Oleh Jeniri Amir
15 September 2021, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kali pertama saya terdedah kepada bahasa Indonesia ketika menonton filem Indonesia pada dekad 1970-an, dengan pelakon hebat ketika itu seperti Sophan Sophiaan dan Widyawati. Sebagai anak remaja, saya bukan sahaja terpikat dengan kisah cinta yang menarik tetapi juga pelakonnya yang tampan dan menawan.

Ketika itu, saya begitu terpesona dengan dialog yang diujarkan oleh para pelakonnya yang begitu indah dan menarik dari segi kata-kata dan sebutan serta intonasinya. Antara filem yang pernah saya tonton termasuklah Gaun Pengantin, Demi Cinta, Rindu, Jinak-jinak Merpati, dan Cinta Remaja.

Kemudian, ketika mempelajari mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di tingkatan enam, kami juga didedahkan kepada sebuah novel Indonesia yang tidak kurang menariknya. Novel Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer itu begitu mencengkam dari segi kisah dan plotnya dan begitu indah dari segi bahasa.

Sejak itu, minat terhadap filem dan karya kreatif Indonesia terus semarak. Saya tidak lagi menoleh ke belakang. Kegilaan membeli dan membaca buku Indonesia tidak lagi dapat dikekang sebagaimana kegilaan membeli dan membaca buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Peluang kali pertama ke Indonesia ialah pada tahun 1993. Ya, kebetulan itu kunjungan pertama kali saya ke luar negara. Indonesia menjadi pilihan walaupun diberi peluang oleh  seseorang untuk memilih mana-mana destinasi di dunia sebagai ganjaran menyiapkan sesuatu tugas.

Saya tidak menyesal membuat pilihan itu kerana sejak lawatan pertama saya ke negara 270 juta jiwa itu, hampir pada setiap tahun saya ke sana kecuali pada tahun ini. Indonesia menarik bukan sahaja kerana lebih daripada 300 suku kaumnya tetapi juga kerana kekayaan budaya dan masakannya. Bagi saya, kunjungan ke Indonesia khususnya Jakarta tidak lengkap jika tidak membeli buku.

Bagi sesiapa yang pertama kali ke Indonesia, mereka tentu tertarik dan sekali gus hairan dengan bahasa Indonesia yang serumpun dengan Malaysia tetapi ternyata mempunyai banyak perbezaan.

Bukan mengejutkan anda atau teman bicara termasuklah pramusaji akan terpinga-pinga disebabkan oleh bahasa yang digunakan. Pertama, mungkin kerana perkataan atau istilah yang digunakan oleh kedua-dua pihak tidak sama makna atau perkataan itu tidak difahami masing-masing. Namun begitu, ada juga istilah yang berbeza tetapi mempunyai maksud yang sama. Kesudahannya, wujud salah faham atau salah pengertian kerana dua orang berbicara dengan menggunakan istilah yang sama tetapi memahami maksudnya secara berbeza.

Jika anda membaca “koran” atau akhbar dan majalah terbitan Indonesia seperti Tempo, Gatra, Republika dan Kompas, tentu sekali-sekala kening anda berkerut berdepan dengan kosa kata, istilah dan akronim yang asing dan terasa aneh. Sama juga dengan pengalaman rakyat Indonesia apabila mereka membaca majalah dan akhbar di negara ini.

Usaha penyeragaman ejaan dalam kalangan negara Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei sedikit banyak telah dapat merapatkan perbezaan. Ini satu langkah proaktif dan berpandangan jauh oleh para perancang di negara terbabit.

Biarpun kita pernah berdepan dengan konfrontasi dengan negara Indonesia yang menyebabkan negara serumpun itu tegang dari segi hubungan dua hala dan hubungan diplomatik, namun akhirnya, dengan tamatnya konfrontasi, perancangan bahasa juga diberi perhatian.

Pada tahun 1972, ejaan bahasa Indonesia dan Malaysia diseragamkan meskipun masih ada kecenderungan untuk mengekalkan perbezaan bagi banyak perkataan misalnya “es” untuk ais, “karena” untuk kerana, “film” untuk filem, “ghaib” untuk ghaib dan ribuan lagi.

