10 September 2021, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

SABAH − Dalam era globalisasi kini, bahasa etnik di Malaysia semakin beransur hilang dan pupus. Menurut Pertubuhan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sebanyak 230 bahasa telah pupus dari tahun 1950 hingga tahun 2010. Sehubungan dengan itu, pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan aktivis bahasa dalam usaha untuk terus mendukung dan melindungi bahasa etnik yang ada di negara ini termasuklah melalui penganjuran Seminar Bahasa dan Etnik Budaya (SEBEM).

SEBEM 2021 pada tahun ini diadakan pada 9 September 2021 dan 10 September 2021,  anjuran Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Kolej Sidma Sabah. Seminar ini dijalankan secara maya dan boleh ditonton secara dalam talian melalui Youtube IPG Kampus Kent dan aplikasi Google Meet.

Penganjuran SEBEM 2021 ini telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, YB Datuk Jahid Jahim, dan menerima lebih kurang 200 penyertaan yang terdiri daripada warga Kementerian Pendidikan Malaysia, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta, agensi kerajaan serta pelbagai pertubuhan lain.

Dengan tema “Melestarikan Bahasa Etnik Era Baharu”, seminar ini melibatkan 28 kertas penyelidikan pelbagai disiplin, tiga pembentangan khas dan dua ucaptama. Seminar ini turut mempunyai beberapa subtema, iaitu bahasa, budaya etnik, pendidikan bahasa etnik, kesusasteraan etnik dan kesenian etnik yang terdiri daripada seni visual, seni tari, seni muzik dan sebagainya.

Dua ucaptama seminar ini melibatkan pensyarah Universiti Brunei Darussalam, iaitu Profesor Dr. Yabit Alas, dengan tajuk “Media Sosial sebagai Alat Merevitalisasi Bahasa Dusun di Brunei Darussalam” dan pensyarah Universitas Palangka Raya, Kalimantan Tengah, Profesor Kumpiady Widen, dengan tajuk “Pergeseran dan Pelestarian Bahasa Etnik di Era Globalisasi”.

Tiga pembentang khas pula terdiri daripada pensyarah Institut Agama Kristen Negeri (IAKN), Indonesia, iaitu Dr. Wilson, dengan tajuk pembentangannya, “Kearifan Lokal: Filosofi Berladang Suku Dayak Iban Sintang Kalimantan Barat”, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul dengan tajuk “Memperkasakan Konsep Sastera Etnik dalam Konteks Persuratan Kreatif Borneo” dan Pensyarah Kanan IPG Kampus Kota Bharu, Dr. Mohd Rozi Ismail pula dengan tajuk “Peranan Dialek Kelantan sebagai Catalyst Penyatuan Rakyat Kelantan di Luar Negara”.

Seminar yang dianjurkan selama dua hari ini mempunyai pelbagai tujuan. Antaranya termasuklah untuk memperkasakan fungsi IPG Kampus Kent sebagai pusat kecemerlangan pedagogi bahasa Kadazan Dusun, memantapkan kemahiran menyelidik, membentang dan menulis artikel ilmiah, berkongsi pengalaman dan dapatan kajian dalam bahasa, budaya, sastera dan pedagogi bahasa etnik melalui seminar, memperkaya rujukan keilmuan, kandungan  dan pedagogi bidang bahasa, budaya dan sastera subetnik di Malaysia.

Di samping itu, seminar ini juga bertujuan untuk menyebar luas penemuan amalan terbaik dan inovasi dalam bidang kebahasaan dan pendidikan bahasa subetnik di Malaysia, membina jaringan perkongsian pintar dalam kalangan pendukung, pencinta dan aktivis bahasa, budaya dan sastera subetnik di Malaysia, membina jaringan kerjasama akademik antara IPG Kampus Kent dengan Kolej SIDMA Sabah, dan menerbitkan hasil kajian dalam prosiding kajian, seterusnya jurnal bahasa Kadazan Dusun untuk rujukan khalayak.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi