Oleh Suria Janib
30 Ogos 2021, 13:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – “Darjat bahasa Melayu sudah lama berada pada kedudukan yang tinggi sejak sebelum negara ini mencapai kemerdekaan. Menurut sejarah, sebelum kemerdekaan lagi sudah ada perbincangan tentang beberapa perkara yang perlu dilaksanakan apabila negara mencapai kemerdekaan, antaranya termasuklah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi lambang negara.” Demikian menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, ketika dihubungi oleh Bernama Radio pada pagi tadi.

Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran ketika ditemu bual oleh juruhebah Bernama Radio.

Tambah beliau, semua negara di dunia ini mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, begitu juga di negara kita. Sebelum kemerdekaan dimeterai, semua pemimpin daripada pelbagai bangsa di negara ini bersetuju bahawa bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini juga termaktub dalam Perlembagaan menerusi Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, bahawasanya bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara ini. Inilah darjat bahasa Melayu yang berada pada kedudukan yang sewajarnya.

Datuk Abang Sallehuddin juga menjelaskan bahawa DBP ditubuhkan pada tahun 1956, iaitu setahun lebih awal daripada penubuhan negara ini yang mencapai kemerdekaan. Keadaan ini menunjukkan pemimpin kita sebelum kemerdekaan dahulu bahawa antara landasan utama yang difikirkan oleh mereka pada masa itu termasuklah bahasa. Hal ini demikian kerana bahasa merupakan wadah atau antara kaedah untuk memajukan negara.

Susulan itu, setelah pelbagai kajian dan perbincangan dibuat, kerajaan memutuskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara ini. Inilah antara darjat bahasa Melayu, yang diutamakan dan diletakkan dalam Perlembagaan pada kedudukan yang tinggi dan sama penting dengan perkara asas lain yang dilaksanakan hingga hari ini.

Menerusi segmen Jendela Fikir: Darjat Bahasa Melayu ini juga, Datuk Abang Sallehuddin melahirkan rasa kekhuatirannya terhadap penggunaan bahasa rojak, yang menurutnya turut dihadapi oleh mana-mana negara di dunia.

“Ada juga sebilangan masyarakat yang menggunakan bahasa yang baik. Cuma mereka tidak menggunakan bahasa yang baik kerana kurang pengetahuan,  tidak menguasai bahasa itu secara bagus, secara lengkap dan banyak dipengaruhi oleh bahasa basahan atau bahasa dialek di rumah masing-masing. Kebanyakan penutur menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa harian mereka. Keadaan ini sedikit banyak mempengaruhi penggunaan bahasa standard.”

“Namun demikian, jika berlaku percampuran bahasa seperti bahasa rojak dalam bahasa rasmi, misalnya juruhebah radio menggunakan bahasa yang lintang-pukang atau bahasa yang kurang baik dan tidak standard, keadaan ini agak merisaukan kita di DBP,” katanya.

Katanya lagi, masyarakat perlu memahami bahasa Melayu yang mempunyai laras bahasa tertentu. Misalnya dalam urusan rasmi, gunakanlah bahasa yang standard, bahasa yang indah dan tersusun. Sekiranya dalam konteks tidak rasmi seperti penggunaan bahasa dalam  WhatsApp yang banyak singkatan dan kependekan teks, hal ini memang  tidak dapat dielakkan untuk menjimatkan ruang dan masa.

Sehubungan dengan itu, masyarakat diingatkan agar tidak berasa rendah diri untuk menuturkan bahasa Melayu dan menganggap bahasa asing lebih tinggi darjatnya atau seseorang itu dianggap lebih pandai apabila menggunakan bahasa Inggeris.

Kita menganggap bahawa bahasa Inggeris begitu hebat dan antarabangsa, sebaliknya bahasa Melayu seperti bahasa orang kampung. Pemikiran seperti ini perlu dihindari kerana melibatkan jati diri. Contohilah negara maju yang mempunyai tamadun yang tinggi dan negara China begitu berbangga menggunakan bahasa Mandarin apabila mengadakan mesyuarat rasmi dengan kita. Begitu juga di Jepun dan Jerman, keadaan itu sangat berbeza kerana mereka mempunyai sikap bangga diri yang tinggi atau secara bahasa kasarnya, sombong diri terhadap bahasa sendiri berbanding dengan bahasa lain.”

Ikuti temu bual sepenuhnya di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.