Oleh Kho Thong Eng
15 September 2021, 21:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata penguat ialah kata yang biasanya menguatkan kata adjektif. Kehadirannya mungkin di hadapan atau di belakang kata adjektif. Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga jenis kata penguat, iaitu kata penguat hadapan seperti terlalu dan paling, kata penguat belakang seperti benar dan sekali dan kata  penguat bebas yang meliputi kata sangat, amat dan sungguh.

Kata penguat bebas biasanya boleh hadir di hadapan atau di belakang kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia amat/sangat/sungguh marah.

1b.  Dia marah amat/sangat/sungguh.

Kata penguat bebas juga boleh berada di hadapan atau di belakang kata adjektif dalam ayat yang ditambah frasa atau klausa keterangan. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Dia amat/sangat/sungguh marah pada hari ini.

2b.  Dia marah amat/sangat/sungguh pada hari ini.

3a.  Dia amat/sangat/sungguh marah apabila dicabar orang.

3b.  Dia marah amat/sangat/sungguh apabila dicabar orang.

Dalam kelompok ayat 2, terdapat frasa keterangan pada hari ini. Namun begitu, kedudukan kata penguat bebas tetap bebas. Dalam kelompok ayat 3, terdapat klausa keterangan waktu apabila (dia) dicabar orang, tetapi kata penguat bebas tetap boleh berada di hadapan atau di belakang kata adjektif marah.

Kata penguat bebas boleh juga ditambah pada sesetengah kata kerja yang berkaitan dengan perasaan, seperti kata terkejut atau terperanjat. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Dia amat/sangat/sungguh terkejut.

4b.  Dia terkejut amat/sangat/sungguh.

5a.  Dia amat/sangat/sungguh terkejut pada hari ini.

5b.  Dia terkejut amat/sangat/sungguh pada hari ini.

6a.  Dia amat/sangat/sungguh terkejut apabila (dia) terpilih.

6b.  Dia terkejut amat/sangat/sungguh apabila (dia) terpilih.

Kata penguat bebas tidak boleh ditambah pada kata adjektif ganda atau frasa adjektif yang sudah mendukung maksud “kesangatan”. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Rambutnya kusut-masai.

7b.  Rambutnya amat/sangat/sungguh kusut.

7c.  *Rambutnya amat/sangat/sungguh kusut-masai.

8a.  Pahlawan itu gagah berani.

8b.  Pahlawan itu amat/ sangat/sungguh gagah/berani.

8b.  *Pahlawan itu amat/sangat/sungguh gagah berani

Walaupun kata penguat bebas dikatakan sebagai berkedudukan bebas, ada kalanya kata penguat itu hanya boleh berada di hadapan kata adjektif. Hal ini berlaku apabila kata adjektif yang berkenaan dikaitkan dengan kata nama atau frasa nama dan diselangi oleh kata pengantar objek atau kata sendi nama akan. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Dia amat/sangat/sungguh marah akan adiknya.

9b.  *Dia marah amat/sangat/sungguh akan adiknya.

10a.  Dia amat/sangat/sungguh rindu akan neneknya.

10b.  *Dia rindu amat/sangat/sungguh akan neneknya.

Ayat 9b dan 10b salah kerana dalam kedua-dua ayat berikut, kata adjektif emotif seperti marah dan rindu harus diikuti terus oleh kata pengantar objek akan dan kata/frasa nama tanpa diselangi oleh kata penguat bebas.

Keadaan ini tetap benar jika kata adjektif rindu ditambah imbuhan untuk menjadikannya kata kerja transitif merindui. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Dia amat/sangat/sungguh merindui neneknya.

11b.  *Dia merindui amat/sangat/sungguh neneknya.

Ayat 11b salah kerana kata kerja transitif merindui mesti diikuti terus oleh objek neneknya, tanpa diselangi oleh kata penguat bebas.

Kata penguat bebas amat dan sangat boleh juga ditambah pada kata kerja yang kata dasarnya tidak berkaitan dengan perasaan, tidak kira dalam ayat dengan ragam aktif atau pasif. Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Dia amat/sangat memerlukan bantuan.

12b.  Bantuan amat/sangat diperlukan olehnya.

13a.  Perbuatannya amat/sangat menyusahkan kita.

13b.  Kita amat/sangat disusahkan oleh perbuatannya.

14a.  Dia amat/sangat terkenal.

14b.  Dia amat/sangat berilmu.

Kata penguat bebas juga boleh ditambah pada kata adjektif yang berimbuhan ke-…-an. Sila lihat contoh yang berikut:

15a.  Gaya hidupnya amat/sangat/sungguh kebaratan.

15b.  Gaya hidupnya kebaratan amat/sangat/sungguh.

Kata penguat bebas boleh digandingkan sesama sendiri dalam keadaan tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

16a.  Dia amat sangat sedih.

16b.  Dia sungguh amat sedih.

17a.  Dia mengalami kesusahan yang amat sangat.

17b.  Penyakitnya bertambah sangat.

Dalam ayat 17a,  gandingan amat sangat bermakna dan berfungsi seperti kata adjektif teruk. Begitu juga keadaannya bagi kata sangat dalam ayat 17b. Hal sedemikian tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 1385).

Kata penguat bebas juga boleh ditambah awalan teR-. Sila lihat contoh yang berikut:

18a.  Dia teramat/tersangat sedih.

Kata penguat bebas juga boleh digandingkan dengan kata penguat belakang. Sila lihat contoh yang berikut:

19a.  Pantai itu amat/sangat/sungguh indah sekali.

19b.  Pantai itu amat/sangat/sungguh indah benar.

19c.  Pantai itu amat/sangat/sungguh indah nian.

Kata penguat bebas juga boleh digandingkan dengan sesetengah kata tugas. Sila lihat contoh yang berikut:

20a.  Dia amat/sangat kurang berputus asa.

20b.  Dia amat/sangat tidak bersetuju dengan cadangan itu.

20c.  Dia amat/sangat ingin bercuti.

20d.  Dia memang amat/sangat berbakat.

20e.  Dia adalah amat/sangat berkebolehan.

20f.   Dia berlari dengan amat/sangat pantas.

Dalam ayat 20a, kata penguat bebas bergandingan dengan kata bandingan kurang. Dalam ayat 20b, kata penguat bebas bergandingan dengan kata nafi tidak. Dalam ayat 20c, kata penguat bebas bergandingan dengan kata bantu ragam ingin. Dalam ayat 20d, kata penguat bebas bergandingan dengan kata penegas memang. Dalam ayat 20e, kata penguat bebas didahului oleh kata pemeri adalah. Dalam ayat 20f  pula, kata penguat bebas diikuti oleh kata adverba pantas.

Kata penguat sangat dan sungguh dapat digandakan sebagai penegasan. Sila lihat contoh yang berikut:

21a.  Rumahnya sangat-sangat cantik.

21b.  Dia berusaha sungguh-sungguh.

Dalam ayat 21b, kata sungguh-sungguh juga berfungsi sebagai adverba.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.