16 Ogos 2021, 19:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Pada hari ini, sudah 49 tahun Sistem Ejaan Rumi Baru Malaysia-Indonesia diisytiharkan. Sistem ejaan yang digunakan secara meluas pada hari ini telah dipersetujui bersama oleh kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Indonesia berikutan dengan perisytiharan serentak di kedua-dua buah negara pada 16 Ogos 1972.

Sebelum itu, usaha untuk menyeragamkan sistem ejaan antara kedua-dua buah negara Malaysia dan Indonesia telah dilaksanakan. Beberapa siri perundingan dan pertemuan juga diadakan. Berikutan hal itu, wujudlah sistem ejaan bersama yang dikenal sebagai Ejaan Melindo (Ejaan Melayu–Indonesia) pada tahun 1959. Menerusi ejaan ini, penggunaan lambang fonetik yang dicadangkan itu dikatakan tidak praktikal sifatnya. Sehubungan dengan itu, ejaan ini tidak terlaksana.

Perbincangan seterusnya antara Malaysia dengan Indonesia berhubung dengan ejaan bersama berlaku selepas tamatnya konfrontasi Indonesia–Malaysia (1963-1966). Hasil usaha sama kedua-dua buah negara ini, maka wujudlah Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia, yang kemudiannya dikenal sebagai Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu, seperti yang termaktub dalam Pedoman Umum Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu 1972. Di Indonesia, sistem ini dikenal sebagai Ejaan Bahasa Indonesia yang Disempurnakan.

Sistem ejaan bersama ini dilancarkan serentak di Kuala Lumpur oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein, dan di Jakarta oleh Presiden Soeharto pada 16 Ogos 1972. Ejaan yang baharu ini merupakan hasil muafakat Malaysia–Indonesia yang mengenyahkan tradisi ejaan lama dan menggantikan Ejaan Za‘ba di Malaysia dan Ejaan Soewandi di Indonesia.

Terdahulu, penggunaan tulisan Rumi berlaku dalam kalangan pedagang, pengembara, dan penjelajah dari Eropah ke Nusantara secara perseorangan pada abad ke-16. Para pedagang Portugis, Sepanyol dan Itali menulis kata-kata dalam bahasa Melayu yang didengari  oleh mereka ketika berada di pelabuhan dalam huruf Rumi, dan mengeja kata-kata itu berdasarkan kesan bunyi tersebut. Mereka turut menerapkan peraturan ejaan yang ada ke dalam bahasa mereka.

Menurut kajian, pengembara pertama, iaitu Antonio Pigafetta (warga Itali) menghasilkan ejaan Rumi dalam penulisan pada abad ke-15. Sejak itu, pengembara warga Inggeris dan Belanda turut menulis perkataan dan ayat dalam bahasa Melayu menggunakan huruf Rumi, berdasarkan sistem tulisan dan ejaan lazim dalam bahasa masing-masing.

Pada abad ke-17 hingga abad ke-19, orang Inggeris telah mengasaskan beberapa kaedah ejaan Rumi di Tanah Melayu. Antaranya termasuklah sistem Ejaan Rumi Bowrey (1701), Ejaan Rumi J. Howison (1800), Ejaan Rumi William Marsden (1812), Ejaan Rumi Negeri-negeri Selat (1878), Ejaan Rumi Swettenham (1881), dan Ejaan Rumi Maxwell (1882). Ejaan Rumi ketika itu berpedomankan kaedah transliterasi huruf Jawi kepada huruf Rumi.

Ejaan Wilkinson yang dikenal sebagai Romanised Malay Spelling pula digunakan secara rasmi di semua sekolah umum di Tanah Melayu pada bulan Oktober 1904.  Ejaan ini digunakan dalam kamus bahasa Melayu karangan Wilkinson.

Kemudian, muncul pula sistem ejaan rumi Za’ba yang dihasilkan olehnya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, pada tahun 1924. Seterusnya sistem ejaan ini diperkemas dan termuat dalam beberapa buah buku pedoman bahasa terbitan Pejabat Karang-mengarang maktab itu. Antaranya termasuklah buku Ilmu Bahasa Melayu Penggal 1 (1926), Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 (1941), Daftar Ejaan Jawi-Rumi (1949) dengan judul “Petua-petua Ejaan Rumi” oleh Za’ba.

Sistem Ejaan Za’ba digunakan dalam pengajaran Bahasa Melayu di Tanah Melayu dan Brunei. Ejaan ini juga dikenali sebagai Ejaan Sekolah hingga tahun 1972 apabila perisytiharan Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia diwujudkan.

Selain Sistem Ejaan Za’ba, terdapat juga Ejaan Fajar Asia, Ejaan Kongres, Ejaan Melindo dan Sistem Ejaan Rumi Baru. Sistem Ejaan Fajar Asia digunakan ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu sebagai propaganda pemerintah Jepun di Tanah Melayu. Ejaan Rumi ini digunakan dalam majalah dwimingguan Fajar Asia (1943).  Selepas berakhirnya pendudukan Jepun pada tahun 1945, ejaan ini terhenti penggunaannya dan Ejaan Za’ba digunakan semula.

 

(Sumber: Klik Web DBP (“Sinopsis Sistem Ejaan Bahasa Melayu” oleh Muhammad Salehudin Aman)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.