Oleh Kho Thong Eng
6 Ogos 2021, 14:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata ialah tergolong dalam subgolongan kata tugas, iaitu sebagai kata pemeri. Ada dua kata pemeri dalam bahasa Melayu, iaitu ialah dan adalah. Kata pemeri ialah berfungsi untuk merangkaikan subjek dengan predikat dalam keadaan persamaan atau ekuatif. Selain itu, kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Kata “cantik” ialah contoh kata adjektif.

1b.  Contoh kata adjektif ialah kata “cantik”.

Dalam ayat 1a, subjeknya ialah katacantik dan predikatnya ialah “contoh kata adjektif”. Struktur ayat tersebut ialah Frasa Nama + Frasa Nama. Jika subjek dan predikat ayat 1a diterbalikkan seperti dalam ayat 1b, maksud ayatnya masih sama.

Subjek Kata Pemeri Predikat
frasa nama kata perangkai frasa nama
kata “cantik” ialah contoh kata adjektif
contoh kata adjektif ialah kata “cantik”

Dalam penggunaan biasa bahasa Melayu, kehadiran kata pemeri “ialah” dalam ayat bersifat opsyenal atau pilihan. Oleh itu, kita boleh meniadakan kata pemeri “ialah” tanpa menjejaskan maksud ayat. Dengan adanya jeda dan intonasi yang betul, seseorang pendengar dapat mengesan kedudukan subjek dan predikat, dan memahami maksud ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

1c.  Kata “cantik” contoh kata adjektif.

1d.  Contoh kata adjektif kata “cantik”.

Subjek Predikat
frasa nama frasa nama
kata “cantik” contoh kata adjektif
contoh kata adjektif kata “cantik”

Dalam bidang seperti sains dan undang-undang, ketepatan maksud sangat penting. Oleh itu, kata “ialah” perlu ditambah untuk menjadi pemisah di antara subjek (perkara yang diterangkan) dengan predikat (huraian yang menerangkan). Hal ini berlaku demikian kerana sains bersifat objektif dan undang-undang memerlukan tafsiran yang tepat. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Air ialah molekul yang terdiri daripada dua atom hidrogen dan satu atom oksigen.  (laras sains)

2b.  Jus soli ialah hak kerakyatan yang sama rata, iaitu taraf kerakyatan yang diberi berdasarkan tempat kelahiran tanpa mengira bangsa dan keturunan. (laras undang-undang)

Ada kalanya kata pemeri “ialah” dapat hadir di hadapan frasa kerja tertentu. Frasa kerja tersebut harus mempunyai hubungan ekuatif antara subjek dengan predikat. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Menyanyi ialah salah satu hobinya.

3b.  Salah satu hobinya ialah menyanyi.

Sekali imbas, ayat kelompok 3 seolah-olah salah kerana dalam ayat 3a, kata kerja menyanyi menjadi subjek ayat, dan dalam ayat 3b, kata pemeri ialah terletak di hadapan frasa kerja menyanyi. Namun begitu, sebenarnya ayat-ayat tersebut mengalami proses pengguguran atau elipsis inti frasa nama. Sila lihat contoh ayat lengkap seperti yang berikut:

4a.  Aktiviti menyanyi ialah salah satu hobinya.

4b.  Salah satu hobinya ialah aktiviti menyanyi.

Berdasarkan kelompok ayat 4 di atas, kata nama yang menjadi inti frasa nama seperti kata aktiviti telah digugurkan. Contoh kata nama lain yang boleh digunakan ialah kegiatan. Oleh itu, ayat 3a dan 3b betul kerana pola ayat atau struktur dalamannya (deep structure)  ialah Frasa Nama + Frasa Nama.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, soal ekuatif tidak semestinya wujud dalam ayat yang menggunakan kata pemeri ialah. Kalau kita mengajukan soalan “Siapakah Puan Salmah?” kepada seseorang, jawapan yang mungkin kita terima  adalah seperti yang berikut:

5a.  Puan Salmah ialah guru sekolah itu.

5b.  Puan Salmah ialah guru Sejarah.

5c.  Puan Salmah ialah guru cemerlang.

5d. Puan Salmah ialah anak Tuk Mat.

5e.  Puan Salmah ialah isteri Encik Ali.

Adakah Kelompok ayat 5 di atas boleh kita terbalikkan susunan subjek dan predikatnya?  Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  *Guru sekolah itu ialah Puan Salmah.

6b.  *Guru Sejarah ialah Puan Salmah.

6c.  *Guru cemerlang ialah Puan Salmah.

6d. Anak Tuk Mat ialah Puan Salmah.

6e. Isteri Encik Ali ialah Puan Salmah.

Ayat 6a kurang tepat kerana di sekolah yang berkenaan sudah tentu gurunya lebih daripada seorang. Ayat 6b dan 6c juga kurang tepat kerana guru Sejarah atau guru cemerlang yang berkhidmat di seluruh Malaysia atau di seluruh dunia sudah tentu bukan Puan Salmah seorang sahaja. Ayat 6d benar dan betul hanya jika Puan Salmah merupakan anak tunggal kepada Tuk Mat. Ayat 6e betul hanya jika Encik Ali mengamalkan monogami, iaitu isterinya Puan Salmah, dan tiada yang lain.

Apabila dianalisis, hubungan subjek dan predikat bagi ayat 5a, 5b dan 5c adalah seperti yang berikut:

Ayat Subjek Predikat
Khusus Umum
5a

Puan Salmah

guru sekolah itu
5b guru Sejarah
5c guru cemerlang

Disebabkan subjek bagi ayat 5a, 5b dan 5c bersifat khusus, manakala predikatnya bersifat umum, kita tidak boleh menterbalikkan susunan subjek dan predikatnya. Pilihannya ialah kita menjadikan kedua-dua subjek dan predikat bersifat khusus. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Puan Salmah ialah salah seorang guru sekolah itu.

7b.  Puan Salmah ialah salah seorang guru Sejarah.

7c.  Puan Salmah ialah salah seorang guru cemerlang.

 

8a.  Puan Salmah ialah seorang daripada guru sekolah itu.

8b.  Puan Salmah ialah seorang daripada guru Sejarah.

8c.  Puan Salmah ialah seorang daripada guru cemerlang.

 

Ayat kelompok 7 dan 8 mempunyai hubungan subjek dan predikat seperti yang berikut:

Subjek Predikat
Khusus Khusus
Puan Salmah salah seorang guru sekolah itu
seorang daripada guru sekolah itu

Sememangnya ayat kelompok 7 dan 8 yang mempunyai hubungan khusus – khusus antara subjek dengan predikat boleh diterbalikkan. Sila lihat contoh yang berikut:

Subjek Predikat
Khusus Khusus
salah seorang guru sekolah itu Puan Salmah
seorang daripada guru sekolah itu

Walau bagaimanapun, ayat kelompok 5 lebih ekonomis dan sering digunakan oleh masyarakat kita. Yang perlu kita ingat hanyalah ayat-ayat tersebut tidak boleh kita terbalikkan susunan subjek dan predikatnya sesuka hati.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi