21 September 2021, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

TERENGGANU − “Bahasa Melayu Pengungkap Peradaban Bangsa.” Demikianlah pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa. Ucaptama yang menarik tentang bahasa Melayu ini telah disampaikan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, yang juga selaku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail 2021 (Serai 2021) menerusi aplikasi Zoom yang bersiaran secara langsung pada pukul 10.50 pagi tadi.

“Bahasa kebangsaan merupakan roh bagi negara kita. Namun begitu, sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu masih belum digunakan dengan sewajarnya untuk memenuhi makna bagi lambang kedaulatan negara, jati diri dan perpaduan. Hal ini demikian kerana masih ada segelintir dalam kalangan masyarakat yang belum menguasai bahasa Melayu dengan baik. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu masih belum digunakan dengan sewajarnya dalam ranah pentadbiran negara, undang-undang, pendidikan, ekonomi, media am dan di tempat awam.”

Menurut beliau, bahasa juga bertindak sebagai pengungkap peradaban bangsa dan negara sebagai bahasa ilmu. Bahasa bertindak sebagai alat untuk manusia memperoleh ilmu dan menyampaikan ilmu. Tanpa penguasaan bahasa, seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu yang didengarinya dan seterusnya tidak dapat menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain.

Penggunaan bahasa yang sopan juga penting supaya ilmu dapat disampaikan dengan berkesan. Oleh itu, pentingnya untuk mengekalkan bahasa yang sopan dan santun supaya penuturnya dapat berfikir secara baik dan seterusnya akan melakukan tindak tanduk yang baik.

Di samping itu, bahasa baku turut penting sebagai tonggak peradaban bangsa dan negara. Antara wasiat Hassan al-Bana termasuklah keperluan mempertahankan bahasa baku kerana ilmu perlu diolah dalam bahasa baku dengan baik.

Ujarnya lagi, bahasa Melayu turut menjadi asas pembentukan konsep diri manusia yang dapat dikaitkan dengan akal. Sehubungan dengan itu, bahasa cerminan akal fikiran penuturnya. Bahasa yang menentukan tingkah laku penuturnya dan juga pengungkap kepada individu. Oleh itu, fungsi bahasa itu membentuk peribadi penuturnya.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan ketika bersiaran secara langsung.

Dalam seminar itu juga, YBhg. Dr. Rusmini Ku Ahmad, Rektor, Institut Pendidikan Guru Malaysia turut hadir sebagai perasmi Serai 2021. Sebanyak 138 orang pembentang dari dalam negara dan luar negara terlibat dalam seminar ini. Antaranya termasuklah 100 orang peserta seminar yang terdiri daripada pensyarah institusi pendidikan tinggi awam, institusi pendidikan tinggi swasta, institut pendidikan guru, politeknik, matrikulasi, guru dan pelajar dari dalam negara dan luar negara.

Sementara itu, terdapat lebih daripada 200 projek inovasi yang melibatkan pelbagai kategori dalam pertandingan inovasi yang dipertandingkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.