Seyogia diingatkan, kita juga banyak mengambil kosa kata dan istilah daripada bahasa Indonesia, dan untuk membuktikannya, teliti sahaja Kamus Dewan Perdana. Seperkara yang perlu kita sedar ialah sejarah pemerintahan dan penjajahan asing telah banyak memberikan kesan kepada kedua-dua negara dan bahasanya.

Jelaslah bahawa sejarah memberikan kesan terhadap evolusi, perkembangan dan pertumbuhan bahasa, selain tentunya bagaimana perancangan bahasa dibuat oleh kedua-dua negara. Malaysia beruntung kerana kerajaan telah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk merancang pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang sehingga kita dapat saksikan hasilnya pada hari ini.

Namun begitu, satu hal memang pasti. Darjah kesalingfahaman antara kedua-dua bahasa itu masih tinggi walaupun sejarah, kosa kata, istilah, sebutan dan intonasinya berbeza. Bahasa Indonesia banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit manakala bahasa Malaysia menerima tempias bahasa Arab.

Sementara Indonesia dijajah oleh Belanda dan Malaysia oleh British, maka bahasa Indonesia banyak dipengaruhi juga oleh bahasa Belanda sementara bahasa Malaysia terkesan oleh bahasa Inggeris ala British. Walaupun kedua-dua bahasa itu hakikatnya berakar daripada bahasa Melayu yang sama − bahasa Melayu dari Sumatera − memiliki sejarah, pertumbuhan dan perkembangan yang berbeza dari segi perancangan korpus, istilah, ejaan, tatabahasa, ejaan dan intonasi, malah dinamismenya.

Contoh terbaik ialah Indonesia menggunakan perkataan “Maret” untuk Mac, “Augustus” untuk Ogos, “kantor” untuk pejabat, “bioskop” untuk pawagam, “apotek” untuk farmasi, “televisi” untuk televisyen dan “kebun binatang” untuk taman haiwan, yang jelas merupakan kesan langsung daripada bahasa Belanda. Bagi bahasa Malaysia, jelas kuat dipengaruhi oleh bahasa Inggeris untuk kosa kata berkenaan.

Bermula dari dalam pesawat, anda sudah diperkenalkan dengan perkataan “sabuk pengaman” yang bermaksud tali pinggang keledar hinggalah pesawat mendarat di “bandara” atau bandar udara.

Sebaik-baik sahaja selepas mendarat dan pasport anda diperiksa dan anda dibenarkan masuk ke negara itu, anda pun mencari tandas. Anda bertanya tentang tandas kepada petugas di lapangan terbang. Anda hendak “BAK” atau hendak “BAB”? Itu merupakan akronim untuk buang air kecil dan buang air besar.

Pasti petugas tidak akan tahu kecuali anda menggunakan perkataan “kamar kecil” yang tentunya jauh berbeza maksudnya dengan apa-apa yang kita fahami di Malaysia. Manakala anda juga mungkin terpinga-pinga dengan akronim untuk maksud “ke sungai kecil” dan “ke sungai besar” itu.

Kemudian, anda menaiki mobil atau kereta yang dipandu oleh seorang supir lalu tercekik dalam “kemacetan” atau kesesakan jalan raya yang teruk sampai seorang supir menyatakan, “Tiada hari tanpa macet di Jakarta, pak.” Memang, kami pernah tercekik dalam kesesakan di jantung kota 12 juta jiwa itu selama lima jam untuk perjalanan sejauh tujuh kilometer.

Tiada hari tanpa “macet” di Jakarta.

Apakah yang mengagumkan anda ketika berada di dalam kenderaan di Jakarta? Selain bangunan pencakar langit, anda tentu tertarik melihat paparan iklan dengan kata-kata yang indah dan mencengkam.

Begitu juga dengan banyaknya akronim yang tentunya anda tidak fahami. Selamat datang ke negara penuh akronim. Jangan susah hati. Itu gambang dan bisa diatur. Jika anda tersesat, anda boleh memohon “banpol” atau bantuan polis, jangan memohon “banpres” atau bantuan presiden kerana itu sudah melampau. Ya, apakah yang tidak diakronimkan atau disingkatkan di negara ini? Ketika di Jakarta, anda pasti akan mendengar perkataan “Jabodetabekpunjur”  yang merujuk Jakarta Raya, yang meliputi kawasan Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang, Bekasi, Puncak dan Cianjur.

