27 Ogos 2021, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memugarkan penguasaan bahasa dalam kalangan editor, Persatuan Editor Malaysia (PEM) dengan kerjasama Nuha Books, buat julung-julung kalinya menganjurkan program Tazkirah Bahasa untuk Editor. Program yang berbentuk ceramah ini disampaikan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan dipengerusikan oleh Profesor Dr. Hamedi Mohd Adnan, Presiden PEM.

Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sesi ceramah yang diadakan secara langsung menerusi aplikasi Zoom pada hari ini berjaya menghimpunkan 51 orang peserta yang terdiri daripada ahli PEM dan orang awam yang berminat. Ceramah ini memberikan peluang yang bermakna kepada peserta untuk berguru secara langsung dengan penceramah yang merupakan salah seorang tokoh bahasa yang tersohor. Fokus utama kandungan ceramah ini tertumpu pada aspek sistem bahasa yang meliputi laras bahasa, tatabahasa, kosa kata, ucapan dan tulisan.

Profesor Dr. Hamedi Mohd Adnan, Presiden PEM.

Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ceramahnya menegaskan bahawa penguasaan bahasa yang sempurna dari segi makna dan bentuk amat penting dalam mewujudkan komunikasi berkesan sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan. Menurut beliau lagi, editor dan penulis juga seharusnya menguasai penggunaan ayat yang berkesan dan tahu menggunakan jenis ayat yang bersesuaian dengan konteks keperluan pelbagai wacana seperti minit mesyuarat, memo, surat dan lain-lain lagi. Untuk itu, budaya bersahabat dengan kamus bagi beliau merupakan pendekatan terbaik untuk memastikan perkataan yang digunakan dalam ayat menepati maksud sebenar.

Dalam sesi perkongsian ini juga, penceramah mengetengahkan contoh kesalahan dari aspek kata yang sering ditemukan dalam karya dengan mengemukakan panduan penggunaan yang betul kepada peserta. Antara aspek yang disentuh termasuklah kesilapan ejaan pada kata tunggal, kata tugas dan kata terbitan yang masih banyak berlaku dalam penulisan.

Sebahagian peserta yang menyertai program yang bersiaran secara langsung menerusi aplikasi Zoom pada pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Beliau juga menyarankan agar sesi perkongsian ilmu menerusi penyuntingan secara berjemaah digiatkan dan dijadikan amalan dalam kalangan editor sebagai usaha untuk meningkatkan keterampilan berbahasa. Di penghujung acara, peserta diberi peluang untuk bersoal jawab secara langsung dengan penceramah tentang pelbagai persoalan yang berkaitan dengan tatabahasa. Berdasarkan sambutan yang menggalakkan daripada peserta, ceramah yang berlangsung selama dua jam ini akan dijadikan acara rutin PEM bagi menggalakkan pembudayaan ilmu dalam kalangan ahli dan masyarakat awam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.