3 September 2021, 19:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Penguasaan bahasa sangat penting bagi penjawat awam dalam memberikan khidmat kepada masyarakat Malaysia yang kaya dengan pelbagai bahasa. Bahasa Melayu merupakan identiti teras negara Malaysia dan penjawat awam sewajarnya menggalas tanggungjawab untuk memastikan martabat dan kualiti bahasa Melayu kekal pada peringkat yang tertinggi. Di samping itu, penjawat awam juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran berbahasa Inggeris yang turut memberikan nilai tambah tersendiri terutamanya apabila melangkaui sempadan antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, dengan mengambil kira aspek tersebut, Pertandingan Gegar Pidato Piala Pusingan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tahun 2021 yang dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) membawa kelainannya yang tersendiri pada tahun ini apabila dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian. Sebanyak 11 orang pemidato daripada pelbagai agensi dan kementerian telah berentap di pentas akhir pada 19 Ogos 2021 yang bertemakan “Belanjawan 2021: Teguh Kita, Menang Bersama” bagi mengangkat usaha kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi wahana bahasa kebangsaan.

Pertandingan ini yang telah memasuki tahun keenam penganjurannya turut menjadi platform untuk mencungkil bakat penjawat awam yang terbaik dalam gaya, teknik dan ilmu pidato sebagai persediaan untuk ke peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada tahun ini, majlis penutupan pertandingan diadakan serentak dengan program Pidato Bahasa Inggeris, anjuran INTAN, iaitu INTAN Stand and Speak: Talk Your Way to The Top 2021, yang mengangkat tema “Speed, Professionalism, Integrity” dalam perkhidmatan awam.

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,

Majlis penutupan ini disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menerusi rakaman video yang disiarkan secara langsung melalui Facebook INTAN Bukit Kiara dan pelantar telesidang Zoom pada hari ini.

Dalam majlis tersebut, Piala Pusingan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dimenangi oleh Encik Wan Zainuddin Ali Aspar daripada Kementerian Pengajian Tinggi yang muncul juara. Manakala naib johan pula milik Encik Fazil Haji Yahaya daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan tempat ketiga disandang oleh Cik Intan Masyitah Mohd Murad daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Encik Wan Zainuddin Ali Aspar muncul juara apabila memenangi Piala Pusingan Ketua Pengarah Perkhidmatan.

Bagi pertandingan Pidato Bahasa Inggeris pula, peserta daripada Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan, iaitu Puan Rafiqha Hanim Mohd Rosli telah dinobatkan sebagai juara. Manakala naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing disandang oleh Puan Nur Zurairah Abdul Halim daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan Puan Siti Nur A’isyah Abdul Razak daripada Jabatan Tenaga Kerja.

Puan Rafiqha Hanim Mohd Rosli telah dinobatkan sebagai juara bagi Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris.

Terdahulu, Pertandingan Gegar Pidato ini turut ditambah nilainya dengan penganjuran Sesi Penataran Pidato Perkhidmatan Awam yang dihadiri oleh para peserta yang melepasi peringkat saringan secara penyerahan video yang bermula pada 5 Julai 2021. Sesi tersebut bertujuan untuk menyediakan platform bagi penjawat awam untuk mempelajari dan berkongsi ilmu berpidato daripada para pemidato antarabangsa dan kebangsaan yang dilantik sebagai pembimbing dalam sesi kuliah umum, tutorial dan latih amal sebelum melangkah ke pentas akhir pertandingan.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.