29 September 2021, 17:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

SEREMBAN − Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi amat penting dalam kalangan masyarakat dan perlu dimartabatkan dengan sepenuh hati oleh setiap warganegara Malaysia, tidak kira oleh apa-apa bangsa sekali pun.

Sehubungan dengan itu, bagi mencapai matlamat ini, Program Dekad Bahasa Kebangsaan 2021 yang bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa” amat penting untuk memberikan kesedaran kepada pelajar dan pensyarah tentang kepentingan bahasa Melayu dalam memperkasakannya sebagai bahasa kebangsaan. Di samping itu, program ini juga diadakan untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang kepakaran serta sumbangan anggota masyarakat dalam pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu, budaya dan ketamadunan bangsa.

“Bahasa Jiwa Bangsa” boleh ditakrifkan dari segi bahasa sebagai alat pengikat diri kita yang berada dalam masyarakat ataupun kita yang berada dalam sebuah negara. Oleh itu, amat penting bagi masyarakat mempunyai pengetahuan tentang bahasa Melayu yang berperanan sebagai alat untuk berkomunikasi. Penguasaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan semua warganegara amat penting bagi tujuan kelancaran komunikasi. Fungsi atau peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk berkomunikasi tidak kesampaian jika penguasaan yang lemah dalam bahasa Melayu masih berleluasa  dalam kalangan masyarakat.

Bagi masyarakat bukan Melayu yang masih belum menguasai bahasa Melayu dengan baik, hal ini amat menyedihkan setelah 64 tahun negara merdeka. Bahasa Melayu merupakan satu-satunya bahasa di dunia yang masih tidak dikuasai sepenuhnya dengan baik oleh warganegara Malaysia. Hal ini amat malang sekali dan seharusnya setiap warganegara perlu dipersoalkan dari segi kerakyatan yang dipegang oleh warga berkenaan kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara Malaysia.

Penguasaan bahasa Melayu yang baik, sopan dan betul penting sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu mendukung dua peranan sekali gus, iaitu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Bahasa Melayu cerminan identiti nasional negara ini dan identiti budaya bagi masyarakat Malaysia.

Dari segi ketulenan  bahasa Melayu, kita seboleh-bolehnya perlu cuba sedaya-upaya untuk menggunakan bentuk asal atau bentuk asli bahasa Melayu. Hal ini penting untuk mengekalkan jati diri bahasa Melayu itu sendiri. Akhir-akhir ini, banyak dalam kalangan masyarakat yang menggunakan bentuk asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa lain secara berleluasa.

YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong ketika bersiaran secara langsung pagi tadi.

“Adalah menjadi kewajipan setiap etnik Melayu untuk cakna akan bahasa Melayu. Usah bersikap tidak peduli akan bahasa Melayu. Hal ini sudah lama disuarakan oleh para pencinta bahasa dan badan-badan yang cakna akan bahasa Melayu. Namun begitu, masih banyak yang bersikap bersahaja dan mengambil mudah tentang kepentingan bahasa Melayu. Sikap tidak mengambil peduli tentang bahasa dalam kalangan orang Melayu itu sendiri perlu diambil perhatian serius dalam kalangan masyarakat.  Jika orang Melayu sendiri tidak menghormati bahasa Melayu, maka ini akan menjadi teladan yang buruk kepada bangsa lain (bangsa bukan Melayu) untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.”

Demikianlah antara penerangan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, semasa menyampaikan ceramah yang bertajuk “Bahasa Melayu Jiwa Bangsa Malaysia” semasa Majlis Penutupan Sambutan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan 2021, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah pada pukul 9.40 pagi tadi.

Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Pengarah Dasar DBP ketika merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Gerakan Dekad Kebangsaan 2021.

Yang turut hadir merasmikan  majlis penutupan ini ialah Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Pengarah Dasar DBP. Menurut beliau, program yang dianjurkan ini menggambarkan komitmen dan iltizam IPD Kampus Raja Melewar dalam mengangkat dan melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara. Beliau juga berharap agar program seperti ini akan dapat memantapkan dan memperkukuh jati diri dan citra bangsa Malaysia dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Masyarakat juga disarankan agar terus menyuburkan bahasa Melayu bagi menjadikan masyarakat Malaysia berbudaya tinggi dan memiliki minda kelas pertama. Usaha menanam rasa megah akan bahasa kebangsaan bukan bermusim dan perlu dilaksanakan secara berterusan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi