22 Ogos 2021, 14:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – “Saya bangga kerana memilih bahasa Melayu untuk menyampaikan maklumat kesihatan. Sains dan teknologi milik semua bahasa di dunia ini dan bukannya khusus untuk bahasa Inggeris sahaja, sebagaimana anggapan sesetengah orang”, ujar Dr. Malar Santhi Santherasegapan atau lebih dikenali dengan panggilan Dr. Malar. Beliau berkata demikian dalam “Program Ambang Merdeka: Celoteh Dr. Malar – Enak Lauk Dikunyah-kunyah, Enak Kata Diulang-ulang” yang bersiaran secara langsung pada pukul 11.00 pagi tadi menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.

Tambah beliau lagi, amat mudah baginya untuk memberikan kefahaman tentang ilmu dan maklumat kesihatan kepada masyarakat melalui penggunaan bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara ini dan setiap rakyat Malaysia pastinya memahami akan bahasa Melayu. Oleh itu, bahasa Melayu milik semua rakyat Malaysia. Hargailah dan berbanggalah dengan bahasa Melayu.

Beliau turut berpesan khususnya kepada anak-anak muda kini, iaitu “Kita boleh bercakap secara santai tetapi mestilah berhati-hati agar perkataan yang kita gunakan itu tidak membawa kemudaratan kepada bahasa Melayu.”

Menurut beliau, apa-apa sahaja bahasa termasuklah bahasa Inggeris bukanlah satu “tag nama” yang menunjukkan kepandaian atau kebijaksanaan seseorang tetapi hanyalah satu medium untuk berkomunikasi. Di dunia pada zaman sekarang yang mempunyai segala kemudahan aplikasi terjemahan di dunia maya, maka sangat tidak adil sekiranya kita meletakkan bahasa Inggeris sebagai lambang ketinggian kualiti ilmu seseorang. Hal ini demikian kerana ada orang yang tinggi ilmunya tetapi bahasa Inggerisnya biasa-biasa sahaja dan ada juga orang yang kurang berilmu tetapi dapat bercakap dalam bahasa Inggeris dengan sangat fasih. Hakikatnya, jangan menilai seseorang itu kerana kefasihannya bercakap dalam sesuatu bahasa tetapi lihatlah seseorang itu dari segi ilmu yang dimilikinya dalam sesuatu bidang.

Demikianlah antara perkongsian oleh Dr. Malar yang kini bertugas di Jabatan Kecemasan, Hospital Columbia Asia Cheras, Kuala Lumpur. Terdahulu, celotehnya mengenai ilmu dan maklumat yang disampaikan secara bersahaja tetapi memikat berjaya menarik jutaan tontonan di pelbagai pelantar digital termasuklah Facebook, YouTube, Instagram dan lain-lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.