12 Ogos 2021, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR Industri terjemahan merupakan antara industri yang tidak terjejas dan tidak terkesan akibat pandemik COVID-19. Berdasarkan pengalaman sebagai penterjemah bebas, seseorang itu mampu menterjemahkan buku dan ada juga yang terpaksa menolak beberapa tawaran. Pandemik COVID-19 turut membuka ruang dan peluang kepada penterjemah muda untuk mengasah kemahiran dan memperbanyakkan usaha mereka.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengehadkan pergerakan seseorang telah memberikan lebih banyak masa kepada penterjemah. Kebanyakan usaha penterjemahan kini dapat dijalankan secara dalam talian yang memudahkan urusan harian. Walau bagaimanapun, proses penterjemahan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi semata-mata kerana kepakaran dan kemahiran penterjemah masih diperlukan dalam industri terjemahan. Teknologi yang ada dapat membantu penterjemah untuk menguruskan penterjemahan. Sekiranya hanya bergantung pada teknologi, hasil terjemahan akan menjadi kaku, kurang cantik dan kurang tepat.

Pandemik COVID-19 juga menyebabkan banyak istilah baharu diperkenalkan kepada masyarakat. Penciptaan istilah baharu mempunyai sistem dan syaratnya yang tertentu. Tidak semua perkataan boleh diterjemahkan secara langsung tetapi ada yang memerlukan sedikit percampuran dan pengubahsuaian. Kini satu perkataan boleh didapati dalam pelbagai bidang dan padanan kerana mempunyai kaitan dengan linguistik dan lain-lain lagi.

Industri terjemahan kian berkembang di negara ini dan bayaran bagi kepakaran tersebut juga semakin tinggi berbanding pada masa lalu. Dalam proses terjemahan juga ada semakan kedua dan seterusnya kerana sehebat mana pun seseorang penterjemah itu, perlu ada orang kedua bagi memastikan hasil terjemahan tersebut sempurna.

Demikian antara inti pati yang disampaikan oleh kedua-orang panel, iaitu Dr. Noor Ida Ramli, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang juga ahli Majlis Jawatankuasa Induk Persatuan Penterjemah Malaysia dan Dr. Norhazlina Husin, Pengarah Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-18 (PPA-18) yang bersiaran secara langsung secara dalam talian dalam media sosial pada pukul 11.00 pagi tadi. Wawancara Layar Putih Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) edisi khas ini mengupas topik “Industri Terjemahan dalam Dunia Global Kini” diadakan bersempena dengan PPA-18.

Saban tahun, PPA diadakan dan pada tahun ini, persidangan tersebut juga bakal berlangsung pada 24 Ogos 2021 hingga 26 Ogos 2021 secara dalam talian. PPA-18 pada kali ini begitu istimewa kerana Universiti Sains Malaysia akan membawa pakar bahasa dan pihak UiTM pula akan membawa peserta daripada pelbagai bidang akademik.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!