Oleh Sakinah Sahwati
30 Ogos 2021, 18:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

“Gunakanlah bahasa kebangsaan kita

Marilah amalkan ramai-ramai

Bahasalah menyatukan kita semua

Yakinlah bahasa jiwa bangsa”

 

Lirik lagu Bahasa Jiwa Bangsa, ciptaan Tan Sri Dol Ramli ini memberikan pengertian yang cukup besar, mendalam dan seharusnya dijadikan renungan untuk semua rakyat Malaysia.

“Bahasalah menyatukan kita semua” membawa maksud yang jelas bahawa bahasa menjadi jambatan yang menghubungkan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Bahasa menjadikan kita bersatu padu, saling menghormati dan memahami apa-apa yang dipunyai oleh bangsa yang lain.

Kita mengenali sesuatu bangsa menerusi bahasanya. Hal ini diakui di serata dunia. Tidak ada bangsa tanpa kewujudan bahasanya. Maka itu, bahasa menjadi identiti terpenting yang dipunyai oleh bangsa dan yang membezakan sesuatu bangsa itu dengan bangsa yang lain di muka bumi ini.

Daripada bahasa itu, maka lahirlah identiti yang dibentuk daripada bahasa yang tuturkan. Bahasa Jepun dimiliki oleh bangsa Jepun; bahasa Perancis merupakan milik abadi bangsa Perancis; bahasa Indonesia dimiliki oleh bangsa Indonesia, bahasa Thai milik mutlak bangsa Thailand dan begitulah dengan bahasa dan bangsa yang lain.

Di negara ini, umum mengetahui bahawa bahasa Melayu diangkat  sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Dalam hal ini, bahasa amat besar peranannya dalam membentuk jati diri, semangat kekitaan, integrasi dan maruah penuturnya. Lebih besar daripada itu, bahasa merupakan cerminan kesopanan budi dan adab sesuatu bangsa.

Lihat sahaja masyarakat yang maju dari segi peradabannya mempunyai sistem politik, pemerintahan, ekonomi, pentadbiran, perundangan, pertahanan, pendidikan, ilmu sains dan teknologi, bahasa dan persuratan yang tinggi. Perancis dan Jepun misalnya, negara yang mendominasi ilmu sains dan teknologi telah membuktikan kepada dunia bahawa dengan mengekalkan bahasa masing-masing dalam segenap ilmu dan kemajuan telah mengangkat jati diri mereka seiring dengan kemajuan yang ada.

Keadaan ini sudah tentunya berbeza daripada nasib bahasa Melayu di negara ini. Bahasa Melayu bukan sahaja berhadapan dengan cabaran dalam ilmu dan kemajuan sains dan teknologi, bahkan yang paling penting, bahasa Melayu turut dicabar dalam kalangan penuturnya, iaitu rakyat Malaysia. Kemodenan yang dikecap tidak seiring dengan perkembangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu dianggap oleh sesetengah pihak hanyalah bahasa yang mempunyai had untuk mendapat sijil lulus peperiksaan semata-mata.

Di luar daripada konteks itu, bahasa asing sering menjadi bahasa utama. Alasan yang sering diluahkan ialah bahasa Melayu bukan bahasa sains dan teknologi. Bahasa Melayu bukan bahasa ekonomi. Oleh sebab momokan itu, maka nasib bahasa Melayu umpama melukut di tepi gantang. Hanya mereka yang bertutur dalam bahasa asing dianggap hebat dan maju. Hanya mereka yang mahir dalam bahasa asing kononnya akan menguasai sains dan teknologi. Sebagai akibatnya, banyak institusi pengajian tinggi di negara ini yang mengutamakan bahasa asing berbanding dengan bahasa Melayu. Hal ini bukanlah isu baharu tetapi sudah berlanjutan sejak beberapa dekad belakangan ini.

Persoalannya, benarkah bahasa Melayu tidak mampu bersaing seiring dengan kemajuan yang ada?

Pada hakikatnya, bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa utama di dunia. Dianggarkan hingga kini terdapat lebih daripada 300 juta orang penutur bahasa Melayu di seluruh dunia. Maka itu, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk penutur bahasa ini menguasai kemajuan yang ada jika semua penuturnya mempunyai tekad yang tinggi terhadap pemerkasaan bahasa ini.

Lihat sahaja kejayaan negara China yang muncul sebagai negara kuasa ekonomi di dunia yang tidak mengetepikan bahasa rasminya, iaitu bahasa Mandarin. Hasilnya, negara ini bukan sahaja digeruni ekonominya malah bahasanya. Di Paris, kebanyakan kedai menawarkan pekerjaan kepada mereka yang mahir dalam berbahasa Mandarin. Hal ini dikatakan demikian kerana tarikan ekonomi yang tinggi dalam kalangan pelancong dari China yang datang ke negara itu, malah kebanyakan lapangan terbang di dunia juga menggunakan bahasa Mandarin sebagai satu daripada bahasa pengumuman ketibaan dan pelepasan pesawat.

Persoalannya, apakah pula nasib bahasa Melayu? Untuk berjaya seperti Jepun, Perancis dan China, kita perlu bermula dari garisan pertama, iaitu memperkasakan bahasa dalam jiwa penuturnya. Bahasa Melayu perlu diperkukuh dan menjadi jati diri yang paling ampuh untuk kita berjaya. Kita jangan berganjak walau seinci pun untuk keluar daripada bahasa kebangsaan kita. Kita perlu yakin bahawa bahasa ini merentas ekonomi, sains dan teknologi. Kita perlu bermula dengan memajukan bahasa Melayu dalam negara kita sendiri sebelum mengangkatnya ke persada antarabangsa. Tidak salah menanam cita-cita untuk menjadikan bahasa ini bahasa global, namun realitinya perlu ada dalam diri rakyat di negara ini.

Dewan Bahasa dan Pustaka sudah 65 tahun melaksanakan tanggungjawabnya dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Kini giliran kita, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira darjat dan pangkat, keturunan dan agama untuk menggalas tugas meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan yang sepatutnya.

Percayalah, apabila kita memiliki jati diri dan semangat kebangsaan yang kuat, kita tidak akan ragu-ragu dengan apa-apa yang kita miliki. Maka itu, bahasa Melayu itu perlu ada dalam jiwa kita sebagai bangsa Malaysia, umpama bait-bait lagu di atas, yakinlah bahasa jiwa bangsa.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.