Oleh Mazlina Ahmad
6 September 2021, 17:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

TERENGGANU – Bahasa merupakan satu entiti yang mewakili rakyat di sesebuah negara. Bahasa juga melambangkan identiti sesuatu bangsa yang boleh membentuk identiti nasional dan identiti budaya sesebuah negara. Ungkapan bahasa sebagai identiti nasional bermaksud bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa negara, iaitu  bahasa yang dikongsi bersama oleh seluruh warganya. Manakala ungkapan bahasa Melayu sebagai identiti budaya pula bermaksud bahasa merupakan cara hidup warganegara Malaysia.

Oleh hal yang demikian, bahasa Melayu diamalkan sebagai satu budaya, iaitu resam dan tingkah laku masyarakat dari segi kebahasaan. Kedua-duanya merujuk keadaan bahasa Melayu itu sendiri sebagai penghubung antara warganegara dengan tanah air dan juga penting dalam konteks kenegaraan. Bahasa Melayu juga memainkan peranannya yang utama dalam mendukung makna kedaulatan negara, serta menjadi faktor penjalin terhadap rasa keterikatan sesama rakyat.

Namun demikian, peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu ini turut menimbulkan persoalan, iaitu sejauh manakah bahasa Melayu dapat berperanan seperti fungsinya yang sebenar? Bagi menjawab persoalan ini, tiga aspek utama diberi penekanan termasuklah aspek mutu, nilai (keutuhan) dan peranannya (kedudukan bahasa Melayu).

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, ketika bersiaran secara langsung.

Kualiti dan mutu sifat bahasa Melayu sebenarnya dapat dilihat dari aspek pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu dalam konteks bahasa negara oleh warganegaranya. Dalam hal ini, bahasa Melayu merupakan satu-satunya bahasa negara di dunia yang tidak diketahui, apatah lagi dikuasai sepenuhnya oleh warganya di tanah watannya sendiri. Hal ini sangat malang dan boleh dipersoalkan dari segi kelayakan seseorang warganegara. Walaupun sudah 64 tahun negara mencapai kemerdekaan, masih terdapat warganegara bukan Melayu yang masih tidak mengetahui dan menguasai bahasa negara dengan baik.

Dari segi keutuhan pula, terdapat satu gejala kebahasaan dalam kalangan orang Melayu, yang jika tak dibendung pasti akan menjejaskan jati diri bahasa Melayu. Gejala yang dimaksudkan itu ialah penggunaan bentuk bahasa asing yang tidak diperlukan yang telah menjejaskan aspek ketulenan bahasa Melayu. Bahasa asing digunakan dengan sewenang-wenangnya secara berleluasa dan tidak ditegur oleh mana-mana pihak.

Manakala aspek ketiga pula ialah peranan dan kedudukan bahasa Melayu itu sendiri. Umum mengetahui bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa leluhur orang Melayu. Justeru, amat penting bagi orang Melayu untuk mempunyai sikap cakna dan peduli akan bahasa Melayu.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu. Namun hal yang demikian tidak membawa kesan kepada orang Melayu, iaitu sikap orang Melayu yang masih bersahaja dan mengambil mudah. Sikap kebersahajaan ini menyebabkan bahasa Melayu dipinggirkan dalam kelompok orang Melayu sendiri. Hal ini dapat dijelaskan melalui petikan kata daripada Munsyi Abdullah, yang menjelaskan bahawa orang Melayu tetap akan tinggal dengan bodohnya kerana tidak mahu mempelajari bahasa ibunda.”

Demikianlah penerangan oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang bertajuk “Bahasa dan Identiti Bangsa”, dalam Syarahan Darul Iman 2, Anjuran Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), yang disiarkan secara langsung menerusi Webex dan FB Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) pada pukul 10.00 pagi tadi.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.