14 September 2021, 14:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BANGI − Perkembangan teknologi maklumat telah meledakkan perubahan yang drastik terhadap kehidupan manusia yang turut mencakupi isu semasa. Antara sumbangan besar teknologi maklumat termasuklah dalam pemprosesan data dan penggunaan data komputer serta perisiannya yang dapat mengubah, menyimpan, melindungi, memindahkan, memproses serta mendapatkan maklumat tanpa batasan waktu dan tempat.

Penerbitan bahan berbahasa Melayu juga kini banyak dihasilkan dalam bentuk digital walaupun bentuk bercetak atau konvensional masih tetap diperlukan. Buku dan majalah digital kini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana sifatnya yang lebih praktis dan mudah dicapai serta diakses.

Kemunculan fasa pemodenan teknologi digital turut mempengaruhi perkembangan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat. Contohnya, penggunaan bahasa Melayu dalam SMS, Facebook, WhatsApp, Telegram, Instagram dan ruang media sosial lain yang sedikit banyak menjejaskan mutu bahasa Melayu yang betul dan baku. Bentuk bahasa Melayu formal nampaknya banyak diatasi oleh penggunaan bahasa Melayu “basahan” yang kini banyak dihadapi dalam perkembangan teknologi maklumat.

Hakikatnya dikhuatiri bahawa ancaman teknologi digital terhadap kedaulatan bahasa Melayu (penggunaan bahasa asing atau bahasa yang bercampur baur telah mengatasi penggunaan bahasa Melayu). Namun begitu, isu ini perlu ditangani dengan proaktif dan secara positif kerana tiada kuasa khas untuk menghalang penggunaan bahasa oleh masyarakat. Oleh itu, masyarakat harus memanfaatkan pelbagai ruang media sosial yang ada pada masa ini dengan mengimbangi penggunaan bahasa Melayu secara betul dan tertib. Bahasa Melayu juga perlu bersepadu dengan teknologi bagi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan ketika merasmikan kolokium pada pagi tadi.

Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) telah menganjurkan Kolokium Teknologi dan Aplikasi Bahasa yang bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2021 (peringkat pertubuhan bukan kerajaan).

Kolokium ini diadakan untuk menghimpunkan sepasukan sarjana bagi memahami dan membincangkan revolusi teknologi maklumat, sama ada memperkasakan atau memusnahkan sesuatu bahasa, memperoleh maklumat tentang kaedah untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam era revolusi maklumat dan memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang perkembangan bahasa Melayu pada era kini dalam bidang teknologi. Di samping itu, kolokium ini juga dirancang atas sebab rasa kecintaan terhadap bahasa dan sastera kebangsaan, pemerkasaan budaya, serta pemartabatan tulisan Jawi, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Semoga program ini dapat meningkatkan rasa kecintaan, kemegahan dan kebanggaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa rasmi negara, selain dapat mengukuhkan jalinan kerjasama antara DBP dengan PLM dalam program kebahasaan dan kesusasteraan serta dapat memupuk jati diri dan citra bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera kebangsaan.

“Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu dipersiapkan dengan segala keperluannya agar mampu menggalas tanggungjawab sebagai bahasa ilmu khususnya ilmu peringkat tinggi. Selain itu, bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga perlu didaulatkan melalui penggunaan teknologi yang luas, bukan sekadar didaulatkan dalam konteks penjelmaan, manifestasi ataupun perasaan yang meskipun penting tetapi mesti dibantu dengan pengisian dalam bentuk yang tampak atau ketara khususnya dalam bentuk penerbitan digital atau elektronik.”

Demikianlah antara penerangan menarik oleh Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, selaku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, ketika merasmikan  Kolokium Teknologi dan Aplikasi Bahasa: Bahasa Melayu dalam Era Teknologi Digital menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP menerusi aplikasi Zoom pada pukul 9.00 pagi tadi.

Profesor Dr. Mohd Juzaiddin Ab Aziz menyampaikan ucap tamanya yang bertajuk “Pemprosesan Bahasa dalam Era Digital: Masa untuk Menyemai benih atau Menuai Hasil?”

Sementara itu, ucap utama kolokium tersebut pula telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Juzaiddin Ab Aziz daripada Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan judul “Pemprosesan Bahasa dalam Era Digital: Masa untuk Menyemai benih atau Menuai Hasil?”

Panel lain yang turut serta menjayakan program ialah Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir, Penyelidik Bersekutu Pusat dialog Peradaban, Universiti Malaya; Dr. Suhailan Safei (Pensyarah Kanan), Universiti Sultan Zainal Abidin; Dr. Tan Tien Ping (Pensyarah Kanan), Universiti Sains Malaysia (USM); Encik Mohd Fadzli Tajuid (Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi), DBP; Tuan Haji Kamaruzaman Jahidin, Exco Persatuan Animasi Malaysia (Biro Teknologi), Persatuan Animasi Malaysia; YBhg. Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, selaku Profesor UKM; Profesor Madya Ts. Dr. Fatma Susilawati Mohamad, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin; YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Azman Ta’a, Profesor Madya dari Universiti Utara Malaysia; Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, Timbalan  Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Sabah; Profesor Madya Dr. Azizol Abdullah, Profesor Madya dari Universiti Putra Malaysia dan Puan Salina Ibrahim (Zack Kirana), iaitu pempengaruh bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.