5 Ogos 2021, 13:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

MELAKA – Bahasa Melayu merupakan bahasa yang indah dan sinonim dengan masyarakat Timur yang dikenali dengan adab sopan santun dan bertatatertib. Keindahan tutur kata dalam bahasa Melayu menyebabkan bahasa Melayu begitu dikagumi dan turut dipelajari oleh sebilangan penduduk di dunia ini. Namun begitu, belakangan ini keindahan bahasa Melayu semakin terhakis dan dicemari oleh penggunaan kata-kata cacian dan kejian yang menghakis nilai bahasa Melayu itu sendiri.

Pada hari ini, penggunaan media sosial untuk kemudahan pencapaian sesuatu maklumat juga menambahkan lagi penggunaan bahasa yang kurang sopan dan jelik secara meluas. Hal ini merupakan antara penyebab berlakunya kebobrokan bahasa Melayu. Kebobrokan bahasa Melayu bermaksud bahasa Melayu itu mengalami kemusnahan akibat kemerosotan dan pengabaian sehingga rosak ataupun tercemar.

Hal ini dikatakan berpunca daripada luahan rasa amarah, iaitu keinginan dan kehendak hati yang kuat lagi keras untuk melihat sesuatu kemahuan itu berlaku. Seterusnya, luahan rasa itu akan menyebabkan pelepasan tekanan jiwa yang berkaitan dengan ledakan emosi, iaitu pemikiran dan kelakuan yang dihimpit oleh kekuasaan bahasa lain yang begitu kuat sehingga tidak terkawal dan menghasilkan sesuatu yang boleh mempengaruhi bahasa Melayu.

 

Sehubungan dengan itu, semua orang harus bekerjasama dan bersatu padu untuk mengembalikan semula keindahan bahasa Melayu dan mengikis penggunaan bahasa Melayu yang kurang elok dan tidak sopan ketika berkomunikasi dalam usaha untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum supaya suasana yang harmoni dapat dibina. Kerjasama semua pihak amat penting jika kita ingin anak bangsa negara ini terus menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dan dengan sebaik-baiknya.

YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr.Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama, UKM ketika bersiaran secara langsung pagi tadi.

“Kebobrokan bahasa Melayu yang kini banyak mengalami kemerosotan ini disebabkan oleh nafsu kita sendiri atau daripada tekanan luar yang tiada kawalan sehingga kita terpaksa menerima sesuatu bahasa lain, iaitu pinjaman perkataan asing ke dalam bahasa Melayu. Kita kehilangan banyak kemahiran menggunakan bahasa Melayu dengan mudah dan cepat jika kita banyak menggunakan peminjaman kata daripada bahasa luar. Hal ini seterusnya akan menyebabkan bahasa Melayu terpinggir, seterusnya menyebabkan jati diri bahasa Melayu juga akan tercalar.”

Demikianlah penerangan oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr.Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selaku ahli panel menerusi studio siaran langsung Wacana Citra Bahasa berjudul “Kebobrokan Bahasa: Luahan Amarah atau Pelepasan Tekanan Jiwa?” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan dengan kerjasama Jemaah Nazir Negeri Melaka (JNNM) yang bersiaran pada pukul 9.30 pagi tadi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!