangsa kita”.

Demikianlah antara penerangan oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, selaku ahli panel menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP yang bersiaran pada pukul 12.00 tengah hari tadi menerusi “Rancangan Bicara Karyawan: Perancangan Bahasa Melayu.”

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!