Oleh Kho Thong Eng
8 September 2021, 12:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2015: 76-79), kata ganda meliputi kata dasar yang mengalami proses penggandaan penuh, penggandaan separa dan penggandaan berentak. Dalam hal ini, kata ganda berentak ialah kata dasar bebas atau terikat yang mengalami proses penggandaan mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar.

Kata ganda berentak melibatkan kata dasar yang bersifat kata bebas atau morfem terikat.  Sebagai contoh, bagi kata ganda berentak lauk-pauk, kata dasarnya lauk ialah kata bebas (morfem bebas), manakala gandaannya pauk merupakan bentuk terikat (morfem terikat) yang tidak wujud secara bebas dalam ayat. Walaupun kita ada kata homonim pauk atau memauk yang bererti “menarik (mengambil dll) dengan sesuatu yang ada pengait”, kata itu merupakan kata lain dan tidak ada perkaitan makna dengan kata dasar lauk.

Hal ini dikatakan demikian kerana lauk-pauk bererti “bermacam-macam lauk”. Maksud kata ganda berentak lauk-pauk berkaitan dengan kata dasar lauk, dan gandaannya pauk hanya merupakan bentuk iringan untuk melahirkan ujaran yang berentak atau berirama indah. Contoh lain bagi kata ganda berentak sedemikian adalah seperti saudara-mara, hingar-bangar, dan kusut-masai. Kata mara, bangar dan masai yang bersifat kata homonim bebas mempunyai maksud yang jauh berbeza daripada makna kata ganda berentak saudara-mara, hingar-bangar dan kusut-masai.

Ada juga kata ganda berentak yang kedua-dua kata dasarnya bersifat terikat. Contohnya adalah seperti kata hiruk-pikuk. Dalam hal ini, kedua-dua kata dasar hiruk dan pikuk merupakan morfem terikat, dan tidak dapat wujud secara bebas dalam ayat. Oleh itu, kata ganda sedemikian boleh juga dikategorikan sebagai kata ganda berentak semu, iaitu kata ganda berentak dengan penggandaan yang wajib. Contoh lain bagi kata ganda berentak sedemikian adalah seperti porak-peranda, compang-camping dan kucar-kacir.

Adakah kata bebas yang menampakkan persamaan bunyi vokal atau konsonan dianggap sebagai kata ganda berentak? Jawapannya ialah binaan tersebut merupakan rangkaian kata bebas berentak atau frasa berentak, bukannya kata ganda berentak. Contohnya, frasa nama semak samun menampilkan perulangan bunyi konsonan tetapi frasa tersebut bukan kata ganda berentak kerana kedua-dua kata tersebut dapat wujud secara bebas dalam ayat. Selain itu, kata hubung seperti kata dan atau kata atau dapat diselitkan di antara kata semak dengan samun. Contoh lain bagi frasa sedemikian adalah seperti sampah sarap, lemah lembut dan saudara saudari.

Dalam proses penggandaan berentak, seluruh kata dasar akan diiringi kata gandaan yang mungkin menampilkan ciri pengulangan vokal, pengulangan konsonan atau berentak bebas. Pengulangan vokal melibatkan kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Selain itu, semua vokal dalam suku kata kata dasar akan diulang dalam suku kata gandaan yang bersetentangan. Kadang-kadang yang diulang bunyinya termasuk diftong juga. Sila lihat contoh yang berikut:

Golongan Kata

Kata Ganda

Kata Dasar (bebas atau terikat)

Gandaan (terikat)

Vokal yang Berulang

Kata Nama kuih-muih

sayur-mayur

kuih

sayur

muih

mayur

u, i

a, u

Kata Kerja cerai-berai

gotong-royong

cerai

gotong

berai

royong

e pepet, ai (diftong)

o, o

Kata Adjektif hiruk-pikuk

kusut-murut

hiruk

kusut

pikuk

murut

i, u

u, u

Pengulangan konsonan juga melibatkan kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Selain itu, semua konsonan dalam kata dasar atau konsonan dalam suku kata pertama dan kedua kata dasar sahaja akan diulang dalam suku kata gandaan yang bersetentangan. Konsonan lain dalam kata gandaan, sama ada bunyinya sama atau berbeza daripada konsonan dalam kata dasar, tidak perlu diambil kira.  Sila lihat contoh yang berikut:

Golongan Kata

Kata Ganda

Kata Dasar (bebas atau terikat)

Gandaan (terikat)

Konsonan yang Berulang

Kata Nama gunung-ganang

batu-batan

gunung

batu

ganang

batan

g, n, ng

b, t

Kata Kerja mundar-mandir

lalu-lalang

mundar

lalu

mandir

lalang

m, n, d, r

l, l

Kata Adjektif kucar-kacir

porak-peranda

kucar

porak

kacir

peranda

k, c, r

p, r

Kata ganda berentak bebas pula tidak menampilkan ciri persamaan bunyi antara kata dasar dengan kata gandaan, seperti yang berikut:

  1. Semua bunyi vokal yang sama antara kata dasar dengan gandaan.
  2. Sekurang-kurangnya dua konsonan awal yang sama antara kata dasar dengan gandaan.

Golongan Kata

Kata Ganda

Kata Dasar (bebas atau terikat)

Gandaan (terikat)

Bunyi yang Berulang

Kata Nama anak-pinak

ipar-lamai

anak

ipar

pinak

lamai

nak

a

Kata Kerja ulang-alik

turun-temurun

ulang

turun

alik

temurun

l, a

t, urun

Kata Adjektif kacau-bilau

kusut-masai

kacau

kusut

bilau

masai

au (diftong)

Berdasarkan kandungan dalam jadual di atas, kata ganda anak-pinak dikategorikan sebagai kata ganda berentak bebas kerana suku kata kedua (nak) yang sama bunyi tidak diambil kira sebagai pengulangan bunyi vokal atau konsonan.

Kata ganda ipar-lamai mempunyai persamaan dari segi satu bunyi vokal (vokal a) tetapi tidak bersetentangan kedudukannya. Kata ganda ulang-alik hanya mempunyai persamaan dari segi konsonan awal (konsonan l) pada suku kata kedua dan persamaan satu bunyi vokal (vokal a) yang tidak bersetentangan kedudukannya.

Kata ganda turun-temurun hanya menampilkan persamaan konsonan awal (konsonan t) pada suku kata pertama dan persamaan dari segi campuran vokal dan konsonan dalam bentuk urun.

Kata ganda kacau-bilau hanya mempunyai persamaan dari segi bunyi diftong (diftong au) di hujung kata. Bagi kata ganda kusut-masai pula, tidak ada persamaan sama sekali antara kata dasar dengan kata gandaan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.