Anda hendak ke Jawa Tengah, mereka akan singkatkan menjadi “Jateng”, manakala jika hendak ke Surabaya Madura hanya disingkatkan menjadi “Suramadu”, dan jika ke Sumatera Utara hanya disingkatkan menjadi “Sumut”.

Jika kebetulan anda ditahan oleh “polisi”, anda mungkin hanya perlu melakukan “tilang” atau bukti pelanggaran, manakala jika sakit pergi sahaja ke “puskesmas” atau pusat kesihatan masyarakat. Anda jangan berjumpa dengan “Pak RT”, iaitu Rukun Tetangga.

Malah ada kecenderungan semua jawatan menteri disingkatkan. Misalnya, “Wapres” bermaksud wakil presiden, “Menlu” (Menteri Luar), “Menag” (Menteri Agama), “Menhan” (Menteri Pertahanan), dan “Menperindag” (Menteri Perindustrian dan Perdagangan). Bagi kita, mungkin satu tindakan aneh dan kedengaran aneh singkatan berkenaan tetapi bagi rakyat Indonesia, itu sesuatu yang lazim. Sama juga bagi rakyat Indonesia yang berasa aneh apabila membaca kosa kata, istilah atau ujaran rakyat Malaysia. Kelainan dan perbezaan itu tidak harus menggusarkan kita atau menyebabkan kita memandang rendah atau menghina bahasa negara lain. Sebaliknya, kita perlu mencuba untuk memahami dan menguasainya.

Jika anda kecelakaan atau kemalangan parah, anda mungkin dibawa ke  “Bahagian Gawat Darurat” di rumah sakit yang bermaksud bahagian kecemasan di hospital. Bagi bahasa Indonesia, akronim dibentuk dengan mengindahkan keserasian kombinasi vokal dan konsonan, sesuai dengan pola kata bahasa Indonesia yang lazim agar mudah diucapkan dan diingati.

Hati-hati jika anda membuat temu janji di Indonesia. Ketika anda menyatakan bahawa tarikhnya, orang Indonesia akan menggunakan perkataan tanggal yang di Malaysia bermaksud lucut. Jam berapa hendak berjumpa? Hati-hati ya kerana orang Indonesia akan menyatakan misalnya jam setengah dua, yang bermaksud pukul 1.30 dan bukannya pukul 2.30.

Bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia mempunyai keunikan dan kelainannya. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekuatan. Justeru, kedua-dua bahasa itu perlu saling melengkapi dan saling difahami. Usaha ke arah itu telah pun dilakukan hampir 50 tahun lalu dari segi penyeragaman bahasa.

Pinjam-meminjam atau pengambilan istilah daripada bahasa serumpun tentu lebih baik daripada meminjam daripada bahasa asing. Bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia perlu saling melengkapi dan para perancang bahasa di kedua-dua negara hendaklah menjalinkan kerjasama ke arah mewujudkan keseragaman dari aspek tertentu bagi memudahkan penggunaan dan pemahaman bahasa dalam kalangan pengguna bahasa. Kita perlu meraikan perbezaan dan keunikan kedua-dua bahasa dan bukannya memperlekehkan atau memandang rendah bahasa berkenaan.

Sesungguhnya, lain padang lain belalang, lain desa lain bahasanya. Memandangkan rakyat kedua-dua negara mempunyai hubungan yang amat rapat dan saling mengunjungi untuk tujuan pelancongan, melawat saudara-mara dan sebagainya, maka ada baiknya kita menguasai dan memahami perbezaan dari segi bahasa terbabit. Jangan sampai berlaku salah faham yang kemudiannya akan mencetuskan masalah yang merugikan. Bahasa harus menjadi jambatan untuk merapatkan hubungan antara dua buah negara serumpun dan berjiran tetangga.

 

Dr. Jeniri Amir merupakan Profesor Adjung dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara, yang juga pengamat bahasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.