28 September 2021, 19:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

JOHOR − Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian budaya, sejarah dan masyarakat yang berbilang kaum. Selain kaya dari segi etnik, budaya, makanan dan tempat menarik, Malaysia turut dikenali dengan bahasanya. Loghat ataupun dialek pula merupakan satu warisan bahasa bagi sesuatu tempat.

Dialek Johor misalnya memang unik. Jika anda bukan orang Johor, mungkin anda akan berkata bahawa orang Johor menggunakan bahasa Melayu yang sebenar. Tiada loghat seperti negeri Kelantan, Kedah, Penang, Perak dan sebagainya. Namun begitu, jika anda mengenali orang Johor, anda akan berjumpa dengan perkataan yang membuatkan anda pelik mendengarnya.

Terdapat 10 daerah di dalam negeri Johor, seperti daerah Johor Bahru, Segamat, Tangkak, Kulai, Kota Tinggi, Mersing dan sebagainya. Yang sebenarnya, bahasa orang Johor tidak banyak dialek yang sukar difahami. Hal ini disebabkan oleh bahasa dari Johor-Riau ini lebih kurang sama dengan bahasa Melayu. Namun begitu, ada juga dialek daerah yang lebih halus seperti dari daerah Muar, Segamat, Batu Pahat, Sungai Rengit, dan Kuala Sedeli, yang mempunyai dialeknya tersendiri. Ini tidak termasuk dialek daripada bangsa lain seperti Jawa, Banjar, Bugis dan sebagainya.

Contoh dialek dialek Johor-Riau ialah perkatan “saye” (saya), “kite” (kita), “mereke” (mereka), “hambe” (hamba) dan “bole” (bola), “air tawa” (air tawar), “bak” (bawa), “bandor” (bandar), “belajor” (belajar) dan sebagainya. Sebutan atau pertukaran kod ini berlaku kerana kebiasaaan atau kelaziman pertuturan oleh rakyat Johor.

“Dialek dengan bahasa dan dialek dengan budi sebenarnya ialah khazanah yang sangat perlu kita pelihara dan ketengahkan semula dalam masyarakat. Pada tahun 1819 dahulu, Munsyi Abdullah dikatakan pernah mengajar bahasa Melayu kepada Stamford Raffles, untuk membolehkan pentadbir Inggeris berinteksi dengan masyarakat Melayu pada ketika itu. Beliau ada mengungkapkan tentang orang Melayu yang bersikap tidak mengendahkan bahasa Melayu.”

Tuan Haji Mohd. Noor Abdullah ketika bersiaran secara langsung.

“Semakin kita berkembang ke era teknologi, maka akan berlakunya migrasi atau perpindahan penggunaan dialek dalam kalangan masyarakat ke tempat-tempat lain. Oleh itu, usaha untuk menggiatkan dan mempopularkan dialek perlu dilaksanakan oleh masyarakat ke arah meraikan kepelbagaian dialek Johor khususnya kepada masyarakat luar Johor. Di samping itu, tahap kebanggaan terhadap dialek perlu ditanam dalam diri kita sendiri. Jangan kita hilangkan bahasa kerana bangsa kita akan turut hilang. Masyarakat perlu meraikan dialek kerana itulah yang menjadikan kita sebuah bangsa yang utuh. Sekiranya masyarakat boleh menguasai semua bentuk warisan bahasa seperti loghat, bahasa slanga, bahasa sukuan, dan dialek, maka alangkah kayanya bahasa kita, iaitu bahasa Melayu.”

Demikianlah penerangan oleh Tuan Haji Mohd. Noor Abdullah (Munsyi Dewan) dalam Rancangan Dialek Kita: Warisan Dialek Johor menerusi di Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 3.00 petang tadi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi